Iran & Gasolin: Kaji Dulu Sebelum Sekat -Nik Aziz



KOTA BHARU, 23 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan kerajaan Malaysia menyekat jualan gasolin ke Iran dianggap sebagai menyokong Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas negara umat Islam itu. “Ini secara tidak langsung akan menaikkan semangat orang Yahudi,” katanya pada demontrasi membantah tindakan kerajaan Malaysia menggunakan khidmat syarikat Israel APCO Worldwide dalam pentadbiran kerajaan di Medan Ilmu hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kajian sepatutnya dilakukan terlebih dahulu sebelum menyekat penjualan gas kepada Iran. “Sedangkan kerajaan Iran menjelaskan penggunaan nuklear di negara berkenaan bukan bertujuan peperangan sebaliknya bagi menjana tenaga,” ujarnya.
Beliau juga berkata, apa yang dilakukan Amerika Syarikat ke atas Iran sekarang sama seperti tindakan mereka menceroboh Iraq atas alasan ada senjata pemusnah. Katanya, setelah serangan dilakukan sehingga mengakibatkan ribuan penduduk Iraq mati, senjata pemusnah yang didakwa George Bush palsu semata-mata.
Beliau juga melahirkan rasa kesal kerajaan BN sanggup membayar sehingga hampir RM80 juta kepada APCO yang ada kaitan dengan Yahudi, sebaliknya wang royalti yang menjadi hak Kelantan dinafikan.
”Royalti sebanyak RM2 bilion yang sepatutnya diberi kepada Kelantan tidak diberi. Dan baru-baru ini duit itu diambil tanpa diberi kepada tuannya dan dibahagi kepada pelajar sekolah.
”Ambil duit hak rakyat Kelantan kemudian beri semula kepada pelajar,” katanya merujuk pembahagian wang ihsan kepada pelajar di Machang oleh Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini.
Ribuan menyertai demontrasi tersebut selepas selesai kuliah agama mingguan. Dua siri kuliah mingguan sebelum ini diisi penceramah lain memandangkan Menteri Besar mengerjakan umrah. Pelbagai sepanduk dipamerkan orang ramai sebagai membantah tindakan Najib menggunakan khidmat APCO.
Kemuncak kepada demontrasi itu apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz membakar patung pemimpin dan bendera Israel. Biar pun Perdana Menteri menafikan tiada sekatan jualan gasolin Petronas kepada Iran, namun media asing melaporkan arahan itu dibuat sebagai komitmen Datuk Seri Najib Razak sebelum berjumpa Barack Obama. Petronas diarah menamatkan penjualan gas kepada Iran sejak bulan lepas sebagai menyokong sekatan dan tekanan ekonomi yang dikenakan Amerika serta sekutunya terhadap Iran.
Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Datuk Mohamed Daud, Ketua Dewan Muslimat, Siti Zailah Mohd Yusof, Angkatan Muda Keadilan, wakil-wakil rakyat dan rakyat pelbagai kaum. Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Dewan Pemuda PAS Kelantan membuat satu laporan polis ekoran tindakan kerajaan menggunakan khidmat APCO. (AK)

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks