M FAQIH: Menunggu fatwa wang ihsan haram

ISNIN, 1 Mac lalu Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad menyokong usul tergempar tuntutan royalti petroleum. Turut berdiri tanda sokongan Mat Yusof Abdul Ghani (BN–Nenggiri) dan Datuk Abdul Aziz Derashid (BN–Kuala Balah). Adun BN yang tidak berdiri iaitu Datuk Nozula Mat Diah (BN–Paloh) dan Adhan Kechik (BN–Bukit Bunga), manakala Datuk Noorzahidi Omar (BN–Pengkalan Kubur) tiada dalam dewan pada detik itu.
Speaker, Nasuruddin Daud ketika itu meminta sokongan terhadap usul tersebut biar pun pada awalnya banyak suara kata setuju.
Namun pada sebelah petang, kesemua Adun BN tidak hadir ketika penggulungan dibuat anggota Exco, Datuk Husam Musa. Berdasar kepada fakta tersebut jelaslah Alwi, Mat Yusof dan Abdul Aziz sokong tuntutan royalti ke mahkamah.
Tiba-tiba selepas persidangan Dun berakhir, Mat Yusof pula membuat kenyataan Adun BN tidak sokong, ekoran ada sedikit pindaan terhadap usul tersebut.
Pindaan hanya menjelaskan perkataan Petronas dituntut membayar tunai kepada kerajaan negeri hasil operasi petroleum di perairan Kelantan.
Manakala usul asal yang dikemuka Abdullah Ya’kob (PAS-Air Lanas) tidak berubah. Usul itu memberi mandat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) mendesak Petronas membayar tunai hasil operasi minyak di perairan Kelantan dan membawa kes tuntutan royalti itu ke mahkamah.
Speaker memberitahu selepas meneliti cadangan berkenaan beliau mendapati usul memenuhi tiga syarat iaitu perkara tertentu dan mustahak, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.
Usul dikemukakan berdasar peruntukan Peraturan Tetap Dewan Negeri Kelantan Perkara 30 (1).
Usul terbabit antara lain berbunyi, “bahawa Dun memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerah hakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.”
Sehari selepas berlaku peristiwa itu tiba-tiba enam Adun BN diberi amaran.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan menyelar keputusan Dun Kelantan membawa usul tuntutan royalti minyak ke mahkamah.
Beliau juga dilaporkan menyebut tindakan mungkin diambil terhadap Adun BN yang menyokong usul tersebut.
Selepas kenyataan amaran itu Alwi tiba-tiba menjadi kelam kabut. Lalu dijawabnya dengan mengatakan semua enam Adun BN tidak mengundi menyokong usul tuntutan royalti minyak dibawa ke mahkamah.
Alasannya kesemua mereka tiada di dalam dewan ketika usul itu diluluskan.
Menurutnya mereka hanya menyokong usul itu dibahaskan untuk membawa tuntutan ke mahkamah ketika perbahasan sebelah pagi.
Di sini mulai nampak kekeliruannya. Apa yang berlaku pada Isnin lalu Speaker hanya meminta sokongan terhadap usul tersebut dan bukannya mempersoalkan sokongan untuk usul dibahas atau tidak.
Situasi itu berada dalam dua keadaan berbeza. Pada mana-mana persidangan Dun atau parlimen pun, Speaker tidak menanyakan setujukah terhadap usul untuk dibahas atau tidak.
Sebaliknya ditanya sokongan terhadap usul tersebut. Itu persoalan asas. Namun dalam situasi yang menimpa Alwi dan lima lagi Adun BN, nampaknya mereka seperti mahu berhelah.
Mereka khuatir berdepan dengan amaran Naib Presiden Umno. Kalau era Pak Lah, Hishamuddin tidak mungkin berani untuk mengugut Alwi. Adun Kok Lanas itu Setiausaha Politik Perdana Menteri.
Cakapnya masih lagi laku ketika itu. Hishammuddin pun belum lagi menduduki kerusi Naib Presiden Umno. Alwi boleh pandang belakang segala ugutan Hishammuddin.
Tetapi itu dahulu, sekarang tidak lagi.
Alwi seperti menggeletar sekarang. Sifu politiknya dalam Umno sudah tiada lagi. Maka dalam usaha menegak benang yang sudah basah, Alwi berada dalam situasi gelabah sekarang.
Hujahnya kesemua Adun Umno tidak mengundi menyokong usul dengan tambahan kerana mereka tidak hadir pada persidangan sebelah petang. Sebenarnya ia tidak lagi berbangkit.
Mukadimah sokongannya pada sebelah pagi sudah cukup untuk membuktikan sokongan Alwi terhadap usul royalti. Adun BN lain mungkin lebih selamat. Alwi ‘ketua darjah’ mereka dalam Dun Kelantan. Ada tomahan liar menyebut nasibnya bakal mengekori bosnya, Tan Sri Annuar Musa.
Annuar dan Alwi tidak ada kedudukan selesa di Perhubungan Umno Kelantan sekarang. Mungkinkah nasib malang bekas Setiausaha Umno Tanah Merah, Amran Abdul Rahman yang digugur keahliannya kerana membawa Umno ke mahkamah juga menimpa Alwi.
Saman pemula Amran terhadap Ketua Umno Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz menjadi punca keahliannya dilucut.
Surat bertarikh 1 Mac memaklumkan Amran yang juga ahli cawangan Simpan 3 Seri Mahligai digugurkan. Pada 17 Febuari Amran mengemukakan saman pemula ke atas Ikmal Hisham di Mahkamah Tinggi kerana menganggap kemenangannya meragukan.
Dalam isu membabitkan Alwi, usul yang dibentang juga membabitkan mahkamah. Tunggulah apakah Datuk Seri Najib Razak berani bertindak mengganyang Alwi.
Biar apa pun dalam isu tuntutan royalti tabik untuk Alwi kerana ada kejujuran yang dipertahankan. Alwi dilihat ada keikhlasan. Beliau seperti bersama dengan kerajaan dan rakyat Kelantan.
Kejujurannya dikatakan semakin mendekati keikhlasan Tengku Razaleigh Hamzah dalam perjuangan isu royalti. Mereka mempertahankan sebuah perjanjian.
Thomas Hobbes, seorang ahli filosofi barat (1588 –1676) berhujah negara berdiri atas dasar perjanjian (kontrak). Biar pun Jean Jaqques Rosseau (1712–1778) menuduh Hobbes memisahkan agama dengan negara, namun pendiriannya mahu perjanjian dipatuhi perlu dihormati.
Begitu juga dalam perjanjian yang ditandatangani antara Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Nasir dengan Petronas pada 9 Mei 1975.
Perjanjian itu dengan jelas menyebut Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan secara tahunan sebanyak setara 5 peratus daripada nilai petroleum yang diperolehi di Kelantan.
Dan dalam surah al Maidah:1 Allah berfirman antara lain bermaksud, “Hai orang-orang beriman, tepatilah segala janjimu.”
Maka dalam isu royalti, siapakah yang mengkhianati perjanjian 1975. Adakah Najib, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Alwi seperti memilih menghormati perjanjian itu, biar pun kejujurannya dipersenda Hishammuddin.
Alwi mungkin lebih bernasib baik apabila ada fatwa membayangkan wang ihsan haram.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks