Jenaka Anwar mengundang kritikan di Sinchew




Jenaka bakal mengundang malapetaka?  Demikianlah keadaan yang menimpa Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim apabila beliau secara bergurau mendakwa anak perempuan sulungnya, Nurul Izzah sebagai pewaris dirinya, ketika menjawab soalan sama ada Zaid Ibrahim bakal pewarisnya.
Anwar Ibrahim yang diasak dengan soalan sama ada Zaid Ibrahim "anak emas", malah "bakal pewaris kepada Dato Seri (Anwar Ibrahim)" dalam satu sidang media di parlimen pada 29 Jun 2010, secara bergurau membalas, "Pewaris saya?  Pewaris saya Nurul Izzah."  Jawapannya mencungkil gelak daripada pemimpin dan wartawan lain yang turut hadir dalam sidang media tersebut.
Bagaimanapun, "jenaka" sedemikian tidak ditampilkan sebagai "jenaka" dalam laporan Sinchew Daily, akhbar bahasa Cina yang terlaris di Malaysia pada keesokannya (30 Jun 2010).  Pada muka surat ketujuh, laporan berita ini dibubuhkan tajuk, Anwar Nafi serah tampuk kepada Zaid "Nurul Izzah pewaris saya".
Penampilan sedemikian mungkin memberi persepsi amalan "nepotisme" dalam PKR, lebih-lebih lagi apabila kandungan laporan tersebut tidak menyebut bahawa kenyataan Anwar "Pewaris saya Nurul Izzah" itu diungkapkan dalam konteks "berjenaka".
Persepsi ini diperkukuhkan, apabila Chief Leader Writer Sinchew Daily, Lo Jeng Wung melontarkan kritikan terhadap PKR dan Anwar Ibrahim, berdasarkan laporan tersebut.
"Penasihat PKR Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau akan mewariskan kuasanya kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan, Zaid Ibrahim, malah menyatakan bahawa anak perempuan sulungnya, Nurul Izzah adalah pewarisnya.  Ini menunjukkan pergelutan kuasa parti ini telah sampai ke tahap di mana pemimpinnya perlu menyatakan apa yang terpendam dalam hati secara terus."
Lo Jeng Wung bertambah, "Akhirnya, kayu ukur antara baik dengan jahat dalam parti ditentukan mengikut kesukaan seseorang, atau kepatuhan seseorang terhadapnya.  Demokrasi dalam PKR semakin menyusut, semakin menyerupai 'Kelab Sahabat Anwar'."
Analisa Lo Jeng Wung tentang pergelutan kuasa PKR ini disiarkan dalam ruang kolumnya pada hari ini, mengulas apa yang tersirat di sebalik perkembangan baru-baru ini dari kaca matanya.
Pada bulan Jun lalu, PKR telah melakukan rombakan yang memperlihatkan bagaimana Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dilucutkan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor, dan digantikan oleh Azmin Ali.  Di samping itu, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim pula dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks