Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembelaan Peneroka (Tindak), Salahuddin Ayub berkata ianya juga menjelaskan lagi bahawa sememangnya berlaku penyelewengan dan penipuan biarpun dinafikan berkali-kali pihak Felda.
"Kemenangan peneroka Felda baru-baru ini memang menampakkan penyelewengan, penipuan serta salah guna kuasa (oleh) Felda ke atas peneroka."
"Kalau benar Umno mengatakan bahawa mereka adalah pejuang Melayu, 99.9 peratus peneroka yang terbabit adalah peneroka-peneroka Melayu," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.
Beliau mengulas kemenangan kes 10 peneroka dari Felda Sungai Koyan 2 dan 3 semalam.
Mahkamah Tinggi Kuantan semalam memutuskan Felda perlu membayar RM23,800 kepada 10 peneroka tersebut yang dinafikan hak mendapat bayaran tanam semula.
Dalam kes sebelum itu juga, Mahkamah Persekutuan turut mengarahkan Felda menyerahkan RM11 juta kepada 354 peneroka di Felda Kemahang 3, Kelantan ekoran Felda memanipulasi penggredan kelapa sawit.
Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS Pusat berkata, tindakan Felda menipu peneroka tidak ubah seperti bau busuk yang sedang melanda Felda.
Beliau juga yakin dan percaya, Felda sedang berdepan laluan sukar apabila satu demi satu penyelewengan terhadap peneroka mula terdedah.
Turut serta pada sidang media sama Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan Peguam Mohamed Hanipa Maidin.
0 comments:
Catat Ulasan