KEADILAN Pilih Calon Yang Mampu Menjana Kemenangan

PETALING JAYA 29 Mac - Parti Keadilan Rakyat akan memilih calon yang boleh membawa kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Naib Presiden KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata pucuk pimpinan parti akan menimbangkan beberapa faktor penting dalam membuat keputusan tersebut termasuk latarbelakang peribadi, pengalaman dan kelayakan akademik, demografi pengundi, ciri kawasan pilihan raya serta pandangan rakan lain dalam Pakatan Rakyat.
"Tidak satu pun faktor yang disebutkan boleh berdiri secara sendiri dalam menentukan siapa calon yang bakal bertanding. Ujian terbaik ialah samada calon yang diputuskan mampu menjana kemenangan.
"Di dalam pilihan raya umum di mana sebilangan calon dipertandingan untuk sejumlah kerusi, memastikan calon yang dipilih itu mampu mewakili semua kaum adalah juga faktor yang penting," kata Sivarasa untuk menjelaskan kenyataan beliau yang dipetik media berhubung pemilihan calon Pakatan Rakyat bagi kerusi Parlimen itu.
Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang berkata pemilihan seseorang calon adalah perkara yang sulit dan isu dalaman parti dan tidak seharusnya kemungkinan seseorang yang disebutkan sebagai calon dibincang secara terbuka.
"Keputusan muktamad pemilihan calon terletak di tangan Majlis Pimpinan Pusat kecuali keputusan itu diserahkan kepada Biro Politik atau pemimpin tertentu. Tidak ada mana-mana calon boleh bertanding tanpa waran yang ditandatangani oleh Presiden parti," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks