PETALING JAYA, 19 Jun - Tindakan Istana Johor menarik balik pingat darjah kebesaran dari Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Chua Jui Meng tidak pernah mematahkan semangat perjuangannya untuk terus bersama KEADILAN dalam membawa arus perubahan politik negara ini.
Beliau yang ditemui pada sidang media di Pejabat KEADILAN di Tropicana menjelaskan bahawa tindakan penarikan itu adalah pengorbanan yang harus dihadapinya sebagai pejuangan untuk membela rakyat dan beliau tidak berasa sedih penarikan tersebut malah mengganggap perjuangan yang dilakukan pemimpin awal dalam KEADILAN lebih besar nilainya dari pingat yang diperolehinya.
"Semua rakyat sudah tahu tentang penarikan pingat kebesaran saya itu, Setiausaha Jemaah Majlis Di Raja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramly telahpun memaklumkan kepada saya bahawa dua darjah kebesaran, DPMJ (Dato' Paduka Mahkota Johor) dan SPMJ (Dato'Sri Paduka Mahkota Johor) telahpun ditarik balik. Saya telah pun menerima surat rasmi mengesahkan perkara itu pada 15 Jun yang lepas.
"Walaupun tiada alasan yang diberikan berhubung penarikan darjah kebesaran itu, saya menerimanya kerana keputusan tersebut bergantung kepada budi bicara Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan. Saya dengan rela menyerahkan kedua-dua pingat tersebut.
"Pada 10 Jun lepas saya menerima panggilan dari Abdul Rahim mengenai penarikan tersebut, dalam masa saya berbual dengannya saya turut memberitahu bahawa saya masih lagi mempunyai satu pingat, PIS (Pingat Ibrahim Sultan) yang diberikan oleh Baginda Sultan Johor dan saya bertanya kepadanya adakah itu juga akan ditarik balik. Dengan tanpa merujuk kepada pihak istana beliau juga terus mengarahkan saya menyerahkan pingat tersebut walaupun surat yang diterima oleh saya tidak mengarahkan pingat itu mesti diserahkan," jelasnya
Tambahnya lagi, beliau tidak mengerti kenapa perkara itu tidak dirujuk terlebih dahulu kepada istana sebelum membuat keputusan dan beliau akan turut menyerahkan pingat yang ketiga itu.
"Saya menyedari sebaik sahaja menyertai Pakatan dan KEADILAN, pasti berhadapan dengan pelbagai onak dan duri, jesteru saya bersiap sedia untuk terus mara bersama perjuangan ini.
"Ramai dari rakan seperjuangan saya telah membuktikan keteguhan menuntut perubahan sehingga terpaksa merengkok dalam penjara. Makanya kehilangan tiga pingat bukanlah satu pengorbanan yang besar bagi saya kerana perjuangan rakan-rakan saya melebihi segala-galanya.
"Saya amat bertuah berada bersama dengan mereka yang berjuang untuk kesejahteraan rakyat negara ini, saya yakin Umno pastinya kesal dengan tindakan mereka untuk mengganggu saya. Sebaik sahaja pengumuman penarikan tersebut, sokongan rakyat datang mencurah-curah terhadapan saya dan KEADILAN.
"Sokongan ini menunjukkan rakyat menolak politik kebencian yang selama ini menjadi sebahagian dari kerajaan Umno-Barisan Nasional. Mereka juga menzahirkan hasrat untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN yang terbukti muflis idea untuk memacu negara ini kehadapan," kata beliau.
Beliau kesal kerana Umno gagal untuk menangani isu berkaitan masalah rakyat selain soal ketirisan yang sudah tidak dapat dibendung lagi.
"Umno gagal untuk mengambil tindakan terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat, kita berhadapan dengan ketirisan serta rasuah yang berleluasa selain masyarakat terpinggir dengan kebajikan ekonomi yang berat sebelah. Mereka juga menggunakan amalan politik ugutan dalam kepentingan peribadi mereka.
"Bagi saya tindakan mereka ini mengukuhkan lagi iltizam saya untuk bersama KEADILAN demi memastikan Malaysia yang adil untuk semua dan saya yakin dengan pilihan ini," sambung Jui Meng.
Selain itu juga beliau pasti rakyat menilai apa yang telah dilakukan oleh Umno-BN dalam politik negara ini dan pasti hukuman yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umun yang lepas akan lebih teruk lagi pada pilihan raya yang akan datang. Rakyat akan terus menghukum mereka kerana bosan dengan politik kotor yang diamalkan oleh Umno.
0 comments:
Catat Ulasan