Masa depan cemerlang bersama PR



JERANTUT, 24 Mei: Ahli PAS yang berada di tanah rancangan Felda perlu meningkatkan usaha dan kreativiti  kerja bagi menerangkan kepada rakyat tentang keperluan melakukan perubahan politik untuk masa depan mereka yang lebih cemerlang bersama Pakatan Rakyat.
Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal al Ahmadi sewaktu merasmikan Majlis Penutup Seminar Pencapaian Misi Politik di Felda anjuran PAS Pahang di Kompleks Imam As Shafie, Temin, dekat sini, semalam.
Menurut Roslan kedudukan institusi masyarakat yang tersusun di Felda tidak boleh dijadikan alasan yang menyulitkan PAS dan Pakatan Rakyat untuk mendapatkan sokongan sebaliknya suasana yang ada perlu ditangani secara kreatif dan berperancangan akan membantu PAS berkembang dengan lebih baik.
“Kita perlu mengubah minda kita dari beranggapan masyarakat Felda adalah masalah, sebaliknya kedudukan yang ada di Felda sebenarnya perlu dilihat adalah potensi untuk kita berkembang dengan lebih baik asalkan kita ada kreativiti dan penelitian dalam membuat perancangan,” katanya.
Seminar yang dihadiri oleh warga Felda seluruh negeri telah membulatkan tekad ahli PAS untuk bekerja dengan lebih kuat lagi bagi memastikan kejayaan dapat diperolehi pada pilihan raya umum akan datang.
Turut dijemput membentangkan kertas kerja  ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Pengerusi Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks