Konvoi Gaza: Serah memo esok, demo Jumaat



KUALA LUMPUR, 31 Mei: PAS akan menghantar satu memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Ampang jam 12 tengah hari esok (Selasa) berhubung serangan tentera rejim Israel ke atas Konvoi Kapal Freedom Flotilla.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan (gambar) memberitahu, penyerahan tersebut akan diketuai Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan akan turut disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
Sehubungan itu, penyokong solidariti Palestin dan ahli PAS di sekitar Lembah Klang khasnya di Kuala Lumpur dan Selangor diminta hadir sebagai tanda sokongan.
Mereka diminta membawa bendera Palestin dan placarad sebagai tanda bantahan terhadap kezaliman zionis Israel.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 20 daripada aktivis di atas kapal tersebut meninggal dunia dan 30 cedera akibat serangan tersebut awal pagi tadi.
Konvoi Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa itu diketuai oleh sebuah NGO dari Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) dan maklumat terkini mendapati kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel.
Konvoi itu membawa kira-kira 15,000 tan barangan bantuan kemanusiaan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun.
Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Pusat mewajibkan seluruh ahli dan pimpinan Pemuda kawasan dan negeri hadir ke himpunan sejuta umat di depan kedutaan Amerika selepas solat Jumaat, 4 Jun ini.
Pengerusi Dakwah dan Perkaderaan Pemuda PAS, Ustaz Ridwan Mohd Nor berharap semua peserta demo perlu membawa kain rentang, poster mempamerkan bantahan terhadap kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh rejim Israel.
Katanya, himpunan pada hari Jumaat itu akan menyatakan bantahan kepada pelindung Israel iaitu kerajaan Amerika Syarikat dan rejim Mesir.
Beliau menyelar tindakan serangan yang dilakukan oleh rejim Israel kerana kapal tersebut membawa bantuan kemanusiaan untuk membantu umat Islam Gaza.
Umat Islam Gaza kini sedang terkepung akibat pemencilan Israel dan sekutunya termasuk rejim Arab, katanya.
“Semua peserta demo akan berkumpul di Tabung Haji dan insya Allah demo akan dipimpin oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, pimpinan Pemuda dan juga wakil NGO,” ujarnya.
Beliau menyeru semua masjid dan markas PAS seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa qunut nazilah supaya Allah melindungi anggota misi kemanusiaan ke Gaza.
Sementara itu, Muslimat PAS Selangor turut membantah keras kekejaman tentera Israel yang menyerang misi sukarelawan membantu umat Islam yang terkepung di Gaza.
Naibnya, Ustazah Mariam Abd Rashid berkata, misi tersebut hanya untuk membantu mangsa perang yang sedang berhadapan dengan kesukaran dan keputusan makanan serta bekalan ubat-ubatan.
Sebenarnya kata beliau, Amerika Syarikat tidak serius melarang tentera Israel malah secara diam-diam rejim Obama menyokong tindakan tersebut.
"Kita minta umat Islam seluruh dunia berdoa dan munajat supaya konvoi sukarelawan itu terselamat dan Israel laknatullah segera dibalas Allah," katanya.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks