Tangkapan aktivis Protes untuk takutkan orang ramai


KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Belum ada apa-apa aktiviti daripada aktivis Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes), tiga daripada mereka telah ditangkap polis petang ini.
Dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan dan seorang aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) ditahan polis sebelum bermulanya edaran risalah Protes di pasar malam Kampung Kerinchi, dekat sini.
Mereka yang ditahan iaitu AMK Wilayah, Rozan Mat Razif dan Fareez Kamal dan aktivis Suaram, Tee Mun Hui ditahan atas alasan tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Brickfields.
Penyelaras Protes, Dr Hatta Mohd Ramli menyifatkan penahanan itu sebagai taktik untuk menakut-nakutkan orang ramai.
"Kita tidak tahu apa sebab mereka ditahan. Tapi saya pasti ini antara taktik menakutkan orang ramai," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Protes menganjurkan Kempen Bantah Harga Barang Naik: Selamatkan Rakyat di Pasar Malam Flat 17, Kampung Kerinchi, Lembah Pantai bermula jam 5.00 petang tadi.
Sebahagian aktivis Protes membahagikan risalah kepada pengunjung pasar malam itu.
Kampung Kerinchi dipilih tempat pertama kempen Protes  kerana para penghuni di kawasan itu kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah.
Kempen kesedaran ini dibuat ekoran kenaikan harga barang '5 dalam 1' pertengahan Julai lepas dan Protes mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan.
Ianya termasuk gesaan menghentikan pembaziran dalam pembangungan beberapa projek gajah putih seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), menguatkuasakan dasar gaji minimum, kembalikan harga asas barang asas seperti sebelum kenaikan, menjelaskan bagaimana 'penjimatan' RM4.6 bilion daripada penyelarasan subsidi pada 2006 dibelanjakan dan menstruktur semula subsidi supaya rakyat miskin terus mendapat faedah daripadanya.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks