Fairus, Bekas ADUN Penanti Sertai UMNO

Bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang meletakkan jawatannya April tahun lalu, menyertai Umno hari ini.

Keputusan beliau menyertai Umno diumumkan selepas menghadiri Perjumpaan Kepimpinan Tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Bersama Perdana Menteri Malaysia yang turut dihadiri Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu Fairus dengan berpakaian ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong menyambut ketibaan Najib, yang juga Presiden Umno, di lobi hotel tempat berlangsungnya majlis itu.

Fairus menyertai Umno kira-kira dua minggu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan beliau antara lapan kes berprofil tinggi bebas tuduhan rasuah.

Beliau pernah disiasat kerana dakwaan rasuah melibatkan syarikat kuari di Seberang Perai.

Fairus, 33, meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti berkuat kuasa 16 April tahun lalu.

Fairus keputusan melepas jawatan Adun bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pascasiswazah dan sekali gus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Pulau Pinang.

Fairus dalam ucapannya pada majlis itu berkata, beliau membuat keputusan selepas mengambil kira perkembangan sepanjang tiga bulan lalu khususnya selepas tercetusnya isu kalimah “Allah”.

Beliau mendakwa pendirian yang dibuat oleh PKR, salah satu komponen Pakatan Rakyat, amat mendukacitakan dan tidak menyenangkan kerana bertentangan dengan perjuangan parti.

“Saya akhirnya mendapat petunjuk yang sangat jelas dan saya dengan ini atas prinsip mempertahankan agama dan kepentingan rakyat, hari ini saya membuat pengisytiharan untuk keluar PKR dan menyertai Umno,” katanya yang menyampaikan ucapan khas sebelum Najib mula berucap.

Najib dalam ucapannya pula berkata atas nama Presiden Umno beliau menyambut penyertaan Fairus, yang menurutnya telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR ke dalam Umno.

“Oleh itu atas nama Presiden Umno, anak muda bernama Fairus akan diterima dengan senang hati (ke dalam Umno) kerana saya tahu beliau mengambil keputusan atas soal prinsip, atas nama perjuangan... mahu menjadi anggota Umno.

“Oleh itu kita kena jaga beliau dengan baik, beliau boleh memainkan peranan kepada parti, bangsa dan agama,” katanya.

Pada majlis ini Fairus juga menandatangani borang menyertai ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong dan Umno secara rasmi. -MI

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks