HULU SELANGOR, 26 April — Penduduk Hulu Selangor gembira pilihan raya kecil di situ berakhir semalam dan berharap semua janji pihak yang terlibat bakal ditunaikan.
Mereka berharap wakil rakyat yang baru, P. Kamalanathan dari Barisan Nasional yang mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim, segera turun padang melihat masalah rakyat.
Pengusaha rumah rehat Seri Teratai, Murali Dharan, 51, berkata beliau berharap Kamalanathan dapat berkhidmat dengan baik.
Peniaga di Pasar Peladang Kuala Kubu Baru, Che Aminah Sulaiman, 45, pula berharap janji untuk memberikan peruntukan RM100,000 untuk menaik taraf pasar ditunaikan segera bagi keselesaan mereka berniaga.
Pekerja swasta, Abdul Hadi Hafzan, 29, pula menyambut baik langkah Kamalanathan yang ingin berpindah ke kawasan Hulu Selangor dari kediamannya di Rawang.
“Selalulah turun padang dan bertemu penduduk, walaupun tidak salur bantuan, bertanya khabar pun dah memadai,” katanya.
Kamalanathan mengalahkan Zaid dengan majoriti 1,725 undi selepas mendapat 24,997 undi berbanding 23,272 diraih lawannya.
Di Johor Baru, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau yakin pengundi Cina akan menyokong BN pada masa akan datang walaupun dilaporkan sokongan mereka menurun di Hulu Selangor.
“Kita ada peluang lagi untuk memperbaiki keadaan. Masyarakat Cina ada masa untuk memberikan petanda yang baik kepada kerajaan, kerana kita (kerajaan) hendak membantu semua,” katanya.
Di Kota Baru, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mengakui jentera berkempen pakatan pembangkang yang kurang berkesan menjadi antara factor kekalahan Zaid. — Bernama
0 comments:
Catat Ulasan