Stadium bernilai RM 292 juta runtuh Nga: Tiada orang kena dakwa


Tidak ada orang kena dakwa walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu bernilai RM292 juta runtuh dalam tempoh 10 bulan.
Ahli Parlimen Kawasan Taiping, Nga Kor Ming hari ini mendedahkan walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang menelan belanja RM292 juta runtuh dalam tempoh 10 bulan setelah pembukaan rasmi, tidak ada sesiapapun didakwa atas kejadian yang menjejaskan imej Negara.
Nga Kor Ming berkata di parlimen hari ini, mengikut jawapan dari Menteri Kerja Raya, Shaziman, kontraktor utama projek berkenaan, iaitu Konsortium Bina Struktur-Emarcon-Genggam Mercu JV telah diarahkan oleh kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa keruntuhan bumbung di Stadium itu kerana projek itu masih dalam tempoh warranti semasa kejadian runtuhan berlaku.
Walau bagaimanapun, kontraktor konsortium itu enggan melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa runtuhan dan pembaikan walaupun beberapa surat peringatan telah dikeluarkan kepada pihak Kontraktor.  Oleh itu, kerajaan terpaksa menawarkan tender baru pada 22 Mac 2010 untuk membersihkan sisa runtuhan Stadium yang menganjurkan SUKMA 2009 tersebut.  Tender tersebut telah ditutup pada 19 April 2010.
Menurut Menteri berkenaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) telah menggantung lesen pendaftaran kontraktor utama projek tersebut dan mengenakan tindakan senarai hitam kepada Ahli Ahli Lembaga Pengarah dan pengarah sahamnya dari mengambil bahagian dalam mana-mana tender kerajaan mulai 4 September 2009.
Nga Kor Ming (gambar kanan) berkata, berbanding dengan Singapura, tindakan kerajaan jelas gagal mencegah kejadian sedemikian dari berlaku pada masa depan kerana pihak yang mengakibatkan keruntuhan stadium dan kerugian harta kerajaan tidak perlu menghadapi tindakan Mahkamah.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengambil iktihbar dari siri kejadian projek-projek kerajaan yang menjejaskan imej Negara.
"Di depan mata kita, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bumbungnya bocor, bangunan parlimen yang menghadapi kebocoran sama, Hospital Pandan, Johor Bharu yang dijangkiti fungi, Masjid Besut Terengganu yang runtuh, Bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak yang runtuh hancur berkecai, Jejantas Kepong yang retak dan begitu banyak contoh kesemuanya mencerminkan tanda-tanda kejatuhan kerajaan Barisan Nasional." tegas Nga.
Nga Kor Ming menyeru supaya semua projek pembinaan awam dipilih menerusi sistem tender terbuka yang telus demi membela kepentingan awam dan mengelakkan kos pembinaan projek-projek awam melambung tinggi sehingga menyebabkan Negara rugi RM28 billion saban tahun dan mengelakkan Negara terus dilanda ledakan hutang Negara yang menggunung sehingga RM378.3 billion setakat 31 Mac 2010.
*Kenyataan media oleh Nga Kor Ming selaku ahli parlimen Taiping-DAP.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks