Bawa usul jika mahu buang perkataan Melayu, cabar Nazri

KUALA LUMPUR, 1 April — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (gambar) mencabar pembangkang membawa usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membuang perkataan “Melayu”.
Cabaran itu dilontarkan kepada Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang mempersoalkan keseriusan kerajaan melaksanakan gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Lim, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak menyokong gagasan tersebut apabila sering mengeluarkan kenyataan yang mendahulukan bangsa Melayu.
“Gagasan 1 Malaysia ini berpaksikan Perlembagaan dan kalau Yang Berhormat nak bangkitkan perkara-perkara yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri tadi, yang pertama sekali Yang Berhormat kena serang ialah Perlembagaan Malaysia.
“Dalam Perlembagaan Malaysia disebut Melayu... jadi bermakna apa juga yang kita buat dalam gagasan 1 Malaysia tidak boleh membelakangkan apa yang telah dijaminkan dalam Perlembagaan.
“Tetapi kalau rakan-rakan Yang Berhormat Melayu yang lain sebelah pembangkang sana merasakan perlu kita pinda Perlembagaan, buang perkataan ‘Melayu’, buatlah, runding-runding bawalah usul, supaya kita boleh pinda Perlembagaan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen.
Justeru itu, Nazri berkata gagasan 1 Malaysia perlu dilaksanakan dengan mengambil kira batasan yang wujud dalam Perlembagaan khususnya berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu.
“Itu tidak boleh kita ketepikan kerana kalau tidak, ia akan merupakan anti-perlembagaan atau menentang perlembangaan, jadi sebab itu Yang Berhormat, kalau ada 1 Malaysia pun, kita tak boleh ketepikan jaminan yang sudah kita beri kepada warga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata ini juga tidak bermakna dengan slogan 1 Malaysia, kerajaan boleh mengambil tindakan menutup sekolah aliran China dan Tamil kerana perkara tersebut sudahpun dijamin dalam Perlembagaan.
“1 Malaysia tidak boleh menjejaskan apa-apa juga hak yang telah kita ada, wujud dan diberikan kepada kita.
“Jadi, jika Yang Berhormat kata bila buat gagasan 1 Malaysia maknanya semua kena menampakkan 1 Malaysia, tak bolehlah Yang Berhormat sebab kita ada Perlembagaan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Nazri berkata, kerajaan masih boleh melaksanakan gagasan 1 Malaysia di mana yang boleh asalkan tidak menyentuh hak dan keistimewaan yang disebut dalam Perlembagaan secara langsung.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks