'Tak ada keinginan nak jadi PM'..ha..ha..ha..Tok Ki Det..!!!


PASIR MAS 25 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak mempunyai keinginan untuk kembali menjadi Perdana Menteri sebagaimana dibimbangi oleh sesetengah pihak.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana usia beliau telah pun menjangkau 85 tahun.
"Jadi, tak ada keinginan nak jadi Perdana Menteri. Tolonglah bagi tau kat Nazri ni (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz), dia ingat saya nak jadi Perdana Menteri.
"Dia jadi Menteri pun kerana saya angkat dia, tapi orang macam ini, kita suap dia dengan nasi, dia gigit tangan kita. Inilah manusia yang jadi pemimpin sekarang ini," katanya hari ini.
Beliau berucap di hadapan hampir 20,000 penduduk terdiri daripada pelbagai kaum pada Perhimpunan Melayu Perkasa anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah, Datuk Badri Yunus menyangkal tuduhan Nazri yang menuduh Utusan Malaysia mempunyai agenda berhubung isu Perkasa termasuk cuba membawa balik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Badri berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas sama sekali dan tingkah laku menteri itu yang cuba mengaitkan Dr. Mahathir dalam perkara itu disifatkan sebagai amat menghairankan.
Badri membuat kenyataan itu sebagai mengulas ruangan Bisik-Bisik Mingguan oleh Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia mengenai Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan Malaysia berhubung isu Perkasa.
Malah, Nazri seperti yang dilaporkan oleh portal berita propembangkang, The Malaysian Insider menuduh Utusan Malaysia mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, mengenai Perkasa, Dr. Mahathir berkata, beliau yang bukan ahli pertubuhan itu, menganggap Perkasa sebagai satu kuasa politik dalam negara, justeru suaranya tidak boleh diketepikan.
"Sebaliknya, kita akan mendengar pendapat-pendapat Perkasa kerana ia sedikit sebanyak mencerminkan kehendak orang Melayu dan kehendak negara," katanya.
Pada sidang akhbar kemudiannya, Dr. Mahathir berkata, penglibatannya dalam program Perkasa bergantung kepada keadaan.
Ditanya tuduhan Lim Kit Siang dalam sebuah blog bahawa beliau seorang rasis, Dr. Mahathir secara sinis berkata, pemimpin DAP itu membuat tuduhan tersebut kerana dia bukan seorang yang rasis apabila menolak sebarang usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengamalkan perkongsian kuasa demi kesejahteraan rakyat dan negara.
"DAP menentang rancangan kita kerana DAP hendak memerintah negara ini, tetapi kini dia terpaksa bekerjasama dengan pihak yang pernah menjadi musuhnya seperti Pas," katanya.
Mengenai kenyataannya orang Melayu akan kehilangan kuasa apabila pembangkang menang, beliau berkata, ia dibuat berdasarkan kenyataan sebagaimana yang berlaku di Perak apabila Pas meletakkan wakil rakyatnya sebagai Menteri Besar yang hanya mengikut telunjuk DAP.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks