Pilihan raya PBT akibatkan wakil kaum tidak seimbang

KUALA LUMPUR, 1 April — Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menolak usaha memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan kerana berpendapat ia akan mencetuskan ketidakseimbangan kaum, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin hari ini.
Lajim menegaskan kerajaan telah mempertimbangkan kesemua faktor sosial dan ekonomi sebelum menolak rayuan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengembalikan undi ketiga.
“Kebanyakan masyarakat bukan Islam tinggal di bandar raya manakala Bumiputera pula di kawasan pinggir.
“Akan ada ketidakseimbangan perwakilan mengikut kaum dalam kerajaan-kerajaan tempatan jika pilihan raya (kerajaan tempatan) diadakan,” kata Lajim kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Malah tambah beliau, pertimbangan aspek kewangan dan sumber manusia juga diambil kira dalam menolak pilihan raya sedemikian.
Tambah beliau sistem semasa sudah memadai dan tidak menghalang prinsip demokrasi kerana rakyat boleh mengundi setiap lima tahun untuk memilih wakil rakyat mereka.
Lajim juga berkata kerajaan-kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk memilih ahli majlis dan boleh melantik mereka apabila merasakan mereka boleh mewakili orang ramai dalam kerajaan tempatan.
“Kerajaan-kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kedah boleh melantik mereka yang mereka inginkan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpendapat kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor tidak boleh mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan kerana peruntukan mengenainya dalam Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 termansuh dengan pelaksanaan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata selaras dengan pemansuhan itu seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 memperuntukan keanggotaan sesuatu majlis PBT dibuat secara pelantikan.
“Bukan sebab SPR tak bagi buat (pilihan raya) tetapi undang-undang yang ada sekarang tidak membolehkan pilihan raya itu diadakan,” katanya.
Bagaimanapun katanya jika ada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Pulau Pinang dan Selangor bercadang untuk mengadakan semula pilihan raya PBT, suatu keputusan dasar hendaklah dibuat terlebih dahulu.
“Sekiranya kerajaan negeri hendak meminda dasar itu, ia boleh dipinda tetapi pindaannya tidak boleh diubah secara bersendirian,” katanya.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks