PSM Desak Gubal Akta Gaji Minima, Bukannya Bina Projek Mega


Oleh Sidiqin Omar
SHAH ALAM 19 Jun - Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia,  S Arutchelvam mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk lebih mengutamakan keperluan rakyat daripada memulakan projek-projek mega seperti pembinaan Istana Negara yang baru, atau memindahkan bangunan Parlimen yang akan memakan belanja yang besar.
"PSM mempersoalkan kewajaran kerajaan untuk membina Istana dan Parlimen baru, kerana adakah kedua-dua struktur sedia ada tidak boleh digunakan? PSM juga ingin tahu siapa yang memutuskan bahawa kita memerlukan Istana atau Parlimen yang baru dan dari mana datangnya peruntukan tersebut?" soal Arul.
Beliau dalam kenyataan medianya hari ini kesal dengan keputusan terburu-buru kerajaan yang bersetuju untuk menambah kos pembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur dari RM 400 juta kepada RM 811 juta, serta cadangan untuk memindahkan Parlimen ke Putrajaya yang memakan belanja berjumlah RM 800 juta.
"Nampaknya kos tambahan untuk membina Istana dan cadangan pemindahan Parlimen yang baru ini dirahsiakan dari pengetahuan awam. Kini memang jelas bahawa memang tidak ada dilakukan tender secara terbuka bagi projek-projek besar seperti ini, yang berjumlah jutaan ringgit.
 
"Baru-baru ini kita telah dimaklumkan bahawa Malaysia bakal muflis pada tahun 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi. Peliknya, kerajaan seolah-olah tidak tahu di mana dan apa yang harus dipotong? Di satu sisi para pekerja dan rakyat disuruh untuk mengikat perut mereka, tetapi para penguasa dan majikan hanya berpoya-poya," kesalnya.

Arutchelvam menjelaskan sekiranya kerajaan benar-benar mahu meningkatkan ekonomi negara, beliau mencadangkan agar kerajaan membina lebih banyak rumah kos rendah, hospital dan memperbaiki kesemua sekolah-sekolah kerajaan. Baginya, banyak perkara yang dapat dilakukan dengan wang tersebut bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
PSM melihat bahawa keperluan yang paling mustahak bagi kerajaan adalah untuk mengagihkan kekayaan negara dan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin di negara ini.
"Salah satu cara terbaik untuk melaksanakan agenda tersebut ialah bukannya dengan menaikkan papan-papan tanda yang memaparkan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', tetapi adalah lebih baik untuk melaksanakan Akta Gaji Minima yang telah lama diperjuangkan oleh para pekerja dan kesatuan buruh di Malaysia."
"Kepentingan orang ramai haruslah diletakkan lebih daripada kepentingan individu. Dalam hal ini, wang yang dikeluarkan oleh orang ramai dan seharusnya dikembalikan untuk kepentingan rakyat," kata Arutchelvam.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks