Anwar Terus Cabar Pemecatannya Dari Jawatan Kabinet

Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencabar kesahihan pemecatannya dari jawatan Kabinet oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 11 tahun lalu.

Hari ini, beliau memfailkan permohonan bagi menuntut Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula keputusannya pada 8 Mac yang mengisytiharkan bahawa pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 2 September 1998 adalah sah di sisi undang-undang.

Notis usul, yang dikembarkan bersama dengan afidavit Anwar, difailkan di Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini melalui firma guaman Messrs Karpal Singh & Co.

Dalam afidavitnya, Anwar memohon mahkamah tertinggi supaya menggunakan budi bicara sedia ada untuk menyemak semula kesnya mengikut Kaedah 137 Peraturan Mahkamah Persekutuan bagi mengelak ketidakadilan yang didakwa dilakukan ke atasnya.

Anwar berkata penghakiman Mahkamah Persekutuan bertentangan dengan peruntukan Artikel 43 (5) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menetapkan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong boleh membatalkan pelantikannya daripada jawatan-jawatan Kabinet atas nasihat Perdana menteri dan bukan Perdana Menteri.

Anwar berkata panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini, dalam menolak rayuan terakhirnya, melakukan kesilapan undang-undang dengan memutuskan bahawa ia adalah Perdana Menteri yang juga pihak yang berkuasa melantik dan mempunyai hak untuk membatalkan pelantikan Anwar.

Beliau mendakwa ia adalah satu penghinaan ke atas perumus perlembagaan bagi mencadangkan pematuhan kepada Artikel 43(5) dalam formaliti yang kosong dan bahawa penghakiman Mahkamah Persekutuan tidak boleh bertahan terhadap penyeliaan penghakiman.

Anwar berkata perkara itu merupakan kes yang luar biasa bagi mahkamah untuk membatalkan budi bicara sedia ada bagi menghalang ketidakadilan terhadapnya.

Anwar mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia, bagi menuntut perintah pengisytiharan bahawa pemecatannya adalah tidak sah di sisi undang-undang dan mahu beliau diberikan pampasan sebagai ganti kepada pengembalian kedudukan jawatan.

Beliau gagal dalam usahanya di Mahkamah Tinggi dan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. - Bernama

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks