Buang bayi : Masalah perempuan ke depan, masalah lelaki ke belakang

Buang bayi: Jangan terus menghukum produk

- RAHMAN SHAARI

Ketika saya hendak memulakan bicara ini (iaitu pada 15 Ogos 2010), televisyen mengumumkan, “Mayat bayi ditemui di tepi sungai, di Kota Damansara.” Ternyata masalah ini masih menyengat.

Saya tiba-tiba teringat pada dua dialog. Yang pertama, “Masalah perempuan ke depan, masalah lelaki ke belakang.” Dialog ini terdapat dalam skrip drama saya “Petua Perkahwinan”. Penyanyi alternatif, iaitu Abot, yang berlakon sebagai Amira, menuturkan dialog itu dengan baik sekali, dalam tahun 2006.

Makna dialog itu, dalam konteks persembahan drama, tentulah tidak perlu dijelaskan. Penonton pasti faham. Sesiapa yang membaca skrip drama saya pun faham. Tidak sukar. Namun, untuk pembaca ruangan ini, maknanya ingin saya jelaskan. Penjelasan dibuat bukanlah kerana saya menganggap pembaca tidak faham, tetapi kerana saya ingin mengambil maknanya itu sebagai titik tolak bicara yang seterusnya.

“Masalah perempuan ke depan,” bererti apabila perempuan melakukan hubungan seks, dia akan hamil, maka perutnya pun ke depan. Titik tolak ini penting, kerana dalam kajian pihak hospital tertentu, agak besar jumlah perempuan yang tidak tahu bahawa mereka akan hamil jika bersetubuh. Datuk Dr J Ravindran mengatakan bahawa ‘In many cases the women did not know that they could get pregnant if they had sex’ (New Straits Times, 14 Ogos, 2010). Seorang pelajar bertanya kepada saya, adakah betul-betul perempuan tidak tahu, atau mereka berolok-olok? Saya menjawab, “Itu ialah hasil kajian.”

Dr Ravindran bercakap dalam konteks pembuangan bayi. Tentulah besar jumlah pembaca yang hairan, sama seperti pelajar saya itu, kerana pada fikiran kita semua (atau hampir semua), setiap gadis dan wanita moden tahu tentang hal itu.

Sebenarnya, jika mereka kata mereka tidak tahu, maka mereka tidak tahulah. Itu saja. Jumlah yang tidak tahu itu, pada saya tentulah relatif kecil, namun Dr Ravindran mengatakan ‘In many cases�” Sukar untuk saya menerimanya sebagai betul-betul tidak tahu, atau pengakuan gadis dan wanita itu membawa makna mereka tidak tahu, bahawa sekali melakukannya sudah memungkinkan kehamilan.

“Masalah lelaki ke belakang,” membawa makna lelaki mengundurkan diri jika si perempuan hamil. Lelaki yang melakukan zina untuk sekali lalu tidak mahu bertanggungjawab apabila pasangannya hamil. Dia ke belakang, ke belakang dan hilang.

Dalam drama “Taman” karya Iwan Simatupang, seorang pemuda mengatakan begini, “Saya melakukannya sekali saja”. Seorang lelaki yang berada dalam babak yang sama menengkingnya, “Sekali sudah cukup menurut ilmu perubatan.”

Ternyata, pengarang mahu memberitahu bahawa dalam masyarakat terdapat orang yang menyangka kehamilan hanya akan berlaku apabila orang bersetubuh berkali-kali. Semua ini perlulah diambil kira apabila kita mahu meninjau kes pembuangan bayi yang berleluasa kini.

Dialog yang kedua berbunyi, “Masalah perempuan dibawa balik. Masalah lelaki dilemparkan ke mana-mana. Inilah yang betul-betul menyusahkan.” Kata-kata tersebut dituturkan oleh seorang teman ketika dia sedang mencari anak gadisnya yang meninggalkan rumah sehari semalam.

Saya tidak menyangka dia akan berkata begitu, walaupun saya tahu itu ialah inti kerisauannya. Makna kata-kata itu ialah bahawa anak lelaki yang melakukan zina tidak membawa balik apa-apa, tetapi jika anak perempuan melakukannya, ada sesuatu di dalam tubuhnya yang dibawa balik ke rumah.

Anak perempuan atau gadis yang melakukan seks bebas akan berasa susah hati, malah menderita dan sengsara, seelok sahaja diketahuinya bahawa dia hamil. Anak itu tahu bahawa bapanya akan marah berapi-api. Trauma akibat berlakunya kehamilan adalah trauma tahap tinggi. Meningkatnya jumlah pembuangan bayi menunjukkan bahawa trauma ini berlaku di mana-mana.

Saranan beberapa pihak agar pendidikan seks disegerakan ditolak oleh sejumlah pihak, dengan anggapan pendidikan seks akan mendorong kegiatan seks bebas. Oleh sebab masalah sedang menjadi-jadi, maka sesuatu mesti dilakukan. Aplikasi perundangan sehingga pembuang bayi (sehingga bayi itu mati) akan dihukum mati, adalah satu daripada anjuran-anjuran yang ada.

Pembuangan bayi ialah masalah masyarakat, bukan masalah gadis-gadis yang melakukannya itu sahaja. Jangan kita hukum produk, padahal yang lebih perlu diperhatikan ialah proses. Terjadinya bayi ialah produk persetubuhan antara dua orang, dan yang menanggung petaka ialah seorang, kerana seorang lagi hilang entah ke mana. Jadi, perempuan ialah makhluk yang malang dalam hal ini.

Reaksi badan-badan NGO dan suara perseorangan membuktikan simpati terhadap perempuan ketara kini. Reaksi satu pihak lagi, tanpa simpati mengatakan perempuan-perempuan itu wajar dihukum berat. Suara-suara pendidikan agama mengatakan, anak-anak perempuan itu perlu menjaga dirinya agar tidak terlanjur. Bala petaka yang menimpa mereka ialah akibat mereka mengikut dorongan nafsu. Jika mereka patuh pada ajaran agama, mereka tidak akan jadi demikian.

Suara ajaran itu betul, namun harus pula kita ingat bahawa ajaran sedemikian hendaklah untuk anak lelaki juga. Sekarang segala-galanya terlanjur. Dalam tinjauan saya, pada jam 1 pagi, masih kita ternampak remaja lelaki dan perempuan di atas tembok di tepi jalan. Gerai kecil di pinggir bandar kecil pun ada gadis yang berbual-bual mesra dengan teman lelakinya pada perdu pagi. Demikian juga di tempat-tempat hiburan, di kota besar dan di bandar kecil.

Sejumlah mereka masih tinggal di rumah bersama-sama ibu bapa. Ibu bapa terlalu sibuk kini, sehingga tidak disedarinya anak mereka hamil. Dalam zaman ini, sudah tidak aneh apabila anak gadis (yang menyangka dirinya sakit entah apa) ke klinik bersama-sama ibunya, dan kemudian dia ke tandas, dan sesuatu terjatuh ke dalam mangkuk tandas klinik. Tidak aneh juga, pelajar IPT dihantar ke hospital kerana sakit entah apa, dan di hospital dia melahirkan anak, padahal minggu lepas dia berada di kampung tanpa disedari sesiapapun bahawa dia hamil. Ibu muda itu tidak mahu menerima anaknya.

Jika demikian keadaannya, adakah kita menolak anggapan bahawa kehamilan dan pembuangan bayi ialah masalah masyarakat? Bagi saya, jalan penyelesaiannya hanyalah pengukuhan pendidikan yang berkaitan, bukannya terus menghukum produk.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks