Israel: Anwar jadi 'beg tinju' ahli parlimen Umno

KUALA LUMPUR, 13 April: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan menjadi 'beg tinju' di Dewan Rakyat petang tadi demi mengaburi dewan daripada berbincang tentang pembabitan dua agen perisikan Zionis-Israel di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Demikian rumusan Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution (gambar) ketika diminta mengulas tentang tindak-tanduk beberapa Ahli Parlimen Umno yang dilihat enggan menjawab soalan-soalan Ahli Parlimen Pembangkang pada sesi soal jawab berkaitan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Seakan beg tinju Permatang Pauh petang tadi (kerana) beliau tidak bercakap pun di peringkat Jawatankuasa KDN, tetapi seluruh jawapan Timbalan Menteri (Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Haji Yusop) begitu menyentuh peringkat dasar (ucapan Anwar) kelmarin," ujarnya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, Abu Seman sepatutnya menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat sepanjang pada hari ini, bukannya asyik memperbaiki imej Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan timbalannya apabila Anwar mendedahkan isu 2 agen Zionis-Israel dalam Asiasoft (M) Sdn. Bhd. sebelum ini.
Tuntas dari itu, beliau menganggap sesi penghujahan berhubung KDN seolah-olah seperti skrip-skrip yang dibacakan oleh beberapa Ahli Parlimen Umno di Dewan Rakyat.
"Dari perbahasan petang tadi, nampak jelas peranan Ahli Parlimen Kota Belud (Datuk Abdul Rahman Dahlan) dan Rembau (Khairy Jamaluddin) melontarkan soalan dan kemudiannya dijawab oleh Timbalan Menteri (Abu Seman).
"Sebenarnya cuba ketepikan semua soalan-soalan daripada Ahli Pembangkang terutama berkaitan 2 agen Zionis-Israel, seolah-olah suatu skrip untuk tutup isu Asiasoft," ujarnya.
Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di Dewan Rakyat mendedahkan, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan dalam suatu kenyataan media pada 5 Ogos 2008 memaklumkan bahawa beliau telah memaklumkan kepada KDN apabila mengetahui tentang pembabitan perisik Zionis-Israel di Bukit Aman.
Tambah Khalid, KDN sendiri dalam suatu kenyataan pada November 2008 telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya membatalkan perkhidmatan Asiasoft (M) Sdn. Bhd. kerana kementerian sendiri percaya dengan pembabitan 2 agen Zionis-Israel tersebut.
Tuntas dari itu, beliau berkata, walaupun Ahli Parlimen Umno enggan mengakui keterlibatan Izhak David Nakar dan Ido Schechter, iaitu bekas perisik Zionis-Israel dalam membangunkan Sistem Laporan Polis (PRS), kenyataan Musa dan KDN sendiri seolah-olah mengaku segala pendedahan yang dibuat oleh pembangkang.
Selasa, 2010 April 13

0 comments:

 
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks