Hapuskan Korupsi Secara Total Baru Laksana GST



Oleh Norasikin Samsi
KUALA LUMPUR 6 Mei - Pelaksanaa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh dipertimbangkan tetapi dengan syarat segala bentuk ketirisan, penyelewengan, pembaziran serta korupsi di kalangan pemimpin Umno-Barisan Nasional yang boleh menyumbang kepada penurunan hasil pendapatan negara mesti dihapuskan secara total.
Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali berkata kerajaan Pakatan Rakyat dapat memberi jaminan sekiranya GST tidak diimplementasi, Malaysia tetap mampu menambahkan hasil ekonomi negara.
Namun katanya, perkara tersebut tidak akan berhasil selagi kerajaan Umno-BN mengamalkan dasar pentadbiran berasaskan amalan rasuah dan tanpa ketelusan.
"Tujuan GST ini diperkenalkan bagi menambah pendapatan negara, tetapi sebenarnya kita kekurangan wang untuk perbelanjaan  kerana ada unsur ketirisan, pembaziran dan korupsi yang semakin menular di kalangan elit pemerintah termasuk kroni pimpinan Umno-BN.
"Yang lebih penting kalau mahu menambah pendapatan negara ialah dengan mengatasi perkara pokok ini.
"Jika ia berjaya dihapuskan, saya bersama Pakatan Rakyat yakin bahawa kerajaan masih mampu menambah pendapatan negara walaupun tanpa GST," katanya kepada Suara Keadilan di lobi Parlimen selepas menghadiri sidang Dewan Negara pagi tadi.
Dr Syed Husin juga menganggap kerajaan sudah kesempitan wang sehingga terpaksa memperkenalkan GST untuk 'merompak' duit rakyat secara terhormat dan tersembunyi tanpa memikirkan penderitaan rakyat yang kian perit sekarang ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Rang Undang-undang GST perlu ditolak dan ditarik balik berikutan implikasi buruk ke atas rakyat.
Beliau juga menganggap cukai tersebut merupakan cukai 'agresif' kerana membebankan golongan rakyat miskin tetapi sebaliknya meringankan golongan atasan dan kaya.
"GST ini akan membebankan banyak lapisan rakyat kerana mereka yang tidak pernah dikenakan cukai sebelum ini akan dikenakan melalui cukai ini. Ini kerana cukai GST sudah terkandung pada setiap barangan yang kita bayar iaitu cukai tersembunyi yang tidak patut dikenakan tetapi dikenakan.
"Sepatutnya golongan bawahan ini dikecualikan daripada menerima lebih banyak bebanan bukan sahaja dibebankan dengan cukai langsung tetapi juga cukai tidak langsung seperti ini.
"Ia turut membebankan peniaga kecil dan secara automatik bertambahnya tenaga kerja bagi sistem pengiraan baru setelah GST dilaksanakan berbanding sektor korporat yang tenaga kerja untuk melakukan sistem tersebut sudah sedia ada.
Justeru, beliau menggesa kerajaan BN menghentikan tradisi merompak kekayaan rakyat sebagaimana yang rancak berlaku kini.
"Kalau misalnya keadaan negara sudah telus, ertinya tidak ada perompakan kekayaan, tidak ada ketirisan perbelanjaan dari segi pembaziran dan tidak ada korupsi barulah GST ini lebih sesuai diadakan di Malaysia," ujar beliau lagi.
Khamis, 2010 Mei 06

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks