Keuntungan Sime Darby jatuh 43 peratus


Keuntungan sebelum cukai syarikat kaitan kerajaan (GLC), Sime Darby Berhad, jatuh 43 peratus kepada RM1.7 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2010.

Keuntungan tersebut dicatat ekoran 6 peratus peningkatan perolehan syarikat kepada RM33 bilion.
Ini sekaligus menolak laporan media yang membuat spekulasi bahawa kerugian Sime Darby mencecah lebih RM2.5 bilion.

Walaupun masih mencatatkan keuntungan, tetapi bahagian Tenaga dan Utiliti (E&U) melaporkan kerugian besar RM1.752 bilion bagi tahun kewangan 2010, selepas membuat peruntukan penuh sebanyak RM2.085 bilion.
Ini termasuk satu peruntukan tambahan sebanyak RM777.3 juta bagi suku keempat tahun ini, berdasarkan kepada anggaran bagi tiga projek minyak dan gas - Qatar Petroleum (QP), Maersk Oil Qatar (MOQ) dan Marine serta susun nilai aset-aset lain.
Menurut ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan yang baru, Datuk Mohd Bakke Salleh, tiada peruntukan baru dibuat bagi projek Empangan Hidroelektrik Bakun dalam suku tahun keempat.
Mengenai Bakun, beliau berkata, berdasarkan kepada anggaran terbaru projek berkenaan, pihaknya tidak menjangka peruntukan tambahan diperlukan kemudiannya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan membuat peruntukan tambahan bagi projek-projek lain.

Bakke berkata pihaknya telah mengenepikan jumlah peruntukan tertentu dan akan memantau kemajuannya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang ada, pihaknya yakin yang mereka tidak perlu menyediakan lebih daripada apa yang telah diperuntukkan. Baca berita penuh

Sementara itu, Bernama melaporkan keuntungan sebelum cukai Sime Darby bagi suku keempat menjunam sebanyak 98 peratus kepada RM25.04 juta berbanding RM1.107 bilion pada suku yang sama 2009.

Menurut satu kenyataan syarikat berkenaan, kumpulan itu mencatatkan kerugian selepas cukai RM53.3 juta dalam suku keempat berbanding keuntungan RM1.009 bilion sebelumnya.

Pendapatan tahun penuh meningkat kepada RM32.95 bilion daripada RM31.013 bilion manakala pendapatan bagi suku keempat naik kepada RM9.21 bilion daripada RM7.53 bilion.

Bahagian tenaga dan utiliti di mana minyak dan gas dan kejuruteraan merupakan perniagaan utama, mencatatkan kerugian operasi RM1.752 bilion bagi tahun kewangan 2010 selepas membuat peruntukan tambahan RM777.3 juta bagi suku keempat.

Termasuk peruntukan RM1,308.4 juta sehingga suku ketiga, jumlah peruntukan bagi kerugian dan susut nilai dapat dijangka bagi tahun penuh berjumlah RM2,085.7 juta.

Peruntukan tambahan berjumlah RM777.3 juta berkait dengan tiga projek minyak dan gas iaitu Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar dan Marine dan termasuk peruntukan dan susut nilai aset-aset lain.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks