Rakyat demo bantah lesen judi, konsert Pitbull



Bantahan Oleh Jamilah Kamarudin
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak dan konsert 12 jam tanpa henti penyanyi antarabangsa Pitbull  menyebabkan rakyat hari ini mengadakan perhimpunan aman di Masjid Jamek Kampung Baru di sini bagi membantah keputusan itu yang ternyata bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia dan negara Islam.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS bermula sejurus selepas umat Islam selesai menunaikan solat Jumaat pada pukul 2 petang dan dihadiri kra-kira 300 orang awam.

Perhimpunan bermula apabila Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzzaman Mohamad berucap di atas pentas di perkarangan masjid bagi membantah isu tersebut, dan difahamkan beliau dan pemimpin Pakatan Rakyat serta pemimpin NGO yang lain diberi masa oleh  pihak polis hanya lima minit untuk berucap.
Kekecohan bermula apabila hanya dua minit setengah beliau berucap, polis secara tiba-tiba meluru merampas pembesar suara  sehingga menimbulkan ketegangan antara polis dan penyokong yang hadir.
Dalam kekecohan itu, polis menangkap tiga penyokong dan menahan seorang lagi penyokong untuk dibawa ke balai polis.
Namun, tindakan polis itu dihalang majoriti penyokong sehingga memaksa polis membebaskan kesemua yang ditahan.
Perhimpunan itu akhirnya bersurai setelah kira-kira 15 minit dijalankan dan orang ramai dilihat beredar meninggalkan kawasan masjid.
Sementara itu, Kamaruzzaman ketika ditemui pemberita berkata, keputusan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak secara rahsia  tanpa ap-apa pengumuman merupakan petanda malang apabila negara kini semakin bergantung kepada hasil perolehan cukai daripada  industri perjudian.
"Pada tahun 2008 sahaja sejumlah RM2.7 bilion hasil yang diperoleh kerajaan daripada industri judi.
"Bayangkan jika cukai dikutip daripada hanya 30%, bermakna lebih daripada RM10 bilion duit rakyat yang ratanya daripada orang susah dibelanjakan untuk judi, maka kami membantah sekeras-kerasnya kelulusan judi ini," katanya.
Beliau juga berkata, aktiviti judi ini juga secara langsung dapat dikaitkan dengan gejala sosial, sekaligus mampu menjejaskan masa depan generasi muda khususnya.
"Golongan yang berjudi rata-ratanya golongan pertengahan dan miskin. Ketika berjudi mereka mempertaruhkan wang dan harapan  supaya RM10 yang mereka taruhkan akan berjaya mendapat RM10,000.
"Ini akan menjejaskan motivasi dan prestasi mereka untuk mencari rezeki dengan harapan dapat menjadi kaya dengan mudah.
"Tapi yang kaya sebenarnya hanya tauke judi dan kroni yang menanggung kerajaya politik Umno-Barisan Nasional (BN).
Kamaruzzaman turut menyelar penganjuran konsert Pitbull kerana jelas aktiviti tidak membawa sebarang kebaikan, malah mampu menghancurkan akhlak masyarakat, terutamnya golongan remaja.
"Kami membantah penganjuran konsert kerana dalam peraturan tiak dibenarkan konsert melebihi 12 malam sedangkan konsert ini berlangsung pada pukul 12 malam hingga 7 pagi.
"Artis yang dibawa masuk ini juga sangat teruk akhlaknya dan bukan contoh yang baik untuk negara Islam seperti kita.
"Lagu mereka mengajak mengadakan pergaulan bebas dan pengambilan dadah. Bagaimana artis sebegini dibenarkan masuk ke negara Islam.
"Kami tuntut supaya konsert ini dibatalkan dan lesen judi yang diluluskan semalam dibatalkan demi kepentingan rakyat," katanya.
Turut hadir perhimpunan itu pemangku ketua PAS Wilayah Persekutuan (WP) Herman Shamsudeen, Ketua Angkatan Muda (AMK)
Selangor Khairul Annuar Ahmad Zainuddin, wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambry Mat Isa, wakil Angkatan Belia  Islam Malaysia (Abim), Kelab Penyokong PAS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Read Full...

Kerusi parlimen PR hampiri paras 1/3: Wee Choo Keong keluar PKR



Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong akhirnya keluar dari PKR sebagai ahli dewan rakyat "bebas", 48 jam sebelum hari pengundian PRK Sibu.  Tindakan yang diumumkan pada hari ini mengesahkan "desas-desus" yang disebarkan sebelum ini.  Bagaimanapun, MerdekaReview gagal menghubungi Wee Choo Keong setelah berita ini didedahkan Star Online.
Lantaran daripada itu, kerusi Pakatan Rakyat dalam Dewan Rakyat telah berkurang kepada 76.  PR yang memperolehi 82 kerusi pada PRU ke-12 telah kehilangan lima kerusi apabila ahli parlimennya keluar dari parti, bermula dengan Ibrahim Ali (Pasir Mas-PAS), disusuli Zahrain Hashim (Bayan Baru-PKR), Tan Tee Beng (Nibong Tebal-PKR), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai-PKR), dan kini Wee Choo Keong (Wangsa Maju-PKR, gambar kanan).
PR berjaya merampas satu kerusi daripada BN dalam PRK Kuala Terengganu pada tahun 2009, tetapi kehilangan satu kerusi dalam PRK Hulu Selangor, baru-baru ini.  Sementara itu, PR kehilangan satu kerusi lagi apabila PKR mengambil tindakan disiplin terhadap ahli parlimen Kulim Bandar Bahru, Zulkifli Nordin yang membuat laporan polis terhadap pemimpin PAS, Khalid Samad yang juga ahli parlimen Shah Alam.
Dengan kata lain, PR kini hanya memiliki dua kerusi lebihan, sebelum jatuh ke paras satu pertiga (74 kerusi) dalam dewan rakyat.  Tetapi, seandainya DAP-PR menang dalam PRK Sibu pada hari pengundiannya, maka PR akan bertahan dengan 77 kerusi.
Perlu diingatkan juga bahawa sekurang-kurangnya dua orang ahli parlimen PR telah disabitkan kesalahan, yang bakal membawa kepada kehilangan kelayakan ahli parlimen.  Tian Chua (Batu-PKR) dan N.Gobalakrishnan (Padang Serai-PKR, gambar kiri) telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, dan kini berada dalam peringkat rayuan.
MerdekaReview telah melaporkan berita bahawa Wee Choo Keong bakal mengisytihar dirinya "bebas" pada 16 April 2010, menjelang PRK Hulu Selangor.  Wee Choo Keong bagaimanapun enggan mengesahkan khabar tersebut. 【Wee Choo Keong dijangka isytihar "bebas"】
Lebih awal lagi, MerdekaReview melaporkan bahawa Wee Choo Keong menuding jari kepada Little Napoleon dalam DAP dan PKR, yang kononnya menyebarkan desas-desus bahawa dirinya akan keluar parti. 【Khabar angin keluar parti angkara Little Napoleon PKR dan DAP, Wee CK】
Read Full...

Bangkok ‘bergolak’: 1 maut, 5 cedera terkena tembakan



 
Tentera Thai tayar terbakar di Bangkok hari ini. - Gambar dari Reuters
BANGKOK, 14 Mei — Seorang lelaki maut manakala lima yang lain cedera semasa menyaksikan pertempuran antara anggota tentera dan penunjuk perasaan antikerajaan di persimpangan Bonkai, dekat Stadium Tinju Lumpini di sini hari ini. Intaeng Teswong, 33, yang memberhentikan keretanya di kawasan itu untuk melihat pertempuran itu telah terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Klauynamthai di sini pada kira-kira 3.30 petang.
Masih belum jelas bagaimana Intaeng terkena tembakan itu.
Pengarah Hospital Klauynamthai Dr Suwinai Busrakamwong berkata dua daripada lima yang cedera itu mengalami kecederaan parah.
Dr Suwinai berkata pihak hospital tidak dapat menentukan sama ada kelima-lima yang cedera adalah penunjuk perasaan kerana kumpulan itu kini tidak lagi memakai baju merah.
Pertempuran antara anggota tentera dan penunjuk perasaan baju merah masih berterusan di beberapa tempat berdekatan dengan kawasan seluas kira-kira tiga kilometer persegi yang dihuni mereka di tengah-tengah bandar raya ini.
Para penunjuk perasaan berkenaan menduduki kawasan itu sejak sebulan lepas sebagai usaha mendesak kerajaan membubarkan Parlimen, dan pasukan tentera dengan kereta perisai dikerahkan mengepung kawasan itu sejak semalam untuk menyuraikan mereka.
Perkhidmatan skytrain telah dihentikan pada 4 petang tadi manakala perkhidmatan tren dihentikan pada 5 petang.
Dalam perkembangan terbaru, kerajaan mengumumkan penutupan Jalan Rama IV antara persimpangan Samyan dan persimpangan Ngarmdopli mulai 6 petang tadi.
Laporan awal menyebut, tiga wakil media cedera terkena tembakan apabila tentera dan penunjuk perasaan antikerajaan meneruskan pertempuran mereka hari ini.
Tiga wakil media itu terdiri daripada jurukamera dari Voice TV, seorang jurufoto tempatan dari akhbar Matichon dan seorang wartawan asing dari French 24 TV.
Jurukamera itu dirawat di Police General Hospital, jurufoto di Bamgungrat Hospital dan wartawan asing itu di Chulalongkorn Hospital.
Identiti mereka masih belum dikenal pasti dan ketiga-tiganya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Jurufoto dan wartawan berkenaan terkena tembakan di kaki mereka dan setakat ini tiada maklumat berhubung kecederaan yang dialami jurukamera itu.
Masih belum jelas buat masa ini mengenai bagaimana ketiga-tiga wakil media itu cedera terkena tembakan semasa sedang membuat liputan pertempuran itu di sini kira-kira 2 petang. — Bernama
Read Full...

Kerugian RM 1.6 Bilion Sime Darby, Siasatan Dalaman Tidak Memadai



SHAH ALAM 14 MEI: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin mencadangkan kerajaan pemerintah menubuhkan panel menjalankan siasatan khas terhadap kerugian besar yang dialami Sime Darby Berhad berjumlah RM1.64 bilion yang memberi kesan terhadap ekonomi negara.

Beliau menganggap tindakan siasatan dalaman dan arahan Pengerusi atau CEO Sime Darby hanya diarah bercuti, jauh dari mencukupi lantaran ia membabitkan sebuah syarikat bertaraf antarabangsa.

Sime Darby mencatat kerugian lebih RM1.64 bilion berikutan lebihan kos dalam beberapa projek di bawah Bahagian Tenaga dan Utilitinya termasuk projek hidroelektrik Bakun.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid kemudian diminta bercuti dan langkah ini direstui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sudah tentu ia memalukan negara kerana Sime Darby sewaktu dipimpin oleh Tan Sri Khalid sebelum ini, tidak pernah mengalami kerugian sebanyak ini. Sime Darby harus menjelaskan bagaimana kerugian mencecah RM1.64 billion.

"Tidak hanya memadai pengerusi atau CEO diarah bercuti dan sebagainya. Sebab ia satu syarikat yang bertaraf antarabangsa dan saya percaya, ia akan memberi impak besar kepada ekonomi negara,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Shamsul menegaskan kerugian besar ini harus diperbetul temasuk mengenal pasti punca, sama ada disebabkan faktor salah urus atau masalah penyelewangan.

“Isu Sime Darby menunjukkan sesuatu harus diperbetul dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur dan unit pegangan saham terdiri daripada orang ramai," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan siasatan bebas dan telus terhadap Sime Darby dibuat kerana percaya siasatan dalaman sahaja tidak memadai.

“Sudah tentu siasatan harus dibuat dan mesti diketuai panel bebas kerana siasatan tidak boleh hanya dikendali secara dalaman semata-mata. Jumlah kerugiannya terlalu besar, elok kerajaan ambil inisiatif untuk membuat panel khas," katan
Read Full...

Gantung semua lembaga pengarah, pengurusan kanan Sime Darby



KUALA LUMPUR, 14 Mei: Sebagai pemegang saham terbesar, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sepatutnya bertindak menggantung jawatan kesemua lembaga pengarah dan pengurusan kanan Sime Darby Berhad, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar).
"Berdasarkan prinsip akauntabiliti, kesemua lembaga pengarah dan pengurusan kanan Sime Darby hendaklah berundur apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu mengalami kerugian akibat lebihan kos berjumlah kira-kira RM1.6 bilion.
"Jika mereka enggan berbuat demikian, sebagai pemegang saham terbesar dalam Sime Darby, PNB hendaklah mengambil tindakan ke arah menggantung jawatan mereka," tegas beliau.
Berdasarkan laporan tahunan Sime Darby 2009, Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai 39 pegangan dalam kumpulan itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 14 peratus dan PNB sendiri 13 peratus. ASB berada di bawah PNB.
Mengulas lanjut tentang kerugian itu,  Salahuddin mempersoalkan, di manakah jawatankuasa audit dan akaun Sime Darby.
"Adakah jawatankuasa audit dan akaun itu tidak mengesan kerugian tersebut lebih awal?
"Jika mereka telah mengesan kerugian itu lebih awal dan melaporkannya kepada Lembaga Pengarah Sime Darby, apa yang dilakukan oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanannya?
"Sebab itulah PNB sepatutnya bertindak ke arah memecat Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Sime Darby dan melantik audit luar untuk membuat penyiasatan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Salahuddin juga mempersoalkan kesan kepada sumbangan Sime Darby dalam memberikan dividen kepada pelabur-pelabur PNB.
"Bolehkah PNB mengekalkan kadar dividen yang telah diberikannya kepada pelabur-pelabur sebelum ini berikutan kerugian besar Sime Darby itu?" soal beliau.
Beliau juga menyarankan agar selepas ini Sime Darby melihat kembali kekuatannya dan membina perniagaan berteraskan kekuatan dan kepakarannya dalam sektor perladangan dan hartanah.
"Sime Darby tidak sepatutnya melibatkan diri dalam sektor tenaga, minyak dan gas atau penjualan kenderaan.
"Bidang-bidang tersebut tidak dilihat sebagai core business kumpulan itu," katanya.
Sime Darby patut mengambil Nestle sebagai contoh yang semakin berkembang maju dalam industri pemakanan di mana pada tahun 2006 sahaja ia mencatat keuntungan kira-kira US$75 bilion.
"Sepatutnya dengan kepakaran Sime Darby dalm bidang perladangan dan komoditi, ia boleh melakukan natural progression untuk maju dalam bidang industri pemakanan halal, contohnya berasaskan kelapa sawit," kata Salahuddin Read Full...

Perhimpunan bantah lesen judi, konsert kecoh bila polis masuk campur....





Kekecohan berlaku apabila pihak polis cuba menghentikan ucapan pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO yang membantah tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi pertaruhan bolasepak Piala dunia dan penganjuran konsert 12 jam yang membabitkan artis luar negara, Pitbull.

Mereka mengadakan bantahan tersebut sejurus selepas selesai solat Jumaat Masjid Jamek Kampung Baru pada kira-kira jam 2.10 petang.

Ia berlangsung di atas sebuah pentas dalam kawasan masjid tersebut.

Kejadian itu disaksikan oleh kira-kira 500 orang yang berada di situ, termasuk mereka yang sedang beredar selepas selesai solat Jumaat.

Mereka yang hadir di pentas tersebut ialah pemangku ketua PAS Wilayah Persekutuan (WP) Herman Shamsudeen dan setiausaha Pemuda PAS pusat, Kamaruzzaman Mohamad.

Yang lainnya ialah ketua Angkatan Muda (AMK) Selangor Khairul Annuar Ahmad Zainuddin, wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambry Mat Isa, wakil Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Kelab Penyokong PAS dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Majlis itu bermula dengan ucapan Kamaruzzaman selama lima minit, membantah pengeluaran lesen judi pertaruhan tersebut serta penganjuran konsert berkenaan.

Selepas itu, tiba giliran Khairul Annuar pula berucap. Ketika beliau sedang berucap, anggota polis naik ke pentas untuk merampas pembesar suara.

Khairul Annuar bagaimanapun meneruskan ucapannya tanpa pembesar suara.

Pada masa yang sama, kelihatan Kamaruzzaman berunding dengan pegawai polis di belakang pentas.

K
amaruzzaman berkata, beliau meminta kepada polis supaya membenarkan mereka meneruskan majlis itu selama 10 minit.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis hanya membenarkan mereka meneruskannya selama lima minit sahaja.

Pihak polis juga kemudiannya memulangkan pembesar suara yang dirampas sebelum ini.

Bagaimanapun, tidak sampai dua minit penceramah berikutnya berucap, anggota polis naik semula ke pentas untuk merampas pembesar suara tersebut.

Ketika itu berlaku insiden tolak menolak dan tarik menarik sehingga ada yang terjatuh dari pentas.

E
koran itu, kata Kamaruzzaman, beliau terpaksa berunding lagi sekali dengan polis supaya membenarkan mereka meneruskan bantahan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis mengarahkan beliau supaya meminta orang ramai beredar dari situ.

Ekoran itu, katanya, beliau terus meminta orang ramai beredar.

Difahamkan seorang pemuda ditahan ketika kekecohan berlaku di pentas tetapi kemudiannya dilepaskan.
Read Full...

PRK Sibu : Pelabur hindari negeri kacau bilau....Taib




Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengingatkan masyarakat di Sibu supaya terus menyokong politik pembangunan yang diperjuangankan oleh kepimpinan Barisan Nasional dibawah kepimpin beliau bersama Perdana Menteri.
“Jika suasana politik di negeri ini stabil, maka ekonomi akan bertambah baik dan secara langsung pelaburan luar negara akan meningkat,” kata beliau.
Sebaliknya, tidak ada pelabur yang berani datang jika kita mengamalkan bentuk politik yang membawa keganasan dan kekacauan, kata Taib.
Beliau juga menyeru rakyat supaya berusaha untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka bersesuaian dengan peredaran semasa.
Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rh. Dick ak Ijau,Batu-8,Jln Oya,dekat sini, Taib berkata dalam fasa kedua gelombang pembangunan menerusi projek Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharu Sarawak (SCORE) akan berlaku banyak peluang pekerjaan kolar biru untuk rakyat dan masyarakat disini.
Oleh yang demikian, rakyat di Sibu harus melihat dan mempunyai itizam untuk mendidik anak-anak mereka dari peringkat sekolah rendah supaya setelah dewasa nanti, mereka memiliki ilmu pengetahuan secukupnya dan boleh berkhidmat dengan industri-industri di SCORE satu hari nanti.
Ketua Menteri berkata, masa depan masyarakat generasi baru dalam tempoh antara 10-20 tahun daripada sekarang amat bergantung kepada ilmu pengetahuan yang bermutu tinggi khususnya dalam bidang kemahiran .
Dalam pada itu, kata Taib , Perdana Menteri telah mengumumkan untuk menaik tahap Kolej Laila Taib (KLT) ke tahap universiti penuh yang mana akan menjadi instituisi yang menawarkan pendidikan berasaskan kemahiran bagi menyediakan keperluan tenaga kerja dalam SCORE nanti.
Sehubungan itu, Ibu bapa hendaklah mengalakkan anak mereka untuk meneruskan pendidikan mereka di KTL atau mana-mana institusi pengajian tinggi yang sesuai supaya mereka nanti berpeluang untuk bekerja di industri-industri dalam SCORE, ujar beliau.
Di majlis tersebut Taib mengumumkan geran bantuan bagi memperbaiki rumah sebanyak RM600 sepintu kepada semua keluarga yang tinggal di kawasan tersebut.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Ketua Setiausa Politik kepada Ketua Menteri, ADUN Jemoreng, Abu Seman Jahwie dan ADUN Nangka, Dato Awang Bemee Awang Ali Basah.
Read Full...

PRK Sibu : Bakun Bakal Lingkup, Umno-BN Bina 12 Empangan Di Sarawak



Oleh Rusnizam Mahat
SHAH ALAM 14 Mei - Kerugian RM1.63 bilion yang dialami Sime Darby akan menyebabkan kos projek empangan hidro elektrik Bakun yang telah menelan berbilion ringgit dana awam meningkat dengan mendadak dengan kemungkinan besar penangguhan projek yang sepatutnya siap pada 2012.
Ini kerana, sejak penggabungan Sime Darby, Golden Hope Plantations Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad pada 2006, anak syarikat Sime Darby iaitu Sime Engineering Sdn Bhd telah mengambil alih sebahagian besar kepentingan dalam projek itu.
Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, dalam usaha memastikan empangan Bakun diteruskan, kerajaan telah mengambil wang RM4 bilion dari Kumpulan Simpanan Pekerja pada 2007 dan 2008 bagi membiayai kos projek tersebut.
Beliau menganggap langkah itu sebagai merompak wang rakyat dan golongan pekerja di negara ini dengan disamping membuktikan kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak memiliki integriti dan kredibiliti mengurus tadbir kewangan negara dengan baik.
"Wang KWSP ini melibatkan wang pekerja berpendapatan rendah dan kita lihat KWSP berada dalam keadaan yang sangat kritikal. Ini adalah duit pekerja, duit rakyat yang ditabungkan untuk masa depan mereka. Apa akan jadi kepada nasib pekerja akibat langkah kerajaan memberi pinjaman meneruskan projek tersebut.
"Perkara ini dianggap satu pengkhianatan kepada rakyat dan golongan pekerja. Isunya wang yang telah dibelanjakan ialah wang rakyat yang buta-buta telah dipotong dari gaji kita. Ia menghakis keyakinan berhubung nasib pekerja yang telah berpenat lelah menabung dalam KWSP.
"Saya melihat ini lah kaedah yang digunakan oleh kerajaan untuk menghalalkan tindakan melaksanakan cara tadbir urus yang salah menggunakan dana awam," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Azan mengesa kerajaan supaya membentangkan kertas putih berhubung kerugian yang dialami Sime Darby dan menjelaskan punca kerugian sebenar di parlimen.
"Kita mahu kerajaan jelaskan apakah punca sebenar kerugian, bagaimana wang ini dibelanjakan, punca dan pelaburan dalam bentuk apa dan kesan pelaburan tersebut dalam jangka panjang," tegas Azan.
Katanya lagi, pada masa yang sama, kerajaan juga perlu perjelaskan mengapa 12 projek hidro elektrik dibina di Sarawak meskipun projek empangan Bakun kini berhadapan dengan peningkatan kos dan risiko terbengkalai.
Read Full...

MP Wangsa Maju akhirnya keluar PKR untuk menjadi ahli kelab PERKATAK.



KUALA LUMPUR, 14 Mei — Ahli Parlimen Wangsa Maju yang disebut-sebut akan keluar PKR sejak Februari lalu akhirnya meninggalkan parti itu hari ini.

Dengan keputusan itu, Wee (gambar) menyertai empat rakannya yang sudah pun memperoleh status sebagai Ahli Parlimen Bebas setakat ini termasuk wakil rakyat Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang dipecat Mac lalu.
Bekas pemimpin DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bintang ini telah berkal-kali menafikan spekulasi mahu keluar parti.
Wee mengumumkan keputusannya di sini hari ini ketika Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bertemu di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu sekarang.
Pengundian adalah Ahad ini.

Menurut Wee, beliau meninggalkan PKR kerana kecewa dengan cara parti itu dan kerajaan negeri Selangor dalam menangani skandal pasir menerusi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
Wee juga mengumumkan meletakkan semua jawatan partinya, termasuk ketua PKR Wilayah Persekutuan.
 
Pada 21 April lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan khabar angin yang bertiup kencang bahawa Wee adalah pemimpin PKR yang bakal melompat tetapi beliau enggan mengulas apabila diajukan soalan berkenaan.
Beliau tidak mengesahkan ura-ura itu mahupun menafikannya tetapi sebaliknya berkata wartawan lebih mengetahui perkara berkenaan.

“Anda tahu segala-galanya. Kenapa perlu bertanya lagi? Anda lebih mengetahui, mengapa tidak anda siarkan berita itu terlebih dahulu?” katanya.
Beliau juga menyerang media baru yang dilabelkannya sebagai tidak bertanggung-jawab.

“Saya akan hanya bercakap dengan media tertentu kerana sesetengah media adalah tidak bertangung-jawab,” katanya.

Menurut Wee sesetengah portal berita tidak boleh dipercayai kerana “mereka akan hanya memutar-belitkan kata-kata saya...mereka akan tukar B ke A dan A ke B”.
Read Full...

PRK Sibu : Fahami Masalah Pengundi Atas Pagar..ha..ha..Bik Mama dah keluar arahan terbuka dan rasmi....1APCO..!!!



SIBU: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan peraih undi wanita memahami kehendak pengundi atas pagar sebelum meyakinkan mereka agar menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu 16 Mei ini.
Beliau berkata pengundi atas pagar sebenarnya masih kurang berpuas hati kerana masalah-masalah kecil yang mereka hadapi dan mereka tidak memikirkan matlamat jangka panjang.
"Saya berharap peraih undi wanita akan bertungkus lumus untuk meyakinkan pengundi atas pagar bagi memastikan calon BN menang dan membolehkan BN meneruskan usaha pembangunan masyarakat dan memajukan negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama wanita Melayu dan Melanau di Kampung Bandung di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Datin Fatimah Abdullah dan Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Suzanne Lee.
Rosmah juga mengingatkan kaum wanita, khususnya di Sibu agar tidak terpedaya dengan dakyah dan propaganda pihak pembangkang yang hanya menabur janji kosong serta memfitnah kerajaan pimpinan BN.
"Pencapaian BN telahpun terbukti. BN ikhlas dalam mentadbir negara ini untuk memastikan masa depan anak-anak kita terjamin, cerah, makmur dan berpeluang meningkatkan taraf hidup," katanya sambil menambah pengundi-pengundi di Hulu Selangor telah menolak kerajaan pakatan pembangkang yang hanya menabur janji kosong.
Pengundi wanita merupakan 53 peratus atau 28,449 orang daripada keseluruhan 54,695 pengundi bagi Parlimen Sibu.
Sementara itu, Fatimah yang juga Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata jentera wanita BN telah melancarkan pelbagai strategi untuk memikat pengundi atas pagar.
"Peraih undi wanita di sini telah berkempen dari rumah ke rumah. Selain itu, kita juga turun padang untuk mendengar keluhan dan masalah yang dihadapi pengundi atas pagar dan bantu menyelesaikan masalah mereka," katanya.
Fatimah menyaran pengundi wanita bagi kerusi Parlimen Sibu agar menterjemahkan sokongan mereka ketika mengundi pada 16 Mei ini.
"Masa depan anak-anak kita berada dalam tangan BN. Sehubungan itu, saya berharap wanita-wanita di sini jangan lupa keluar mengundi pada Ahad ini," katanya. - BERNAMA
Read Full...
 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks