Husni: Model ekonomi baru tidak pinggir Bumiputera

TAPAH, 28 Feb — Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menolak kebimbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, termasuk pendirian Majlis Perundingan Melayu (MPM) semalam bahawa model ekonomi baru yang diumum bulan depan akan menyebabkan golongan Bumiputera dan orang Melayu terus ketinggalan daripada segi ekonomi.

Beliau berkata kerajaan mengambil kira kepentingan semua pihak dalam perancangannya untuk melaksanakan model ekonomi baru berkenaan dan pelaksanaannya bakal melahiran usahawan Bumiputera yang berwibawa “duduk” dalam dunia ekonomi sebenar.

“Kerajaan tidak akan mengenepikan mana-mana ras dalam negara ini, semua orang akan mendapat manfaat daripada model ekonomi baru yang akan dilaksanakan,” kata beliau dipetik Bernama hari ini.

Bendahari Umno ini memberitahu model ekonomi baru itu akan dibentangkan sekali lagi kepada Kabinet bulan depan bagi mendapatkan kelulusan daripada segi kerangkanya sebelum diperincikan dan seterusnya diumumkan pada separuh kedua 2010.

Husni yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata demikian selepas Majlis Bersama Pemimpin di Dewan Merdeka di sini hari ini sempena lawatan kerja beliau ke Parlimen Tapah.

Hampir 80 NGO Melayu menubuhkan Majlis Perundingan Melayu di Kelab Sultan Sulaiman di ibu negara semalam dengan menggesa kerajaan meneruskan pendekatan afirmatif melindungi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dalam model ekonomi baru yang akan diumumkan akhir bulan depan.

MPM yang dilancarkan dengan sokongan lebih 50 NGO dari pelbagai latar belakang termasuk ekonomi dan perniagaan, mendesak kerajaan meneruskan model ekonomi yang “terpimpin” bagi terus melindungi orang Melayu dan Bumiputera.

Suara-suara yang dilontarkan semalam termasuk usaha pemansuhan subsidi dan bantuan tertentu menunjukkan orang Melayu mula bimbang dengan model baru itu, kata seorang pemimpin yang menghadiri majlis semalam kepada The Malaysian Insider.

“Kami tidak mahu model ekonomi yang terlalu bebas dan terlalu liberal... kami mahu model yang boleh memimpin kepentingan orang Melayu,” kata pemimpin yang menghadiri majlis pelancaran semalam.
The Malaysian Insider difahamkan MPM juga kecewa kerajaan tidak mengadakan perbincangan secara menyeluruh dengan NGO-NGO Melayu dalam membentuk model ekonomi baru ini, yang dipercayai dirangka selaras dengan slogan 1Malaysia dan perkembangan global semasa.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks