Menyingkap Tabir Dunia : Perihal Imam Mahdi Bahagian 1

Percaya atau tidak... ada ulama' yang menolak hadis-kedatangan Imam Mahdi? Antaranya...Ibnu Khaldun yang terkenal dengan kitab Muqaddimah.. Kenapa?? (jadi...saya harap anda baca,fahami dan mengkaji kebenarannya)

Selamat Membaca!!!



Antara Ulama Yang Menerima Dan Menolak

Demikian hebat dan bercelarunya seluruh dunia ini dengan masalah mengenai keperibadian Imam Mahdi. Sebahagian besar ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah menerima mengenai kedatangan Imam Mahdi dan mempercayainya seperti yang disebutkan di dalam hadis-hadis. Selain itu, muncul pula segolongan ulama Islam yang menolak terus atau tidak mempercayai langsung masalah Imam Mahdi ini. Mereka adalah dari kalangan ulama atau cendekiawan, terutama pada zaman moden ini, yang dilihat secara zahirnya adalah dari mazhab Ahlus Sunnah sendiri.


Mereka menolak terus hadis-hadis yang dikaitkan dengan Imam Mahdi sambil menyatakan hadis-hadis mengenai diri Imam Mahdi itu sangat dhaif atau menyandarkan pendapat dengan menyatakan bahawa Imam Bukhari dan Imam Muslim langsung tidak ada meriwayatkannya. Kerana itu, menurut mereka lagi, perkara mengenai Imam Mahdi tidak ada dasarnya dalam agama yang suci ini.
Walau apa pun pendapat mengenai diri Imam Mahdi itu, terdapat pula orang-orang Islam yang sangat yakin dengannya dan terdapat pula orang Islam yang menolak terus hal ini. Yang yakin, terlalu yakin manakala yang menolak, menolaknya mentah-mentah. Mereka menganggapnya sebagai suatu perkara bidaah, dongeng zaman purba, datang dari pengaruh messianic dan sebagainya lagi.


Yang mengatakannya sebagai suatu bentuk kepercayaan karut atau khurafat pun ada. Ini mungkin disebabkan masalah Imam Mahdi bukan masalah pokok akidah, cuma masalah furuk sahaja atau lazim disebut soal khilafiah, soal ijtihad. Percaya atau tidak, tidak membawa kesan apa-apa. Adanya atau tiadanya boleh diterima atau ditolak, dan iman kita tetap sah, walaupun kita menyatakan pendirian kita untuk menyebelahi mana-mana pihak atau langsung tidak menyebelahi mana-mana pihak, yakni mengambil jalan tengah, dengan bersikap tunggu dan lihat (tawaquf).


Antara ulama yang menolak terus hadis yang berkaitan Imam Mahdi adalah kebanyakannya dari kalangan pengikut Ibnu Taimiyah dan Wahabi seperti yang dipelopori oleh Ibnu Khaldun, antaranya Haji Sanusi Hj Mahmood (bekas Mufti awal Singapura), Prof Dr Hamka, Abu al-A’ala al- Maududi, Syeikh Mahmud Syaltut, Muhammad Rasyid Ridha dan Syeikh Muhammad Abduh. Para sarjana dan cendekiawan hari ini juga sangat ramai yang cenderung kepada pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun itu. Mungkin kerana kaedah kajian Ibnu Khaldun itu serupa atau hampir serupa dengan kaedah kajian mereka pada hari ini.


Antara alasan yang sering digunakan sebagai hujah oleh golongan yang menolak, jika dikemukakan persoalan ini kepada mereka ialah:


1. Hadis-hadis yang menyebutkan Imam Mahdi adalah hadis yang lemah (dhaif), malah dhaifnya itu meliputi hampir semua jenis hadis dhaif.


2. Rawi yang meriwayatkan tentang Imam Mahdi itu kebanyakannya adalah dari kalangan mereka yang lemah-lemah ingatannya. Oleh itu, periwayatan mereka boleh ditolak atau tidak dapat dipakai.


3. Rawi yang meriwayatkan tentang Imam Mahdi banyak yang bermazhab Syiah. Malah ada sebahagiannya adalah dari kalangan pemimpin Syiah di sesuatu tempat pada masanya.


4. Kekacauan dari segi matan menyebabkan kebanyakan hadis mengenai Imam Mahdi patut ditolak kerana hal ini amat menjejaskan kebolehpercayaan terhadap siqah rawi itu sendiri dan hadis-hadis yang dibawanya.


5. Matan hadis mengenai Imam Mahdi itu ternyata amat kacau antara sebuah hadis dengan hadis yang lain. Ini ditambah lagi dengan ucapan para sahabat RA dan ucapan para tabiin RH yang juga amat bertentangan antara satu sama lain, malah bertentangan pula dengan matan hadis Nabi SAW. Semuanya ini menambahkan lagi kacaunya perihal mengenai Imam Mahdi.


6. Ramainya pengaku Imam Mahdi sedangkan sifat-sifat dan pendakwaan mereka itu, tidak satu pun yang dapat dibuktikan bahawa mereka adalah Imam Mahdi. Hal ini sentiasa muncul dari semasa ke semasa dan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Kerana itulah sukar untuk dipercayai kemunculan Imam Mahdi.


7. Sifat-sifat dan kelebihan yang ada pada Imam Mahdi itu sendiri yang amat luar biasa dan hebat, melebihi dari apa yang sepatutnya berlaku kepada seorang manusia biasa. Sedangkan Nabi Muhammad SAW itu sendiri pun tidak pernah diberi kelebihan dan kekuasaan seperti yang disebutkan kepada Imam Mahdi. Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik rasul dan sekasih-kasih manusia pada sisi Allah, tetapi tidak pernah mendapat apa yang diberikan kepada Imam Mahdi. Kerana ketidaklogikan inilah, hadis-hadis mengenai Imam Mahdi patut ditolak sama sekali.


8. Imam al-Bukhari dan Imam Muslim tidak pernah meriwayatkan hadis-hadis yang menyebut nama Imam Mahdi dalam kitab hadis mereka. Maknanya, hadis-hadis mengenai Imam Mahdi itu sah dhaif atau maudhuk, kerana tidak melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kedua-dua imam hadis itu. Para ulama sekarang, sama ada yang lepasan universiti terkenal, universiti kurang terkenal, sekolah agama, sekolah pondok dan sebagainya, dengan begitu mudah menolak hadis-hadis mengenai Imam Mahdi yang akan muncul pada zaman ini, dengan alasan hadis-hadis yang dibawa adalah dhaif dan sangat dhaif, malah sebahagian besarnya dikatakan adalah hadis maudhuk.


Itu cerita ulama, cendekiawan dan sarjana yang menolak mengenai kedatangan Imam Mahdi serta alasan-alasan yang mereka berikan. Sekarang kita lihat ulama yang percaya dan yakin pula.


Antara ulama yang meyakini zahirnya Imam Mahdi adalah dari kalangan ulama kenamaan Ahlus Sunnah wal Jamaah seperti Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami, Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz (Almarhum Mufti Brunei), Imam Ibnu Kasir, Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Syeikh Ali al-Khawas, Imam Jalaluddin As-Suyuti, Imam ar-Ramli dan Imam Sayid Hasan al-Iraqi.


Sebenarnya jika hendak disenaraikan nama mereka yang yakin akan kemunculan Imam Mahdi dari kalangan ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah terlalu ramai, seramai bilangan ulama itu sendiri. Ini kerana kalangan ulama Ahlus Sunnah secara umumnya menerima kebenaran datangnya Imam Mahdi dan hadis-hadis yang berkaitan dengannya.


Yang menjadi masalah di kalangan mereka sekarang ini ialah sama ada mereka mendalami masalah ini atau tidak, ambil berat atau tidak. Itu sahaja. Jika keyakinan mereka dijadikan soalan, sudah pasti jawapan yang kita terima ialah mereka percaya dan yakin. Sebab itu ada ulama yang mendalam ilmunya tentang masalah Imam Mahdi ini dan ramai pula yang tidak mempunyai ilmu secukupnya tentang hal ini.

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

apakah imam mahdi telah muncul?
http://www.anugerahsepakat3m.com/kesedaran/

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks