Najib minta UMNO muhasabah diri

MARAN 19 Feb. - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pemimpin dan ahli parti itu bermuhasabah diri sebelum mereka dinilai oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, proses bermuhasabah itu bukan bertujuan mencari atau menuding jari mencari kesalahan pemimpin atau pihak lain sebaliknya mencari kelemahan diri sendiri.

"Menerusi proses muhasabah ini, kita perlu membuat kesimpulan apa bentuk kejayaan yang hendak diserlahkan oleh kita dan apa kelemahan yang perlu diperbaiki," katanya.

Beliau berucap merasmikan Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka dekat sini hari ini.

Menurut beliau, pemimpin dan ahli UMNO perlu menilai diri sendiri daripada perspektif rakyat yang akan menentukan kerajaan pilihan mereka pada pilihan raya akan datang.

Beliau menegaskan, kegagalan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum lalu dan kalah di lima negeri bukan kerana pembangkang kuat sebaliknya UMNO dan BN lemah.

Menurutnya, UMNO mampu mencapai kejayaan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang tetapi dengan syarat pemimpin UMNO melakukan muhasabah.

Selain muhasabah kata beliau, UMNO perlu melakukan perubahan termasuk mengubah perlembagaan parti seperti yang telah dilakukan tahun lalu.

''Perubahan besar yang pernah dibuat ialah menghapuskan sistem kuota dan undi bonus.

''Kalau hendak (kekal) jadi Presiden, sepatutnya kena guna cara lama, tetapi ini bukan caranya untuk memberikan khidmat yang terbaik walaupun kuota dan bonus boleh saya gunakan jika ingin kekal menjadi Presiden," jelasnya.

Najib menambah, perubahan tidak dapat dielakkan agar parti tidak dilihat lemah dan tidak bermaya.

Beliau mengambil contoh bagaimana kejayaan Parti Kongres di India yang sebelum itu ditolak rakyat negara itu tetapi berjaya kembali berkuasa setelah melakukan pembaharuan.

''Parti Kongres telah menampilkan muka-muka baru dalam kawasan yang kalah tetapi mengekalkan orang lama di kawasan yang menang.

''Parti itu juga mementingkan orang miskin dan akhirnya mereka berjaya membentuk kerajaan dalam pilihan raya berikutnya," kata beliau.

Berdasarkan pengalaman Parti Kongres itu, Najib menambah, beliau memperkenalkan slogan ''Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan" supaya parti mengutamakan kebajikan rakyat.
Beliau yakin UMNO dan BN mampu menang dengan majoriti lebih dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan tiga faktor iaitu kepimpinan negara, parti dan calon.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks