Empayar Naza Bakal Runtuh?




Empayar Naza yang dibina oleh Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin sejak lebih tiga dekad lalu kini dikhuatiri akan berpecah di sebalik tuntutan harta oleh dua keluarga yang kini melangkah ke pintu mahkamah.

Kebimbangan ini tercetus selepas isteri kedua, Rokiah Abdullah dan lima anaknya memfailkan kes menuntut harta RM350 juta dan juga hartanah di Malaysia dan England, selain kawalan ke atas enam syarikat yang kini diterajui oleh isteri pertama dan lima anaknya.

Di bawah undang-undang warisan Islam, harta si mati harus diagihkan dengan saksama sebagaimana disebutkan dalam al-Quran.

Justeru, langkah ini dibimbangi akan menyebabkan syarikat-syarikat dalam Kumpulan Naza dibahagikan kepada dua keluarga yang terlibat dalam rebutan harta ini, sekali gus memecahkan kekuatan salah satu konglomerat persendirian terbesar di negara ini.

Kumpulan Naza dikatakan bernilai RM3 bilion.

Nasimuddin membina empayarnya hasil dasar afirmatif ekonomi kerajaan diperkenalkan awal 1970-an, yang antara lain menyediakan sistem AP untuk mengimport kereta.

Beliau dikatakan menerima sebanyak 18,000 AP setahun.

Syarikat-syarikat dalam Kumpulan Naza terdiri daripada lebih 30 entiti, yang terlibat dalam perniagaan automobil, pembangunan hartanah dan perkhidmatan teksi. Keluarga itu dikatakan memiliki hartanah di London dan Los Angeles.

Peguam syarie Aziz Hassan memberitahu The Malaysian Insider bahawa penjelasan mengenai pembahagian harta warisan dalam al-Quran sangat jelas.

“Undang-undang harta pusaka Islam boleh didapati dalam al-Quran dan ia menentukan dan menetapkan bagaimana harta warisan seharusnya diagih-agihkan di kalangan anggota keluarga.

“Ia sangat jelas dan tiada sebarang isu melainkan pewaris sendiri bersetuju sebaliknya,” kata beliau.

Di bawah peruntukan itu jelas beliau, anak lelaki akan memperoleh sebahagian besar harta peninggalan.

“Dalam keadaan normal, ibu bapa akan mendapat satu per enam harta, isteri atau isteri-isteri pula secara bersama akan memperoleh satu per lapan, anak-anak akan menerima dua bahagian manakala anak perempuan satu bahagian,” kata Aziz.

“Ini adalah pembahagian asas dalam Islam selepas melunaskan (segala) hutang,” katanya lagi.

Semalam, Rokiah dan lima anaknya memfailkan saman bagi menuntut wang tunai RM350 juta dan beberapa hartanah di Malaysia dan di England.

Mereka juga menuntut enam syarikat iaitu Naza Kia Sdn Bhd, Naza Automotif Manufacturing Sdn Bhd, Nasim Sdn Bhd, Naza Motor Trading Sdn Bhd, Naza TTDI Sdn Bhd dan NZ Wheels Sdn Bhd.

Saman itu difailkan oleh Rokiah bersama anak-anak, Sharifah Roslina, 26, Mohd Azli, 25, Sharifah Rosnani, 24, Sheikh Mohamad Azrul, 21, dan Sharifah Sofia.

Mereka turut menamakan 15 defendan bermula dengan estet milik Nasimuddin, isteri pertamanya Puan Sri Zaleha Ismail, 57, dan anak-anak, Datuk Faisal, 31, Nur Diana, 28, Sheikh Mohd Nasarudin, 26,

Sheikh Mohd Faliq, 25, dan Nur Nadia, 24 manakala Naza Kia Sdn Bhd, Naza Automotif Manufacturing Sdn Bhd,

Nasim Sdn Bhd, Naza Motor Trading Sdn Bhd, Naza TTDI Sdn Bhd, NZ Wheels Sdn Bhd, Ekspedisi Nikmat Sdn Bhd dan CIMB Trustee Berhad dinamakan sebagai defendan kelapan hingga ke-15.

Selain wang tunai berjumlah RM350 juta, plaintif menuntut Zaleha, anak-anaknya dan CIMB Trustee Berhad mengisytihar aset-aset dan harta-harta alih dan tidak alih dalam dan luar negara kepunyaan

Nasimuddin dari 1 Mei 2008 sehingga sekarang.

Mereka juga menuntut syarikat-syarikat, aset-aset Allahyarham dan juga beberapa hartanah dalam negara dan England.

Plaintif juga menuntut Ekspedisi Nikmat Sdn Bhd menyerahkan butir terperinci nilai aset Allahyarham yang dipegang amanah olehnya.

Menerusi pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa semasa Nasimuddin masih hidup, beliau telah berjanji akan menyerahkan syarikat Naza Kia Sdn Bhd, Naza Automotif Manufacturing Sdn Bhd, Nasim Sdn Bhd, Naza Motor Trading Sdn Bhd, Naza TTDI Sdn Bhd, NZ Wheels Sdn Bhd kepada kesemua plaintif untuk membolehkan mereka hidup berdikari tetapi sebelum sempat berbuat apa-apa pindah milik, Nasimuddin meninggal dunia di California, Amerika Syarikat, pada 1 Mei 2008.

Mereka juga mendakwa sebelum Nasimuddin meninggal dunia, beliau memberitahu mereka bahawa asetnya melebihi RM3 bilion dan telah menyerahkan kepada plaintif butir-butir syarikat dan harta yang dimilikinya. Ia termasuk beberapa buah banglo dan hartanah di dalam negara, lima hartanah di sekitar London, sebuah banglo di Johannesburg, Afrika Selatan, serta sebuah apartmen dan sebuah banglo di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Apa juga nilai bersih, ia akan dikira secara nisbah. Adalah jelas dan tiada persoalan walaupun ada wasiat.

“Melainkan kita hendak menghormati orang yang sudah meninggal dunia dan wasiatnya, maka setiap orang perlu bersetuju bahawa akan mematuhi wasiat yang telah dibuat,” kata beliau sambil menambah, melainkan undang-undang harta pusaka akan mengatasi segala-galanya.

Bagaimanapun Aziz menekankan bahawa kedua-dua isteri boleh membuat tuntutan terhadap harta pencarian.

“Ia tidak kisah, jika boleh dibuktikan bahawa perkahwinan mereka adalah sah, maka boleh memperoleh satu per lapan harta yang akan dikongsi oleh kedua-dua isteri,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mereka boleh menuntut harta yang dikumpulkan sejak perkahwinan mereka.

Dalam keadaan sedemikian, jelas beliau, isteri pertama akan mendapat bahagian yang lebih besar berbanding isteri kedua, jika diambil kira tempoh perkahwinan mereka.

Kata beliau, tuntutan harta sepencarian perlu dibuat sebelum pengagihan dibuat.

“Jadi tiada pembahagian secara automatik. Apakah yang anda akan menuntut? Berapa banyak yang anda akan tuntut? Dan, bagaimana anda akan membuktikan yang anda ada menyumbang kepada usaha pemerolehan aset.

“Anda ada hak tetapi anda kena membuktikan tuntutan anda,” kata beliau.

Aziz mengakui menentukan nilai Empayar Naza akan menjadi satu tugas yang amat besar, khususnya bagi mendapatkan nilai sebenar konglomerat ini.

Mereka juga menuntut bayaran sementara berjumlah RM20 juta daripada Zaleha dan anak-anaknya menerusi Ekspedisi Nikmat dan baki tuntutan selepas perbicaraan kelak.

Anak kedua, Nasarudin enggan mengulas apabila dihubungi semalam. Nasimuddin memulakan perniagannya pada 1974 dan telah diberikan 18,000 AP setiap tahun untuk mengimport kereta.

Kumpulan Naza menjadi tumpuan apabila diberikan kawasan seluas 65 ekar, tanah milik kerajaan di kawasan Jalan Duta di sini, yang bernilai RM15 bilion tanpa melalui tender terbuka. -TMI

Ulasan GB

Keruh di hulu, keruh jugalah di hilir.

Sebut Naza, teringat Rafidah, teringat juga isu AP. Dan teringat juga satu adage "easy come easy go".

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks