Halal judi kerana banyak termakan budi?




Lesen judi bola telah pun diluluskan. Sehingga hari ini tidak nampak tanda-tanda 'sijil halal' judi kepada Berjaya Group yang dikuasai oleh Tan Sri Vincent Tan akan ditarik balik.
Walaupun wujud pelbagai desakan dan bantahan Umno-BN terus memekakkan telinga seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Tindakan serupa dilakukan apabila kerjasama Umno-BN dengan Apco Worlwide milik Yahudi menerima kecaman daripada pelbagai pihak.

Bagi saya, Umno-BN tidak berupaya untuk menarik semula 'sijil halal' yang diberikan kepada syarikat Berjaya. Jika 'sijil halal' ini ditarik balik bermakna lebih banyak gantirugi atau imbuhan lain terpaksa diberi kepada syarikat Berjaya.

Bukan sesuatu yang rahsia lagi, syarikat milik Berjaya yang menguasai beberapa syarikat judi di negara ini telah banyak menghulurkan 'sedekah' kepada Umno-BN terutama setiap kali pilihanraya.

Kalau tidak siapa yang hendak menampung kos pilihanraya Umno-BN yang mencecah ratusan juta ringgit. Itu belum termasuk lagi 'sedekah' kepada Umno-BN setiap kali berlangsung pilihanraya kecil.

Maka, sebagai ganjaran dan balasan Umno-BN terpaksa mengikut sahaja kehendak dan kemahuan syarikat-syarikat besar yang memiliki pelbagai pusat judi dan pertaruhan untuk terus mengembangkan empayar judi mereka di negara ini.

Oleh itu mana mungkin Umno-BN berupaya untuk menarik balik 'sijil halal' ini. Semua ini kerana Umno-BN sudah terlalu lama dan banyak berhutang budi. Maka hutang budi dibalas dengan judi!

Maka untuk memastikan syarikat Berjaya dan syarikat lain terus kekal dengan status 'sijil halal' judi ini maka mereka yang menentang seperti demontrasi besar-besarkan yang dirancang bakal berhadapan tindakan keras daripada pihak berkuasa yang hanya mengikut telunjuk pemimpin Umno-BN.

Jadi tidak ada cara lain untuk memastikan 'sijil halal' judi ini ditarik balik selain daripada memastikan Umno-BN tidak lagi diberi kuasa untuk memerintah pada pilihanraya umum akan datang supaya tidak ada lagi 'sijil halal' judi akan diluluskan.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks