UALA LUMPUR 1 April - Setelah 16 hari mendiamkan diri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui beliau pernah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi membentuk kerajaan pada September 2008.
Ketua Pembangkang itu berkata, surat berkenaan dihantar pada 19 September 2008 bagi memaklumkan tentang kedudukan terkini majoriti ahli Dewan Rakyat yang telah hilang kepercayaan kepada Kerajaan Persekutuan.
''Apa yang dilakukan ini adalah mengikut undang-undang di bawah Fasal 43 Perlembagaan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah semasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Pada 17 Mac lalu, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila 'memecahkan tembelang' Anwar mengenai 'misi rampasan kuasa 16 September yang tidak kesampaian'.
Antara pembohongan Anwar yang didedahkan Zahrain adalah dakwaan kononnya Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti sudah mencukupi selain 'menjaja' nama Tuanku Mizan kononnya Seri Paduka menunggu di istana untuk mengesahkan jumlah itu.
Dedah Zahrain, Anwar turut mendakwa Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam jika berjaya membentuk kerajaan manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyokong pelantikan itu.
Anwar telah bertindak keluar dewan ketika Zahrain baru memulakan pendedahannya dan mengambil sikap mendiamkan diri serta tidak menjawab segala dakwaan yang dibuat sehingga hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mempertahankan bahawa jumlah ahli Parlimen BN yang akan melompat parti ketika itu telah mencukupi, tetapi enggan mendedahkan senarai nama wakil rakyat terbabit pada sesi sidang hari ini.
''Saya hendak sebut sekali lagi, menyatakan kita tidak ada jumlah, ini tak benar. Mustahil saya ambil risiko ini," katanya berdalih.
Sementara itu, Anwar yang nampaknya tidak berpuas hati dengan pendedahan Zahrain telah bertindak menyerang peribadi Ahli Parlimen Bayan Baru itu.
''Dalam Parlimen pun dia tak pernah gunakan ruang untuk bercakap. Kemudian orang tolong draf dan sampaikan ucapan yang agak baik.
''Dia kata sahabat baik saya. Kalau sahabat baik sekurang-kurangnya masa saya dalam penjara masih berani datang ke majlis perkahwinan anak saya, tetapi Bayan Baru hilang entah ke mana," katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengakui bahawa wujud pelawaan untuk Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas pilihan raya umum 2008.
Zambry yang membuat pendedahan itu semalam berkata, beliau ialah antara tiga wakil rakyat UMNO yang ditawarkan sebagai Menteri Besar Perak jika menyertai PKR.
Menurut Anwar, pelawaan itu tidak dibuat oleh beliau sendiri sebaliknya oleh tokoh-tokoh lain.
''Saya tak ada pertemuan dengan dia. Tetapi saya akui benar, beliau ada menelefon saya tetapi ini hanya bagi mengucap apa khabar dan tiada kaitan dengan pelawaan masuk PKR," ujarnya.
Kuliah Maghrib: Fiqh Solat (40)
7 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan