Akhirnya Hassan Ali Muncul Juga




Hasan Ali cadang peraturan terperinci masuk masjid

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hari ini mencadangkan supaya satu peraturan lebih terperinci digubal berhubung cara dan tatasusila yang mesti dipelihara ketika menggunakan dan memasuki surau serta masjid di Selangor.

Beliau berkata peraturan yang lebih jelas seperti jenis pakaian yang sesuai serta jenis tudung yang dipakai juga perlu diperincikan bagi memudahkan ia difahami oleh pihak yang mengunjungi surau atau masjid.

“Mereka yang menjemput atau menganjur sepatutnya perlu memaklum perkara-perkara ini kepada orang yang dijemput (ke surau atau masjid) lebih-lebih lagi bila membabitkan bukan Islam,” kata beliau dipetik Bernama hari ini.

Semalam Perkasa meminta kerajaan mengadakan undang-undang melarang bukan Islam daripada masjid dan surau.

Hasan mengulas isu mengenai kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching di Surau Al-Huda di Kajang pada 22 Ogos.

Gambar wakil rakyat wanita itu sedang berucap di ruang solat yang disiarkan oleh sebuah akhbar telah menimbulkan kemarahan umat Islam termasuk Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Hasan berkata beliau akan menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik supaya menjaga sensitiviti awam sekiranya ingin melawat kawasan membabitkan rumah ibadat.


Surau: Hasan akan panggil Khusrin

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali akan memanggil Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammad Khusrin Munawi dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian berhubung isu penyertaan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam majlis bantuan kewangan kerajan negeri di Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Kajang baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Bangunan SUK, dekat sini petang tadi, Dr Hasan berkata, usaha itu dilakukan untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil oleh Khusrin berhubung perkara itu.

“Dalam pertemuan itu nanti, banyak perkara boleh dikongsi bersama kerana saya telah mendapat banyak input dari kalangan masyarakat termasuk intelektual yang pakar dalam bidang berkaitan yang memerlukan perbincangan lanjut,” jelasnya.

Sebelum itu, Dr Hasan menegaskan perkara itu telah dieksploitasi oleh pihak-pihak yang ingin menangguk di air keruh lantas keadaan ini telah menimbulkan reaksi segera di pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais.

“Sedangkan Teo memang dijemput sebagai tetamu atas sifat beliau sebagai Ahli Parlimen Serdang di mana beliau dijemput menyampaikan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah parlimen itu.

“Beliau telah dijemput masuk ke dewan solat surau untuk menyampaikan bantuan dan seterusnya menyampaikan ucapan ringkas. Ucapan beliau tertumpu kepada usaha-usaha kerajaan negeri dalam membantu pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,” jelasnya.

Ekoran dari itu, Pengerusi serta Bendahari Surau dan Pembantu Khas Teo dipanggil memberi keterangan di hadapan Pengerusi Mais, Pengarah Jais dan wakil istana lalu keputusan diambil dengan membubarkan jawatankuasa surau dan Mais mengambil alih pentadbiran surau.

Dr Hasan kesal kerana ada akhbar melaporkan kejadian itu dengan begitu berat sebelah antaranya Teo dikatakan menyampaikan ‘tazkirah’ dan dalam majlis itu beliau disebutkan sebagai menyampaikan bantuan kewangan kepada ahli-ahli PAS.

“Berdasarkan rentetan kejadian di atas saya telah mengambil inisiatif berikut antaranya, cuba menasihatkan semua pihak termasuk ahli-ahli politik demi menjaga sensitiviti setiap golongan rakyat mereka dengan memaklumkan rancangan kehadiran mereka kepada pihak-pihak yang berwajib supaya tatacara penggunaan surau dan masjid dapat dipatuhi.

“Saya juga akan mencadangkan supaya digubal peraturan yang lebih detail dengan memperincikan langkah-langkah yang mesti diambil dan tatasusila yang mesti dipelihara bagi mereka yang berhajat menggunakan kemudahan surau dan masjid di Negeri Selangor,” tegasnya.

Menjawab satu pertanyaan tentang desakan Pemuda Umno agar beliau meletakkan jawatan ekoran peristiwa ini, Dr Hasan berseloroh, jika ikut desakan itu, setiap kali bukan Islam masuk masjid, sudah beribu kali beliau terpaksa meletakkan jawatan.

Persoalan di sini, jelasnya, adalah bagaimana peraturan sebenar dan bagaimana pula penguatkuasaannya, tidak timbul masalah Hasan Ali tetapi yang utama, isu ini segera diselesaikan. -harakahdaily


Ulasan GB

Akhirnya beliau (Hassan Ali) muncul setelah GB mendedahkan "kehilangan" Hassan Ali sebelum ini terutama seluruh negara tengah sibuk membicarakan hal panas mengenai isu surau.

GB tertarik dengan cadangannya bahawa satu peraturan lebih terperinci digubal berhubung cara dan tatasusila yang mesti dipelihara ketika menggunakan dan memasuki surau serta masjid di Selangor.

Sekalipun terlambat namun kita mengalu-alukannya. Oleh kerana tidak adanya peraturan yang terperinci selama ini, sepatutnya Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching tidak boleh dipersalahkan oleh sesiapa.

Hassan Ali sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor sepatutnya lebih bertanggungjawab dan sepatutnya beliau telah lama mengeluarkan garis panduan tersebut atau telah lama mengarahkan MAIS berbuat demikian.

Apabila isu tersebut meletup sedemikian hebat, diperburukkan apabila ianya dieksploitasikan sedemikian rupa oleh UMNO bersama akhbar-akhbar pencacai mereka, baru hendak dicadangkan peraturan khas yang terperinci sedangkan Jawatankuasa surau berkenaan telahpun "menerima hukumannya" apabila ianya dibubarkan dan diambil alih pentadbiran oleh MAIS.

Apa-apa juga cadangan exco berkenaan, sepatutnya beliau yang melaksanakan kerana ia adalah di dalam biadangkuasanya sendiri, bukan orang lain.

Dan beliau tidak sepatutnya membisu dan mendiamkan diri seperti yang berlaku sebelum ini sehingga MAIS yang dikuasai oleh UMNO telah bertindak jauh ke hadapan dengan membabitkan Sultan Selangor yang dilaporkan murka dengan insiden berkenaan.

Dan seperkara yang perlu diberikan perhatian, peraturan bukan sahaja untuk bukan Islam, tetapi sepatutnya merangkumi yang beragama Islam juga kerana terdapat insiden yang banyak dimana wanita dan puteri UMNO memasuki kawasan surau dan masjid tanpa menutup aurat. Lihat gambar di sebelah bagaimana gelagat isteri PM sendiri bersama-sama kaum wanita yang jelas tidak menutup aurat di dalam kawasan masjid.

MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sepatutnya telah menilai prestasi exco yang bernama Hassan Ali ini dan jika patut ditukar, tukarkan dengan seberapa segera. Ada lagi yang lebih berwibawa daripadanya untuk jawatan berkenaan.

Bukan bererti GB telah bersetuju dengan desakan Pemuda UMNO supaya Hassan Ali meletakkan jawatan, tetapi GB juga tidak suka pemimpin PAS yang pemalas, "mediocre" dan cakap tak serupa bikin yang kelak keseluruhan kerajaan Pakatan Rakyat tercemar dan sebelum PR ditolak oleh rakyat disebabkan olehnya.

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks