Doktrin Bush dalam Undang-undang Perdagangan Strategik 2010?


KUALA LUMPUR, 5 April: Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof merasakan akan wujud Doktrin Bush dari Rumah Putih melalui pembentangan Undang-Undang Perdagangan Strategik 2010 yang disifatkannya agak tergesa-gesa oleh kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memperkasa sektor keselamatan rakyat bukannya sektor keselamatan negara.
"Apabila bercakap (soal) keselamatan, kerajaan bukannya berbincang soal keselamatan negara (semata-mata) tapi kena memperkukuh keselamatan rakyat," ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perdagangan Strategik 2010 untuk bacaan kali yang kedua di Dewan Rakyat petang ini.
Sehubungan itu, beliau menganggap sikap tergesa-gesa membawa undang-undang tersebut, seolah-olah mahu memperkukuhkan kedudukan kerajaan.
"Rang undang-undang ini bukan untuk rakyat, lebih untuk memperkukuhkan kerajaan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kerajaan sepatutnya memperbaiki masalah kepincangan kerajaan, seperti kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E, rasuah dan ketirisan dalam pengurusan kewangan sendiri.
Sekiranya tidak berbuat demikian, Undang-Undang Perdagangan Strategik 2010 boleh memberi imuniti kepada mereka yang terbabit.
"Kalau tidak ada kebertanggungjawaban dan liabiliti, Seksyen 54 (Undang-Undang Perdagangan Strategik 2010) memberi imuniti kepada pegawai tertentu kerajaan.
"Dengan adanya undang-undang ini, saya rasa akan wujud Bush Doktrin dari Rumah Putih. Iran dan Iraq diserang, tetapi di sana dikenal pasti ada senjata nuklear akhirnya," jelasnya.
Senada dengan Yusmadi, Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Liew Chin Tong (Bukit Bendera), Tian Chua (Batu) menganggap inisiatif tersebut dibuat secara tergesa-gesa demi memuaskan kepentingan pihak tententu di Rumah Putih, Amerika Syarikat.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks