PETALING JAYA 27 Ogos - Serangan Umno-Barisan Nasional terhadap Pakatan Rakyat dengan menggunakan sentimen perkauman adalah untuk menutup penyelewengan dan kegagalan mereka mengurus khazanah negara termasuk skandal rompakan saham yang dikhaskan bagi Bumiputera dan rakyat termiskin bernilai RM52 bilion.
Sehubungan itu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat secara terperinci kehilangan jumlah saham sebegitu besar kepada Bumiputera.
Anwar berkata isu ini pernah dibangkitkan tahun lalu oleh beberapa orang ahli parlimen termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
"Bagi saya, isu yang melibatkan hak orang Melayu dan kaum Bumiputera ini masih belum dapat diselesaikan. Mana pergi agihan saham untuk Bumiputera dan faedahnya kepada siapa?.
"Kalau benar kita ambil berat untuk menjamin hak mereka, orang Melayu yang miskin dan terpinggir itu harus dibantu. Kini hanya tinggal RM2 bilion sahaja yang tinggal bagi pegangan ekuiti Melayu," kata Anwar pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat di inu pejabat KEADILAN di Tropicana di sini semalam.
Ketika ditanya mengenai isu undang-undang hudud di negara ini, Anwar berkata sistem perundangan di negara ini mengamalkan sistem demokrasi, tetapi agama Islam mendapat tempat yang istimewa sebagai agama Persekutuan, selain jaminan hak kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka.
"Kita memperkukuh institusi yang ada melalui dialog peradaban dan sebagainya. Kita turut menekankan muafakat dan kerjasama antara budaya, agama dan memperbaiki hubungan kaum.
"Oleh yang demikian, berkenaan pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah, kita menuntut untuk ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi mengkaji perkara tersebut."Kita mesti berikan ruang untuk setiap parti mengungkap pandangan mereka mengikut prinsip parti. Tetapi dalam Pakatan Rakyat, kita terikat dengan konsensus atau persefahaman yang kita meterai bersama, perkara ini telah dijelaskan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu," tegas Ketua Pembangkang lagi.
Beliau juga menyelar tindakan Umno-BN yang mengapikan sentimen perkauman sempitdan agama dengan tujuan memecah belahkan keharmonian masyarakat di negara ini.
"Politik usang yang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pemimpin Umno-BN, kerana mereka kini berada dalam keadaan terdesak untuk teruskan kelangsungan kuasa mereka. Demi mencapai cita-cita politik tersebut, pelbagai jentera kerajaan seperti Biro Tatanegara dan media seperti Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat," kata Anwar.
Turut sama pada sidang media itu termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
0 comments:
Catat Ulasan