KUALA LUMPUR, Feb 19 — Kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR), yang mengalami kerosakan, telah dibaikpulih sepenuhnya dan dijadual menjalani selaman pertama pada 22 Feb ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya pihak pembekal serta jurutera tempatan telah menjalankan ujian ke atas kapal selam itu dan mendapati ia berfungsi dengan baik dan hanya mengalami kerosakan kecil yang dapat diatasi dalam masa yang singkat.
“Tidak ada sebarang kos dikeluarkan oleh pihak kerajaan kerana ia masih dalam jaminan dan jangan membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Kapal selam itu dikesan mengalami kerosakan teknikal yang menyebabkan ia tidak boleh menyelam pada 17 Jan lepas ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah.
Kerosakan itu melibatkan bahagian yang menyalurkan tekanan air keluar masuk yang menyebabkan kapal itu gagal untuk dilancarkan ke bawah permukaan air.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, khabar angin berkaitan dengan Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan, yang dikatakan pembinaannya tidak mengikut spesifikasi tidak harus digembar-gemburkan.
“Saya akan mengadakan lawatan ke pangkalan udara itu bagi melihat sendiri keadaan sebenar dan diharap semua pihak tidak mengembar-gemburkan berita yang tidak pasti ini sehingga siasatan selesai,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan campur tangan dalam siasatan ke atas projek pangkalan udara itu.
Pangkalan udara itu menjadi kontroversi apabila ada pihak mendakwa pembinaannya tidak mengikut spesifikasi dan dibina oleh kontraktor yang kurang pengalaman sehingga mengakibatkan kerosakan kepada enjin sebuah pesawat Sukhoi. — Bernama
Read More
0 comments:
Catat Ulasan