Lima Tahun Dibunuh Baru Peguam Negara Mahu Tubuh Inkues


Oleh Frederick Luccas
KUALA LUMPUR 9 Julai - Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mempersoalkan tindakan lembab pejabat Peguam Negara (AG) yang mengarahkan satu inkues menyiasat dijalankan terhadap kes kematian Norhayati Awang, seorang jururawat yang mati dibunuh lima tahun lalu.
Norhayati, 28, yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dijumpai mati dibunuh pada 13 Ogos, 2005 di dalam kereta Kancil milik adiknya yang diletak di dalam kawasan hospital.
Menurut keterangan saksi mangsa yang merupakan anak sulung daripada 10 beradik dilihat bertengkar dengan seorang individu di dalam kereta sebelum itu.
Individu tersebut yang dipercayai teman lelakinya ditahan dan walaupun semua bukti dan kenyataan saksi menunjukkan kemungkinan Norhayati dibunuh oleh individu tersebut tetapi polis telah membebaskannya tidak lama kemudian.
"Kenapa baru hendak menubuhkan inkues? Kalau baru beberapa minggu tidak apa lagi sebab apa-apa bukti organik seperti mayat, kesan darah dan sebagainya masih lagi boleh disiasat tetapi ini sudah lima tahun, tiada apa-apa yang tinggal untuk disiasat," tegas Gobind pada sidang media di parlimen Rabu lalu.
Beliau menjelaskan pada 1 Oktober 2007 polis telah mengumumkan satu pasukan khas akan ditubuh untuk menyiasat perkara ini tetapi malangnya selepas tiga tahun, baru pejabat Peguam Negara mula bertindak menubuhkan inkues.
"Saya ingin bertanya, kenapa adakan inkues hanya selepas New Straits Times memaparkan isu ini? Adakah AG terlepas kes ini untuk lima tahun lalu?," tanya Gobind yang tidak dapat menerima logik menunggu tempoh selama lima tahun untuk dijalankan inkues punca kematian Norhayati.
Jelas Gobind lagi, Seksyen 339 Kanun Keseksaan memberikan kuasa kepada Peguam Negara untuk mengarahkan majistret untuk mengadakan penyiasatan berhubung punca dan sebab terhadap mana-mana kes kematian yang disyaki pembunuhan.
"Ini cukup untuk memberi AG kuasa pada masa itu juga, tetapi tidak digunakan.
"Saya mengalu-alukan tindakan AG mengarahkan satu inkues tetapi perlu ditegaskan bahawa kelewatan sepert ini, lima tahun, tidak boleh diterima. AG perlu menjawab kepada rakyat Malaysia, apa sebab mendiamkan diri selama ini?
"Adakah inkues ini hanya untuk memuaskan hati rakyat dan memberikan polis satu lagi alasan untuk menjustifikasikan polis yang gagal bertindak?" tanya beliau.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks