Ketua Wanita MCA Letak Jawatan Minggu Depan...???

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, hari ini menegaskan pendirian yang dibuatnya sebelum keputusan pemilihan parti Ahad lalu tidak berubah dan akan membuat satu kenyataan rasmi selepas mesyuarat pertama jawatankuasa pusat sayap pada Khamis ini.
Chew yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau terlebih dahulu perlu menjelaskan keputusannya itu kepada anggota jawatankuasa pusat sayap itu.
"Saya telah menyatakan selepas keputusan pemilihan diumumkan bahawa 'pendirian saya tidak berubah'. Saya telah nyatakan pendirian saya itu dengan jelas.
"Mengenai bila dan di mana saya patut mengumumkan keputusan saya, saya berpandangan bahawa saya tidak perlu mengikut jadual sesiapa," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Chew mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi jawatan Presiden sebelum pemilihan parti diadakan pada 28 Mac lalu.
Pada pemilihan itu Dr Chua mengalahkan penyandang, Datuk Seri Ong Tee Keat, dan bekas Presiden, Tan Sri Ong Ka Ting, untuk jawatan Presiden MCA.
Chew dilihat sebagai menyokong Ka Ting.
Ketua Wanita itu juga berkata, walaupun keputusan yang akan diumum beliau bukan perkara besar, beliau masih perlu memastikan langkah yang sepatutnya telah diambil.
"Sebagai Ketua Wanita saya memikul banyak sokongan dan harapan. Mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan saya dan kami berkongsi matlamat yang sama. Justeru saya berasa perlu untuk memberikan mereka ruang bagi meluahkan pandangan sebelum saya mengumumkan keputusan saya.
"Saya tidak akan mengelak. Saya akan bertemu dengan banyak pihak yang telah meminta untuk berjumpa dengan saya. Sebaik sahaja mereka telah menyatakan pandangan mereka, saya akan jelaskan kepada mereka mengenai keputusan yang telah saya buat dan pendirian saya," katanya.
Chew berkata, beliau juga telah menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS), emel dan panggilan telefon memujuknya agar kekal dengan jawatan itu.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks