Himpunan BERSIH kedua dirancang


Satu lagi himpunan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (BERSIH) dirancang diadakan tahun depan kerana "kerajaan tidak ada kecenderungan untuk memenuhi tuntutan gabungan itu".

Usul tersebut diluluskan sebulat suara dalam muktamar Dewan Pemuda PAS di Kota Bharu semalam.

Usul tersebut dibuat oleh Pemuda kawasan Parit, Perak dan disokong oleh Pemuda kawasan Kapar serta Dewan Pemuda PAS Terengganu, kata Pengerusi jawatankuasa usul Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat kepada Malaysiakini hari ini.
Bersih mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 2007 di ibunegara yang disertai oleh kira-kira 40,000 orang yang berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Memorandum tersebut mengandungi tuntutan, antaranya, mendesak kerajaan menggunakan dakwat kekal sewakstu pilihan raya dijalankan, menghapuskan undi pos dan menggunakan daftar pemilih yang bersih dalam pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, muktamar Dewan Ulama pula meluluskan sebulat suara mendesak pimpinan Pakatan Rakyat supaya lebih berhati-hati dan cermat dalam pemilihan calon dalam pilihan raya akan datang.

Mereka juga mendesak kepimpinan tertinggi parti itu supaya menaikkan taraf badan yang dikenali sebagai Urusan Ulama PAS kawasan kepada Dewan Ulama PAS kawasan.

Usul berkenaan mendapat sokongan padu daripada perwakilan yang hadir.

Perwakilan muktamar tersebut juga mengambil ketetapan untuk memastikan dasar dan prinsip pejuangan PAS dipertahankan di samping memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Muktamar Dewan Ulama juga meluluskan usul tergempar yang dibentang oleh Urusan Ulama kawasan Pengkalan Chepa yang mencadang diwujudkan unit khas kaunseling bagi menyedarkan golongan remaja terhadap gejala sosial yang berlaku sekarang.

Wakil kawasan tersebut Nik Razi Nik Mat berkata, ulama hendaklah tampil berperanan menangani masalah remaja dalam masyarakat. Usul tersebut dilulus tanpa sebarang bantahan.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks