Jika tidak kerana Karpal Singh membangkitkan bahawa Tian Chua perlu mengosongkan kerusi Parlimen Batu selepas Mahkamah Tinggi mengurangkan dendanya kepada RM2,000 kerana menggigit seorang anggota polis, banyak pihak sudah melupakan kemungkinan adanya pilihanraya kecil terbaru selepas Sibu, Mei lalu.
Sekaligus, timbul persoalan apakah motif Pengerusi DAP itu menyatakan kerusi Parlimen yang dimenangi PKR pada PRU ke 12 dahulu perlu diisytiharkan kosong sedangkan pembangkang pastinya tidak mahu lagi kekurangan kerusi selepas lima ahli parlimen PKR keluar parti.
Karpal membangkitkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika disabitkan mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan.
Mengikut Perkara 53 perlembagaan itu, seorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika dia tidak merayu keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari.
Karpal yang juga seorang peguam merujuk kes pada 1975, apabila Ahli Parlimen DAP, Fan Yew Teng, terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu selepas dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 selepas disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.
Bagaimanapun, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ghazali Cha yang mendengar rayuan Tian Chua pada Khamis mengurangkan hukuman terhadap pemimpin PKR itu atas alasan tidak mahu pilihanraya kecil mencetuskan beberapa persoalan.
Bukan berniat menghina mahkamah tetapi ada pihak berpendapat jika timbul situasi yang tiada kepastian, hanya Speaker Dewan Rakyat berhak menentukan putusan sama ada kerusi Parlimen Batu kosong atau sebaliknya setelah penyandangnya disabitkan kesalahan dan denda oleh mahkamah.
Hal sama juga ditegaskan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana perkara itu termaktub dalam Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan bahawa pejabat Speaker Dewan Rakyat yang mempunyai kuasa bagi menentukan status sesebuah kerusi parlimen berkenaan.
"Perkara 53 (1) menyebut jika berbangkit apa-apa persoalan sama ada seorang ahli Majlis Parlimen telah hilang kelayakan, soal itu hendaklah diputuskan oleh Majlis Parlimen dan keputusan itu adalah muktamad,”.
Kini, SPR menunggu notifikasi atau pemakluman rasmi daripada Pejabat Speaker Dewan Rakyat sama ada kerusi Parlimen Batu kosong atau sebaliknya.
Bagaimanapun, dengan mengenepikan perkara itu, persoalan yang berbangkitkan kini kenapa Karpal Singh seolah-olah tidak sependapat dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut dan melihat perlunya ada pilihanraya kecil di Parlimen Batu.
Memang sebelum ini Tian Chua pernah menyatakan tidak akan merayu jika Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan di buat Mahkamah Majistret sebelum ini yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000.
Bermakna, beliau sendiri mahu melepaskan kerusi itu dan mahu pilihanraya kecil diadakan.
Ini juga menjadi teka teki.
Namun, Agendadaily difahamkan, pembangkang khususnya PKR dan DAP mempunyai percaturan menarik dalam menentukan kerusi Parlimen Batu.
Pilihanraya kecil jika diadakan kelak dianggap dapat meneruskan momentum pakatan rakyat khususnya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berdepan perbicaraan kes dakwaan meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Selain kes tersebut, Anwat juga sedang berdepan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu Apco Worldwide yang mungkin menyebabkan beliau dikenakan hukuman gantung menghadiri sidang Dewan jika didapati bersalah.
Justru itu, Ketua Pembangkang tersebut perlukan ‘platform’ supaya kedua-dua kes itu di bawa ‘ke mahkamah rakyat’ untuk beliau meraih simpati dan dapat menegakkan benang basah.
Dalam pada itu, ada juga maklumat kononnya pilihanraya kecil di Parlimen Batu kelak bagi membolehkan Datuk Zaid Ibrahim dicalonkan selepas tewas di Hulu Selangor, akhir April lalu.
Idea meletakkan Zaid khabarnya turut disokong DAP yang melihat politik bekas menteri kerajaan Barisan Nasional itu .ngam’ dengan idealogi parti itu.
Agendadaily dimaklumkan, jika Zaid menang, kedudukannya dalam PKR lebih terjamin malah ada kemungkinan beliau akan menggantikan Anwar menerajui parti itu jika mantan timbalan perdana menteri itu didapati bersalah dalam kes liwatnya.
Walaupun ada pihak melihat Azmin Ali lebih berpengaruh dan layak, namun Naib Presiden PKR itu dicadangkan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Andai semua percaturan ini benar, maka tidak hairanlah Karpal Singh bersuara menyatakan Tian Chua hilang kelayakkan sebagai ahli parlimen Batu dan perlu ada pilihanraya di kawasan itu.