NGO 73 negara bantah serangan rejim zionis



KUALA LUMPUR, 31 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bersama Gerakan Pemuda Islam Sedunia dan NGO dari 73 buah negara yang sedang bersidang di Istanbul, Turki hari ini sebulat suara menentang keras tindakan 'kebinatangan' rejim zionis Israel menyerang deligasi Misi Bantuan Kemanusian Gaza awal pagi ini waktu Malaysia.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan yang menyertai persidangan tersebut berkata, satu pelan tindakan bersepadu oleh pemuda-pemuda Islam seluruh dunia akan dibentuk bagi menangani konflik itu.
Ekoran perkembangan itu juga, DPPP mengarahkan pemuda PAS seluruh negara supaya mengadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah selama sebulan berturut-turut bermula hari ini.
Ianya bagi mendoakan keselamatan umat Islam di Palestin dan sekaligus menghancurkan Zionis Israel.
Misi Kemanusiaan yang dianjurkan oleh NGO-NGO antarabangsa disertai hampir 800 sukarelawan yang turut disertai wakil dari NGO Islam dari Malaysia (Yayasan Amal Malaysia) telah berlepas semalam (30 Mei 2010) melalui pelabuhan Anatolia Turki.
Misi ini bertujuan untuk menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza yang di mana umat Islam Palestin di Gaza dinafikan hak mereka oleh rejim zionis Israel.
Serangan oleh tentera rejim zionis awal pagi ini, setakat ini, telah mengakibatkan 20 orang sukarelawan antarabangsa terbunuh.
"Tindakan zalim dan kebinatangan ini tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa kerana ianya jelas bertentangan dengan deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa 1948 yang dipersetujui bersama di bawah payung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Nasrudin dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau juga mendakwa kerajaan Malaysia bersikap ‘double standard‘ kerana begitu bacul untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan kerajaan Hamas yang jelas membela rakyat Palestin yang tertindas di Gaza.
"Sikap kerajaan Malaysia yang enggan mengiktiraf Kerajaan Hamas di Gaza jelas menunjukkan bahawa Malaysia masih takut terhadap bayang-bayang  dari  Amerika Syarikat dan sekutunya apatah lagi setelah Malaysia dipanggil untuk mengadap Presiden Obama dan diarahkan untuk menghentikan bekalan gasolin ke Iran oleh Obama," jelasnya.
OIC dan PBB juga turut didesak agar mengambil tindakan drastik menangani isu ini.
Dalam pada itu, DPPP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban dalam serangan tersebut berikrar untuk terus menentang segala kekejaman rejim zionis Israel sehingga keadilan sejagat tercapai.
Sehubungan itu rakyat Malaysia diseru untuk bersama menyatakan bantahan di hadapan Kedutaan Amerika, Jumaat ini.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks