MP pertikai kontrak RM6.47b bekal makanan tentera

Kementerian Pertahanan telah menganugerahkan kontrak bernilai RM6.47 bilion kepada sebuah syarikat tempatan untuk membekalkan rangsum (catuan makanan) segar kepada anggota tentera, demikian menurut portal 'MyProcurement' yang baru diwujudkan oleh kerajaan.

Mengulas mengenai perkara itu, ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, portal berkenaan mungkin memberikan maklumat salah kerana kontrak itu tidak mungkin bernilai sebanyak itu.

"Jumlah ini cukup untuk beli empat buah kapal selam. Tapi saya cenderung untuk percaya ada kesilapan meletakkan titik perpuluhan," katanya kepada pemberita di bangunan parlimen hari ini.

Portal MyProcurement merupakan pusat maklumat perolehan kerajaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Pua melahirkan kekecewaannya terhadap portal MyProcurement yang didakwanya tidak mengandungi maklumat lengkap dan berguna kepada rakyat.

Satu lagi contoh yang diperhatikannya ialah kontrak untuk membekalkan perisai badan kepada tentera bernilai RM82.3 bilion tanpa menyebut butiran lain.

"Itu yang saya perhatikan sepintas lalu sahaja," katanya lagi yang meminta kerajaan supaya benar-benar mencontohi kerajaan Singapura dalam membina portal pemerolehan seperti itu.
Katanya lagi, portal GeBiz oleh Singapura mempunyai lebih banyak maklumat, termasuk jumlah pembida dan juga bidaan alternatif oleh setiap pembida berkenaan.

Beliau mempertikaikan sama ada kerajaan bersungguh-sungguh untuk membina portal berkenaan.

Tony juga mempertikaikan 38 kontrak yang dimuatkan dalam laman tersebut, yang tidak menyebut nama syarikat terbabit.

"Portal ini juga tidak menyediakan maklumat asas seperti tarikh tender, tarikh dianugerahkan, dan bilangan (kontraktor) yang mengambil bahagian," katanya.

Tambahnya, masalah paling besar dalam sistem perolehan kerajaan ialah kontrak yang diberikan secara rundingan terus.

"Kontrak seperti ini biasanya diberikan secara kroni kepada ali baba, menyebabkan bukan sahaja pembaziran tetapi juga projek yang berstandard rendah atau gagal," katanya.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks