Parlimen serah SPR, A-G tentukan status Tian Chua..ha.ha.projek tendang menendang..!!!



KUALA LUMPUR, 19 Jun — Dewan Rakyat akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara untuk menentukan status Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang kini berhadapann dengan risiko dilucutkan kerusi walaupun dendanya diturunkan kepada RM2,000 kelmarin.
Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagi mengelakkan masalah berkaitan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Dewan Rakyat akan merujuk kes berkenaan kepada SPR untuk diputuskan.
“Dewan Rakyat tidak perlu membincangkan kes ini... ini adalah kes (kadar denda) yang marginal di mana denda yang dikenakan RM2,000 (di paras sempadan), lebih elok statunya diputuskan oleh Peguam Negara,” katanya lagi.
“Apabila mahkamah memaklumkan kepada kami (Parlimen), kami akan merujuk kes ini kepada SPR, yang saya percaya akan mendapatkan nasihat Peguam Negara bagi menentukan kerusi Batu, yang pada pandangan saya kemungkinan sudah kosong (dengan keputusan mahkamah kelmarin),” kata Wan Junaidi ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Wakil rakyat itu berhadapan dengan risiko itu meskipun hukumannya dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM2,000.
Ketika ditanya sama ada Pejabat Speaker Dewan Rakyat akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kes ini dalam waktu terdekat, “kita akan berbincang bila tiba masa.”
“Kami belum dimaklumkan apa-apa lagi (oleh mahkamah)... kami akan bercakap bila kami merentasi jambatan,” katanya dengan berseloroh.
Tanpa menolak wujudnya kes-kes rujukan masa lalu, Wan Junaidi berkata, usul bagi memutuskan status jika dibawa ke Dewan Rakyat, berdasarkan kedudukan semasa, secara logik akan menyumbang kepada undi tidak memihak kepada wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat itu.
Barisan Nasional (BN) masih memiliki kelebihan dari segi kerusi di Dewan Rakyat sekarang dengan 137 anggota.
“Dalam hal ini, saya secara peribadi berpandangan bahawa jika majoriti wakil rakyat mengundi mengesahkan kerusi Batu kosong, orang ramai akan mencemuh (seolah-olah Parlimen tidak adil)... ia juga akan mengakibatkan implikasi dari sudut peruntukan perlembagaan.
“Akan ada yang berpandangan bahawa Parlimen bertindak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, saya berpendapat lebih baik perkara ini diteliti oleh SPR dengan nasihat Peguam Negara,” kata Wan Junaidi lagi.
Peguam Tian Chua, 47, yang gagal menemui hakim kes pagi semalam akan bertemu beliau Isnin ini.
Bagaimanapun peguam Tian Chua memaklumkan hakim kes menerusi timbalan pendaftar berpendapat bahawa peruntukan hukuman cukup jelas dan tidak memerlukan sebarang penjelasan lanjut.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, usul mengenai status kedudukan wakil rakyat boleh dibawa oleh mana-mana anggota Dewan Rakyat, katanya.
“Bukan Speaker yang membawa usul, tetapi anggota Dewan akan membawa usul ini,” kata Wan Junaidi.
Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan ia tidak mendapat pengampunan.
Mengenai keputusan hilang status kelayakan, Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa “jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli Majlis Parlimen telah hilang kelayakan menjadi ahli, maka soal itu hendaklah diputuskan oleh Majlis itu dan keputusannya itu adalah muktamad.”
Peruntukan ini menambah, “dengan syarat bahawa Perkara ini tidak boleh ditafsirkan sebagai menghalang amalan Majlis menangguhkan sesuatu keputusan supaya langkah-langkah (termasuk langkah-langkah membatalkan hilang kelayakan itu) yang mungkin menyentuh keputusannya boleh diambil atau ditamatkan.”
Peguam Karpal Singh berkata Tian Chua yang juga Pengarah Strategi PKR tidak lagi sah sebagai anggota Dewan Rakyat.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata kerusi wakil rakyat Batu itu secara automatik menjadi kosong ekoran keputusan Mahkamah Tinggi itu, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil.
“Jika denda RM2,000 (beliau) habis. Kerusi menjadi kosong. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengatakan bahawa RM2,000 atau lebih, anda sudah hilang kelayakan.
“Tiada hujah lagi dalam soal ini,” kata Karpal.
Dengan merujuk kepada Ahli Parlimen Menglembu Fan Yew Ting pada 1975 sebagai kes rujukan, Karpal memberitahu Speaker Dewan Rakyat telah mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas beliau didenda RM2,000 ekoran kesalahan di bawah Akta Hasutan.
Karpal memberitahu, undang-undang itu telah dipinda selepas kes Fan yang membolehken kelucutan secara automatik apabila seseorang Ahli Parlimen didapati bersalah tanpa perlu melalui Dewan Rakyat.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks