Phang mahu periksa balas Wee dalam saman isu PKFZ

KUALA LUMPUR, 5 April — Mahkamah Tinggi akan mendengar dan memutuskan pada 29 April sama ada Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong harus diperiksa balas oleh pihak pembelaan Tan Sri Robert Phang, atau tidak berhubung samannya terhadap Phang yang mengaitkan beliau dengan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham akan mendengar permohonan Phang. Phang memfailkan permohonan bagi pemeriksaan balas terhadap Wee berhubung beberapa kenyataan yang dikemukakan dalam afidavitnya yang digunakan Wee dalam permohonanan injunksi inter-parte bagi menghalang Phang dan Star Publications (M) Berhad daripada terus menerbitkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

Mahkamah dijadual mendengar permohonan Wee hari ini tetapi peguamnya, Ben Chan, memberitahu mahkamah bahawa beliau memerlukan masa untuk membalas permohonan Phang bagi pemeriksaan balas anak guamnya kerana beliau baru menerima dokumen berkenaan Khamis lepas

Dr Prasad mengarahkan kedua-dua pihak supaya bertukar dokumen berkaitan dalam minggu ini dan beliau akan mendengar injunksi inter-parte Wee pada 29 April.

Pesuruhjaya Kehakiman itu berkata beliau tidak mahu melengah-lengahkan kes itu dan mahu menyelesaikannya dalam bulan ini.

Apabila Chan menyatakan aduan anak guamnya berhubung salah laporan satu artikel oleh sebuah akhbar harian berbahasa Cina, Dr Prasad menasihatkan beliau agar menyelesaikannya dengan akhbar berkenaan.

Peguam Gobind Singh Deo, Ang Hean Leng dan S. Prakash yang mewakili Phang, dan Yee Mei Ken serta Chai Siew Wan, bagi Star Publications. Pada 9 Feb, Wee memfailkan satu saman fitnah menamakan Phang, seorang anggota panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan penerbit akhbar harian bahasa Inggeris sebagai defendan berikutan kenyataan yang disiarkan antara 25 Dis, 2009 dan 12 Jan, 2010

Dalam pernyataan tuntutannya, Wee, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, mendakwa kenyataan itu difahami untuk membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam atau melakukan kesalahan rasuah dan/atau penyalahgunaan kuasa.

Selain injunksi, beliau turut memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan faedah lapan peratus setahun. Phang, 71, yang juga Pengerusi Yayasan Masyarakat Penyayang, dalam pernyataan pembelaan berkata kenyataan yang dibuatnya itu merupakan ulasan yang adil dan dilakukan di bawah keistimewaan bersyarat.

Turut mendakwa keistimewaan bersyarat, Star dalam pembelaannya, berkata selaku penerbit berita yang bertanggungjawab, syarikat itu mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk melapor serta menyiarkan berita dan kenyataan membabitkan penglibatan Wee dalam PKFZ memandangkan ia merupakan kepentingan awam dan penting kerana beliau adalah seorang ahli politik serta tokoh masyarakat.— Bernama

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks