RASA, 24 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau   lebih suka berjumpa rakyat daripada memikirkan mengenai cabaran  berdebat  dengan Ketua Pembangkang. Najib berkata, beliau tidak  mengambil kisah mengenai cabaran tersebut  kerana apa yang perlu  diutamakan ketika ini adalah memberi masa depan  yang terjamin untuk  rakyat.
“Mana ada dalam perancangan nak berdebat dengan Anwar Ibrahim di  Kuala  Kubu Baru. Tak ada. Saya lebih suka kalau dapat jumpa dengan anda   kerana lebih banyak faedah yang diperolehi daripada berjumpa dengannya.
“Oleh itu kita jangan ambil kisah apa yang dilakukan pembangkang  kerana  mereka lebih mementingkan politik daripada memperjuangkan agenda   rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat di Kampung   Melayu Rasa di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir   Baharom, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan   Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anggota Dewan Undangan Negri (ADUN)   Batang Kali Mohd Isa Abu Kasim.
Beberapa kain rentang dipasang di sekitar pekan Kuala Kubu Baru (KKB)   yang mendakwa Perdana Menteri akan menyertai debat perdana dengan Anwar   di stadium mini KKB pukul 9 malam ini.
Najib berkata, perdebatan seperti itu jelas tidak akan menguntungkan   mana-mana pihak malah rakyat juga tidak seharusnya dilibatkan dalam   permainan serta helah politik pembangkang yang tiada kesudahan.
“Tidak ada gunanya saya menyertai debat yang tidak bertujuan dan  belum  pasti apa faedahnya. Kita ada gagasan, kita ada dasar, kita ada   kemahuan yang telah pun dibuat. Saya akan teruskan pembaharuan   ini,”katanya. — Bernama
 
0 comments:
Catat Ulasan