PRK Hulu Selangor : Saya suka jumpa rakyat dari berdebat dengan pembangkang, kata Najib


RASA, 24 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau lebih suka berjumpa rakyat daripada memikirkan mengenai cabaran berdebat dengan Ketua Pembangkang. Najib berkata, beliau tidak mengambil kisah mengenai cabaran tersebut kerana apa yang perlu diutamakan ketika ini adalah memberi masa depan yang terjamin untuk rakyat.
“Mana ada dalam perancangan nak berdebat dengan Anwar Ibrahim di Kuala Kubu Baru. Tak ada. Saya lebih suka kalau dapat jumpa dengan anda kerana lebih banyak faedah yang diperolehi daripada berjumpa dengannya.
“Oleh itu kita jangan ambil kisah apa yang dilakukan pembangkang kerana mereka lebih mementingkan politik daripada memperjuangkan agenda rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat di Kampung Melayu Rasa di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anggota Dewan Undangan Negri (ADUN) Batang Kali Mohd Isa Abu Kasim.
Beberapa kain rentang dipasang di sekitar pekan Kuala Kubu Baru (KKB) yang mendakwa Perdana Menteri akan menyertai debat perdana dengan Anwar di stadium mini KKB pukul 9 malam ini.
Najib berkata, perdebatan seperti itu jelas tidak akan menguntungkan mana-mana pihak malah rakyat juga tidak seharusnya dilibatkan dalam permainan serta helah politik pembangkang yang tiada kesudahan.
“Tidak ada gunanya saya menyertai debat yang tidak bertujuan dan belum pasti apa faedahnya. Kita ada gagasan, kita ada dasar, kita ada kemahuan yang telah pun dibuat. Saya akan teruskan pembaharuan ini,”katanya. — Bernama

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks