Dalam keghairahan UMNO untuk mendapatkan dan mengembalikan sokongan orang Melayu serta menjayakan konsep 1 Malaysia, UMNO berdepan dengan apa yang kita katakan sebagai bom jangka. Bom ini berdetik setiap saat sehingga ke PRU 13 nanti. Bom Jangka ini terbentuk bila ahli parti sendiri di lihat seperti anak tiri dan yang lebih dahsyat sekali – bantahan mereka dalam UMNO terhadap pucuk kepimpinan akan terus bergelora menunggu masa bangkit dan marah, selagi kepimpinan tidak menyelesaikan masalah dalaman parti. Ahli UMNO menunggu perubahan tetapi semakin lama semakin ramai ahli UMNO yang menyuarakan ketidaksetujuan mereka terhadap beberapa isu dalaman UMNO sendiri. Ramai Ahli UMNO mahukan perubahan, kini berdepan dengan hakikat sebenarnya. UMNO dengan budaya kepimpinan yang tidak menyeluruh, gagal mendengar dan melihat suara akar umbi – yang mahukan perubahan. Lebih malang lagi kepimpinan UMNO, yang hari ini menganggotai kerajaan sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan tempat mereka di peringkat negeri tidak terhapus lantas membunuh erti demokrasi dan politik matang yang sepatutnya disegarkan. UMNO dikatakan mengambil jalan mudah sehingga laman-laman pro UMNO mengeluarkan doktrin perjuangan mereka dalam membentuk era perjuangan yang lebih kuat dan jitu. UMNO perlu siasat tindakan segelintir mereka yang sanggup membunuh potensi kepimpinan muda semata-mata mahu menjaga tempat. Ini amat malang – adakah bom jangka UMNO sedang berdetik dan menunggu letupan kuat yang hampir pasti menghilangkan makna UMNO di tanah Melayu ini. | |
CATATAN ANUAR MOHD NOR : Bom Jangka dalam UMNO. Bila artikel ini di keluarkan dalam www.umno-reform2.com – ia bukan satu artikel tanpa asas. Banyak respons yang di terima oleh www.umno-reform2.com membicarakan mengenai perubahan dalam UMNO. Saya sendiri percaya bahawa perubahan ini perlu dan perubahan ini melibatkan ahli UMNO – menggesa kepimpinan UMNO untuk ubah cara dan perangai dalam mengendalikan UMNO. Banyak cadangan usul tentang perubahan namun usul tinggal usul dan perubahan masih tidak nampak terlaksana. UMNO masih begitu, pendekatan kerakyatan masih tidak dilaksanakan hatta, ahli sendiri seperti rakyat marhaen yang tidak mempunyai ruangan untuk menegaskan perubahan. Apabila konsep 1 Malaysia dilancarkan, ahli UMNO sendiri terkebil-kebil mencari makna sehingga 1 Malaysia menjadi senjata tuntutan kaum lain. Penerangan berbentuk melepaskan batuk di tangga di gunakan – mengharap apa sahaja konsep yang di sumbatkan ke mulut ahli akan di terima oleh ahli. Ahli UMNO hari ini ada yang sudah mula tahu membuat perhitungan sesuai dan tidak sesuai. Kalau sebelum ini hanya menerima apa sahaja yang disuapkan – hari ini ahli UMNO sudah tahu menilai dan sudah tahu juga menggigit sekiranya apa yang mahu diterapkan tidak sesuai dengan kehendak mereka. Masih awal lagi – tetapi bom jangka dalam UMNO terus berdetik dan UMNO tidak mampu lagi bergerak dalam keadaan seperti tahun 2004 – sehingga UMNO nyaris tumbang. Kepimpinan UMNO sendiri seharusnya sudah mula melihat luar dari kepompong yang ada – sudah patut menilai dan sudah sepatutnya berani menyentuh mereka yang mempunyai potensi untuk menggerakkan perubahan dalam UMNO. Pemuda sendiri sudah sepatutnya tahu bila mahu bangun dari tidur dan bertindak agresif dengan anak-anak muda generasi ini. Kita tidak mahu lagi pendekatan tidak bermaya untuk bertembung dengan anak-anak muda hari ini. Program kita harus agresif dan bukan setakat program makan-makan dan pemeriksaan percuma kesihatan sungguh pun ia bukan untuk dipadamkan secara keseluruhan. Pemuda UMNO harus berani bangkit secara kelompok kecil – bertindak menjadi jurucakap – penyambung lidah bicara untuk UMNO. Program kecil harus melibatkan semua – ahli biasa yang selama ini tercicir dan Cuma di sentuh bila pemilihan. Kenapa dikatakan bom jangka berdetik dalam UMNO? Setakat ini masih banyak lagi kegiatan tidak bermoral - mencantas mereka yang berwibawa kerana takut tempat kita disambar orang. Kita sepatutnya mengubah mereka yang mempunyai nilai pemikiran terlampau ortodoks untuk bersaing dengan anak muda hari ini yang nilai pemikiran mereka sudah memuncak tinggi dengan keberanian yang akan ekstremis. Namun apa yang kelihatan adalah prestasi UMNO dalam zaman-zaman UMNO sedang bergelut dengan krisis penerimaan rakyat terhadap mereka masih mendatar. Kita lihat kepimpinan masih terikat dengan orang sekeliling yang mengangguk – membenarkan kata kepimpinan semata-mata takut hilang tempat di mata kepimpinan mereka lantas mengiakan apa yang tidak sepatutnya di iakan. Kita lihat, kefahaman keperluan oleh kepimpinan ada tetapi pelaksanaannya hampas kerana memberi kepada dua tiga kerat orang di sebelah mereka yang hanya tahu bercerita dan terus bercerita. Kepimpinan Pemuda UMNO masih lembik, masih takut-takut dan masih menjaga kedudukan diri. Kita tidak nampak Pemuda yang ada hari ini berbeza dengan apa yang ada sewaktu zaman Hishammuddin Tun Hussein. Pemuda terus terbelenggu dengan sikap pesimis dalam melakukan program-program dan Pemuda hari ini tidak berani berdepan dengan cabaran minda yang dilakukan oleh anak-anak muda hari ini. Detik bom jangka dalam UMNO semakin hampir bila mana ada kepimpinan muda yang progresif semakin di ketepikan kerana politik mereka yang mementingkan kedudukan dan tempat. Mereka yang di cabar oleh kepimpinan muda atau arus kepimpinan baru akan melenting dan mencari jalan politik untuk mencantas dan membunuh musuh politik mereka dalam politik. Semakin tersisih UMNO dengan kepimpinan baru – muda yang progresif dan inovatif. Akhirnya Pemuda UMNO dan UMNO akan terikat kepada program – program lembek dan tidak bermaya. Maka kita akan lihat program-program yang tidak mencabar – sukan aneka – aktiviti riadah – program kesihatan – program kecil-kecil konvoi dan sebagainya. Memang ada keperluan tetapi dapatkan kita menyentuh anak-anak muda lain yang progresif – anak muda dari kaum lain, anak-anak muda lepasan Universiti. Adakah kita sendiri mencabar minda anak-anak muda yang kita sendiri, membenarkan mereka bergelut dengan cabaran hari ini – mencabar minda dengan program-program agresif. Apakah Pemuda UMNO takut berdepan dengan cabaran anak-anak muda lain- anak muda dari parti lawan – atau Pemuda UMNO mengambil sikap – yang lain kepimpinan atasan tentukan – kerja kita adalah buat program suka-suka dan terus suka-suka. Selagi kita ketepikan minda baru – idea baru dan mereka yang hadir mahu menyuntik arah baru dalam UMNO maka selagi itu bom jangka dalam UMNO akan terus berdetik. Jangan biarkan bom itu meletup pada PRU 13 nanti. UMNO-REFORM. |
Kuliah Maghrib: Fiqh Solat (40)
7 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan