Hisham ragui PAS benar bukan Islam guna ‘Bulan’..ha.ha..apa tak percaya ..!!!


PUTRAJAYA, 11 Jun — Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sangsi dengan langkah PAS membenarkan, secara bersyarat, calon bukan Islam menggunakan simbol parti itu pada pilihan raya umum akan datang.
Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau yakin langkah itu tidak akan berjaya “kerana seseorang itu akan hanya memutuskan (untuk bertanding) berdasarkan pertimbangan politik jangka pendek.”
“Rakyat mengetahui rekod PAS. Individu yang membuat cadangan itu kini adalah individu yang sama yang dahulunya tidak pernah termimpi untuk berbuat demikian.
Mereka akan berdepan dengan masalah dalam parti mereka sendiri.
“Langkah tidak konsisten, semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik, tidak akan membantu PAS dalam jangka panjang. (Dalam kes) BN, Umno, baik atau buruk, sekurang-kurangnya kita konsisten,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hari ini PAS mengumumkan bahawa parti itu akan membenarkan calon bukan Islam yang bertanding atas tiket PAS, menggunakan simbol parti itu pada pilihan raya umum akan datang, tetapi ia bersyarat.
Mengulas mengenai 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Hishammuddin berkata peranan kementeriannya adalah menentukan jumlah pekerja asing yang diperlukan.

“Setelah mengenal pasti NKEA, kita mendapati, ada sektor tertentu yang tidak memerlukan pekerja asing yang begitu ramai.
“Kedua, satu sistem perlu diwujudkan bagi memastikan mereka akan ditapis sebelum tiba ke negara ini, dipantau setelah berada di sini dan penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka meninggalkan negara ini bila tempoh mereka dibenarkan berada di sini tamat,” katanya.
Hishammuddin berkata kementerian akan mengkaji semua aspek dan menyelaraskan semua agensi berlainan yang berkaitan, termasuk pasukan petugas menangani keganasan, jabatan imigresen dan pasukan petugas menangani pengedaran dadah.
“Jadi, kementerian akan berada di satu posisi, tidak lama lagi, mampu menerajui dan menyelaras aktiviti membanteras jenayah antarabangsa merentas sempadan. Kementerian memiliki kepakaran dalam bidang ini dan mampu menerajui .
“Sungguh, ia adalah satu tempoh yang mengujakan iaitu ketika menumpukan pada NKEA, kita sedang mengimbangkan keperluan ekonomi dan juga risiko keselamatan yang terbabit,” katanya.
Dua belas NKEA itu ialah minyak dan gas, minyak kelapa sawit dan produk berkaitan, perkhidmatan kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, teknologi
maklumat dan komunikasi, pendidikan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan perniagaan, penjagaan kesihatan swasta, pertanian dan Greater Kuala Lumpur, telah disifatkan sebagai berpotensi menghasilkan pendapatan tinggi untuk negara. — Bernama

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks