Serangan rejim Israel buka mata pemimpin umat Islam



MARANG, 5 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sejak tragedi serangan ganas komando rejim Israel terhadap sukarelawan yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan Gaza Isnin lalu telah berjaya membuka mata pemimpin-pemimpin orang Islam.
“Alhamdulillah, tanda-tanda yang menunjukkan negara orang Islam mula hendak sedar dan insaf. Mudah-mudahan, Allah SWT akan memberi taufik dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam supaya balik ke pangkal jalan,” ujarnya ketika merasmikan Kembara Tarbawi 4WD Ke Blok 6 Air Putih, Kemaman di Rusila, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan kejam tentera Israel itu juga turut menguji kekuatan umat Islam secara amnya.
Ini, katanya kerana bangsa Yahudi juga bercita-cita untuk menakluki wilayah Palestin serta menjadi kuasa besar dunia yang berpusat di Israel.
Tambah beliau, penganut agama Yahudi hari ini mempercayai empat rukun yang telah dipinda serta disesatkan.
Pertama, katanya orang Yahudi menganggap mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah SWT manakala bangsa-bangsa lain adalah ‘binatang-binatang’ yang dijadikan rupa manusia yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja termasuk membunuh bangsa lain.
Mereka juga, katanya berhasrat untuk mendirikan Haikal Sulaiman iaitu kuil yang mereka dakwa pernah didirikan oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tapak kuil itu ialah Masjidil Aqsa yang menjadi tempat Israk Nabi Muhamad s.a.w.
Rukun ketiga, jelasnya bangsa Yahudi mahu mendirikan negara besar dunia yang berpusat di Israel di mana seluruh dunia akan tunduk kepadanya.
“Keempat, mereka menunggu al-Maseh. Al-Maseh ialah yang memimpin Yahudi untuk menakluk dunia. Kepada kita orang Islam, al-Maseh ialah ‘dajjal’ yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w.,” jelasnya.
Beliau juga menjelaskan Masjidil Aqsa yang  merupakan kiblat pertama bagi umat Islam kini menjadi rebutan dengan bangsa Yahudi.
Ekoran itu, katanya, orang Yahudi bertindak ganas dengan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin serta mengorek di sekeliling Masjidil Aqsa.
Justeru, beliau menegaskan bahawa tidak ada lagi rundingan atau perbincangan dengan negara haram Israel yang berhasrat untuk menakluk dunia.
“Hari ini, saya pakai baju ‘peluru’ bukan hendak berperang di sini. Tetapi hendak jadi simbol bahawa kita tidak boleh ajar Israel melainkan dengan peluru.
“Tidak ada lagi rundingan, tidak ada lagi perbincangan dengan negara yang berhasrat meluaskan wilayah mereka di seluruh dunia.
“Kita hendaklah mendidik diri kita menjadi umat yang kuat, umat yang gagah, umat yang bersedia untuk mati bagi menegakkan agama Allah SWT,” tegasnya.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks