MP Pakatan keluar Parlimen protes pendirian Speaker

KUALA LUMPUR, April 1 — Kira-kira 30 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar Dewan Rakyat sebagai tanda protes selepas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak usul untuk meminda usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi DAP Lim Kit Siang mengemukakan usul pindaan pada 18 Mac lalu untuk membentuk sebuah jawatankuasa pilihan bagi memantau Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan dasar 1 Malaysia yang akan diketuai oleh pembangkang.
Bagaimanapun Wan Junaidi hari ini menolak usul berkenaan atas alasan ia tiada kaitan dengan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.“Tidak masuk akal, tidak masuk akal,” jerit Lim manakala Wan Junaidi pula memberitahu, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu boleh mengatakan apa yang beliau mahukan sebelum wakil-wakil rakyat Pakatan meninggalkan Dewan Rakyat.
Sesi penggulungan malam ini yang membabitkan peringkat kementerian dihadiri oleh sebahagian besar menteri, angggota Kelab Penyokong Kerajaan BN dan pembangkang.
Malah beberapa Ahli Parlimen yang jarang ditemui termasuk bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Syed Hamid Albar juga hadir.
Ia dipercayai berkaitan dengan insiden Disember lalu di mana bajet sulung Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hampir-hampir ditolak ekoran ketiadaaan wakil rakyat BN yang mencukupi.
Ahli Parlimen Ampang Zuraidah Kamaruddin kelihatan mengatakan bahawa “kami berjaya memastikan kesemua mereka (wakil rakyat BN) berada di dalam Dewan.”
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin pula didengar sebagai berkata, ini kali pertama anggota pembangkang memutuskan untuk keluar Dewan Rakyat sebelum undian dijalankan ke atas usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Kata beliau, tindakan pembangkang itu merupakan perbuatan tidak menghormati.
Ketika ditemui wartawan selepas keluar Dewan Rakyat, Lim berkata mengemukakan pindaan adalah sebahagian daripada konvensyen Parlimen manakala GTP dan 1Malaysia merupakan dasar yang penting.
Kata beliau, usul itu sepatutnya dibawa untuk diundi.
“Apa masalahnya? Mereka mempunyai cukup bilangan untuk menolak usul,” katanya.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks