Rakyat Malaysia pamer pendirian tegas kutuk Israel hari ini



Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 1 Jun – Selepas dipisahkan oleh perbezaan ideologi politik khususnya dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini, masyarakat pelbagai lapisan berkumpul di ibu negara hari ini untuk mengutuk keras Israel yang menyerang konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza semalam.
Parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan akan berkumpul dibeberapa lokasi di ibu negara bermula 10 pagi ini untuk melahirkan pendirian mereka.
Selain itu, parti politik juga mahu menyerahkan usul kepada Parlimen agar mengadakan sidang khas ataupun sekurang-kurangnya usul khas mengecam tindakan zalim rejim Yahudi.
The Malaysian Insider difahamkan warga luar Lembah Klang juga akan mengambil tindakan mengutuk Israel.
NGO Life Line for Gaza akan mengadakan perhimpunan awan dan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) mendesak supaya kuasa besar itu bertindak terhadap rejim tersebut.
“Kami akan berkumpul di pekarangan Tabung Haji dan kemudian akan bergerak ke Kedutaan AS,” kata jurucakapnya Solehuddin Shuib ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Sejam selepas itu Majlis Perundingan Melayu (MPM), yang dilihat sebagai pergerakan ultra Melayu, akan berhimpun di pekarangan premis itu untuk mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum.
Jurucakapnya, Datuk Ibrahim Ali menggesa rakyat pelbagai kaum agar turut sama-sama menyertai tindakan itu.
“Selain itu kami juga akan mengadakan solat hajat malam ini,” kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dan Presiden Perkasa.
Dalam pada itu, maklumat twitter menunjukkan Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perwakilan PBB diJalan Dungun.
Mereka akan diketuai oleh Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin yang kemudiannya dijangka akan mengemukakan resolusi kepada Speaker Dewan Rakyat meminta isu itu dibahaskan di Parlimen Isnin depan.
Usul yang serupa dijangka akan dikemukakan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
“Saya akan menghantar usul kepada Speaker pagi esok (hari ini),” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd. Akin Pemuda Pakatan Rakyat akan menggerakkan Inisiatif Rakyat Malaysia tengah hari ini bagi mengadakan perhimpunan aman dan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS.
“Usaha kami ini akan disertai oleh parti-parti politik Pakatan Rakyat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan,” katanya ketika dihubungi dan menerusi ruangan mikroblog twitter.
Semalam Kuala Lumpur mengutuk dan menggesa Majlis Keselamatan PBB memberi teguran keras terhadap rejim itu.
Laporan Bernama menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia akan mengusulkan perkara tersebut kepada peringkat tertinggi Majlis Keselamatan PBB supaya perkara ini dibincangkan dalam masa terdekat.
“Saya atas nama kerajaan dan rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv terhadap konvoi yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia semalam.
Beliau juga berkata “seluruh dunia harus mengutuk dan mengecam tindakan rakus rejim itu.”
“Saya harap insiden ini akan membawa kepada satu tindakan yang boleh membawa kepada teguran keras terhadap Israel,” katanya.
Najib berkata serangan ini juga menunjukkan rejim Tel Aviv tidak menghormati langsung undang-undang antarabangsa dan menggunakan kuasa mereka sesuka hati tanpa sebarang pertimbangan sama ada tindakan mereka akan membawa kepada kehilangan nyawa orang-orang yang tidak berdosa.
Perdana Menteri berkata pada masa ini beliau juga sedang menunggu butir dan maklumat sahih mengenai nasib rakyat Malaysia yang turut serta dalam konvoi itu.
Salah sebuah daripada sembilan buah kapal kecil konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang dianjurkan oleh kumpulan pro-Palestin dan pertubuhan hak asasi manusia Turki iaitu Mavi Marmara telah diserang oleh tentera Israel semalam berdekatan Gaza.
Dua rakyat Malaysia, iaitu seorang wartawan dan seorang jurukamera dari Astro Awani, dilaporkan berada di atas kapal itu dan nasib mereka masih tidak diketahui.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks