AMK Perlu Wujudkan Program Latihan, Mantapkan Pendaftaran Pemilih Baru





KOTA BHARU 28 Mei - Angkatan Muda KEADILAN digesa meletakkan kepentingan latihan dan kursus yang disasarkan kepada pucuk pimpinan dan ahli demi mewujudkan organisasi yang berdisiplin yang faham mengenai perjuangan parti.
Ini antara saranan yang dilontarkan oleh pembahas yang membahaskan ucapan dasar Ketua AMK pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2009 pagi tadi.
Wakil AMK Sungai Petani, Azman Nasrudin berkata kelemahan program latihan dan kursus dalam AMK perlu diperbaiki supaya setiap pemimpin dan ahli benar-benar faham perjuangan bagi mengalas tanggungjawab di depan mereka.
"Saya meminta supaya AMK mengadakan program yang tersusun serta mengadakan latihanuntuk pimpinan parti dan ahli kerana ramai ahli yang belum lagi terdedah kepada erti perjuangan KEADILAN. Program yang mantap perlu kerana ini akan memberi ruang untuk membina semangat dan pengisian.
Berhubung cadangan untuk menurunkan had umur keahlian dalam AMK darpada 40 kepada 35 tahun, Azman berharap pucuk kepimpinan parti mengkaji isu ini lebih mendalam.
"Ini kerana kalau perubahan ini dilakukan pada pemilihan akan datang kebanyakan perwakilan yang hadir pada kongres kali ini dan juga pucuk pimpinan AMK di atas pentas ini tidak lagi akan memegang jawatan kerana kebanyakan mereka hampir mencecah usia 40 tahun.
"Saya cadangkan agar pindaan ini dikekalkan tetapi berilah 30 peratus kepimpinan AMK kepada golongan yang berusia antara 35 hingga 40 tahun. Ini bagi menyediakan lapisan pemimpin pelapis apabila mereka tidak lagi dalam AMK.
Saranan ini disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kawan, Ong Chin Wen yang menyatakan KEADILAN merupakan parti pertama di Malaysia yang menghadkan umur keahlian AMK kepada 35 umur. 
Wakil Besut, Abdul Ghani Jaafar mahu AMK memberi perhatian kepada pendaftaran pemilih baru terutamanya dikalangan golongan muda.
"Di Terengganu umpamanya terdapat 80,000 pengundi layak yang belum didaftarkan sebagai pemilih. Pakatan Rakyat hanya mampu mendaftar 1,800 pemilih baru. Jika kita mahu menang di Terengganu isu ini mesti diberi perhatian serius," kata Abdul Ghani.
Syed Hamzah Syed Zainal daripada Wangsa Maju berkata untuk menarik pendaftaran pemilih baru, pimpinan AMK perlulah mendekati golongan muda di semua cabang di seluruh negara.
"Kita yakin generasi mampu menakhoda zaman dan membuat transformasi. Oleh itu kita mahu golongan ini didekati dengan lebih kerap dan menyalurkan maklumat yang tepat kepada mereka," kata Syed Hamzah lagi.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks