PM: Tak perlu sidang Parlimen bincang kes liwat Anwar

BANDAR JENGKA, Feb 19 — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) berkata sidang khas Parlimen bagi membincangkan usul untuk menggugurkan dakwaan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang tidak berasas.

Perdana Menteri berkata perbicaraan kes liwat berkenaan bukanlah “perbicaraan politik”, sebaliknya ia adalah “perbicaraan peribadi”.

“Ia tidak melibatkan soal dasar kerajaan, tidak melibatkan apa nama pendirian kerajaan pun, ini soal seseorang (Mohd Saiful Bukhari Azlan) yang telah membuat aduan, yang bekerja di pejabatnya sendiri (sebelum ini), ini urusan peribadi sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Umno Pahang, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang meminta satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan kerana kes itu disifatkan Lim telah menjadi bahan jenaka masyarakat dunia.

Mengulas lanjut berkenaan sidang khas, Najib berkata:

“Hanya perkara berhubungan kepentingan nasional, ini merupakan perkara peribadi dan tidak kena mengena langsung dengan kerajaan.”

Najib berkata kes liwat berkenaan bukan boleh dibincangkan di sidang Parlimen kerana kes itu kini sedang dibicarakan.

“Ini bukan soal tidak boleh tentukan (sidang khas), ini soal peribadi, peribadi dan kes telah masuk ke mahkamah dan tidak boleh ditarik balik,” katanya.

“Ini tidak melibatkan kerajaan, ini sebenarnya soal antara Saiful dan Anwar Ibrahim, jadi apa-apa pun dia kena selesai antara dia berdua, tidak libatkan kerajaan, itu yang saya katakan, ini bukan ‘political trial’,” katanya.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anggota Parlimen Permatang Pauh dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di Bukit Damansara pada 26 Jun, 2008.

Najib berkata, apa yang dilakukan pihak pembangkang itu kini ialah mereka cuba mengalihkan tumpuan terhadap kes itu dan menggambarkan seolah-olah ia satu perbicaraan politik.

Mengulas mengenai tindakan 50 Anggota Parlimen Australia yang membantah perbicaraan kes itu, Najib berkata kerajaan akan memberikan penjelasan kepada mereka.
“Kita kena terangkan, mereka tidak mendapat maklumat yang sebenarnya, mereka (hanya) dapat (maklumat) dari pembangkang,” katanya. — Bernama
Read More

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks