Hishammuddin: Usah kutuk polis hanya kerana 2 remaja ditembak..adooi Menteri ape bende nie..banyak loo kes salah tembak..!!! Pegawai tak bagi laporan ke..!!!




LONDON, 9 Mei — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar)  merayu publik agar membantu mempertahankan institusi polis, bukannya mengutuk pasukan keselamatan ketika negara menyaksikan dua remaja ditembak, termasuk seorang mati dalam dua minggu ini.
Sehubungan itu kata Hishammuddin, daripada terus-menerus menyerang polis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan sokongan publik memandangkan ia merupakan salah satu tunjang mempertahankan negara.
“Malaysia berada dalam peralihan. Dalam persekitaran perubahan ini, sudah tentu akan ada percubaan untuk memperlekehkan institusi-institusi tanpa asas, tanpa kajian, perbincangan dan tanpa faham (mendalam),” kata beliau dengan merujuk kepada pasukan penguatkuasaan dan kehakiman.
“Saya hendak memberi jaminan kepada setiap orang, moral pasukan polis juga perlu dipertahankan dan diimbangi,” kata Naib Presiden Umno ini sambil menambah, tindakan mengutuk dan memperlekehkan pasukan polis tidak akan membantu sesiapa.
Awal pagi semalam seorang remaja cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis peronda dalam
kejadian kejar-mengejar di Jalan Seremban-Jelebu, Negeri Sembilan.
Menurut polis mangsa Mohd. Azizi Aziz, 17, ditembak ekoran enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya selepas diarahkan polis.
Mengulas kejadian itu semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata Kementerian Dalam Negeri dan PDRM tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.
Ayah mangsa, Aziz Omar berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.
“Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi (semalam) yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.
“Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik,” katanya.
Kejadian itu berlaku dua minggu selepas Aminulrasyid Amzah meninggal dunia selepas terkena tembakan polis yang mengejar kereta yang dipandunya di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor pada awal pagi 26 April lalu.
Kes itu sedang disiasat dengan dipantau oleh sebuah panel ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri.
“Ia kejadian tragis,” kata Hishammuddin dengan merujuk kepada nasib dialami Aminulrasyid.
Hishammuddin berkata, tidak akan ada unsur menutup kes berkenaan memandangkan panel yang ditubuhkan merupakan badan yang berwibawa.
Menteri juga mempersoalkan mengapa anggota pasukan keselamatan Istana Kelantan yang ditembak tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada orang ramai.
“Pada masa yang sama, pembantu (keselamatan) Tengku Mahkota Kelantan ditembak kejam di tengah jalan. Tetapi, dia tidak memperoleh layanan yang serupa daripada orang ramai, yang hanya mahu tahu sama ada ia ada kaitan dengan kontroversi semasa kerabat diraja Kelantan,” kata beliau.
Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohamad, 50, ditembak awal bulan ini.
“Hanya kerana dia seorang anggota polis dia tidak berhak menerima simpati? Jadi jangan beremosi (dalam isu ini),” kata Hishammuddin yang mengetuai Kementerian Dalam Negeri sejak April 2009.
Walaupun beliau mengakui sistem semasa perlu diperbaiki tetapi tidak mengutuk tindakan-tindakan yang dilihat sebagai keterlaluan dan di luar lunas perundangan.
Katanya, institusi-institusi perlu dibina dan tiada penyelesaian segera bagi mengatasi kekurangan-kekurangan yang wujud.
“Kami memerlukan rakyat yang diberikan amanah untuk bertanggungjawab bukannya dipengaruhi oleh politik seharian atau ragam semasa. Institusi-institusi ini akan kekal lebih lama berbanding ahli-ahli politik,” kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 100 hadirin di Jabatan Pelajar Malaysia di sini semalam.
Hishammuddin mempertahankan pasukan keselamatan dengan berkata anggota polis telah memperlihatkan prestasi yang baik dalam 10 bidang yang anda semua “tidak pernah melihat, tidak pernah mendengar, yang anda tidak akan tahu”, antaranya usaha menangani keganasan.
Bagaimanapun Hishammuddin mengakui dalam soal menangani jenayah jalanan, beliau hanya akan memberi paras enam persepuluh.
Beliau memberitahu, kementeriannya meletakkan sasaran untuk mengurangkan jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang akhir tahun ini dan jenayah secara keseluruhan kepada lima peratus sepanjang tiga tahun berikutnya.
Hishammuddin juga berkata, beliau ada memaklumkan kepada anggota polis agar tidak luntur semangat apabila publik menyerang mereka.
Read Full...

PRK Sibu : Setiap pengundi adalah ‘raja’..lepas pilihanraya pengundi adalah hamba sehaya...!!!




MUHYIDDIN Yassin, Tan Sri Abdul Taib Mahmud (dua dari kiri) Robert Lau Hui Yew (tiga dari kiri) dan ahli komponen Barisan Nasional memegang tangan selepas sidang media penamaan calon Parlimen Sibu di Dewan Suarah, semalam.


SIBU 8 Mei - Barisan Nasional (BN) menggangap setiap pengundi adalah ‘raja’ dan berharap setiap seorang daripada mereka tanpa mengira kaum akan membantu dan menyokong BN dalam pilihan raya.
Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu, BN perlu mengetahui bagaimana untuk menguruskan golongan itu dengan baik agar tidak hanya mendapat sokongan daripada satu-satu kaum sahaja.
“Harapan kita di semua kawasan, sama ada Cina, Melayu, Iban dan lain-lain akan membantu, dan kita telah sebutkan dalam pilihan raya kecil atau umum yang pengundi adalah raja,” kata Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai sokongan BN di kalangan pengundi bumiputera di Sibu pada sidang akhbar selepas selesai proses penamaan calon untuk PRK Sibu di Dewan Suarah Sibu di sini, hari ini.
Katanya, jika dahulu hanya bumiputera yang banyak menyokong calon BN di kawasan ini, adalah diharapkan perkara itu akan berubah dengan semua kaum menyokong dalam pilihan raya kali ini.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu yang akan diadakan 16 Mei ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Robert Lau Hui Yew, calon DAP, Wong Ho Leng dan calon bebas, Narawi Haron.
Muhyiddin berkata, BN mempunyai peluang cerah untuk memenangi pilihan raya kecil itu kali ini asalkan jenteranya bekerja keras dan tidak mengambil mudah dalam berkempen mendekati rakyat .
“Setiap kali pilihan raya kecil kita tidak menggangap ia mudah, kita mempunyai lebih 50,000 pengundi di kawasan ini yang agak luas. Jadi, kita ingin pastikan semua pengundi yang ditemui akan membantu calon kita,” tambahnya.
Mengenai persediaan jentera parti, beliau berkata, segalanya telah berada dalam keadaan bersedia dan akan digerakkan dengan seberapa efisien yang boleh.
“Kita juga tiada ada apa-apa masalah dalaman dan dari segi semangat parti juga amat tinggi sekali,” tambahnya.
Muhyiddin berkata, pendekatan dalam menghadapi pilihan raya ini ialah BN akan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai apa-apa jua perkara atau isu yang ditimbulkan pembangkang.
Katanya, antara faktor yang dijangka membantu BN juga ialah sumbangan daripada wakil BN sebelum ini, mendiang Robert Lau yang telah banyak berjasa, mencurahkan bakti dan pengorbanan kepada penduduk kawasan ini.
“Saya sendiri telah turun ke bawah meninjau kawasan-kawasan yang ada keperluan tertentu. Kita beri perhatian dan membuat perancangan yang lebih supaya warga Sibu yang tinggal di bandar, pinggir bandar, pedalaman dan rumah panjang dapat dibela,” katanya.
Read Full...

PRK Sibu : BN salur peruntukan, bukan tabur duit...sape punya duit BN guna...!!! Duit rakyat tau bukan duit parti...!!!



SIBU 8 Mei - Barisan Nasional (BN) menyalurkan peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk pembangunan kepada rakyat dan bukan menabur duit semasa berkempen pada pilihan raya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan-peruntukan yang diumumkan di Sibu ketika ini sebenarnya telah diluluskan oleh kerajaan di dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, peruntukan-peruntukan itu juga memang telah sedia ada dan ia bukan semata-mata untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.
''Peruntukan yang diumumkan bukan hari ini sahaja dan saya sendiri telah banyak kali datang ke negeri ini untuk menyalurkan peruntukan kepada rakyat yang memerlukan pembangunan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Jeriah di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan pihak pembangkang yang menuduh BN menggunakan taktik kotor iaitu menabur wang untuk menang pada pilihan raya.
Hadir sama Ketua Pemuda BN Sarawak yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusuf.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie memberitahu, beliau yakin dengan sokongan masyarakat di Sibu meskipun bukan sesuatu perkara yang mudah bagi BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen Sibu.
Katanya, jentera parti harus bekerja keras bagi memastikan BN mampu menambat hati semua kaum termasuk Cina, Melayu, Iban, Orang Ulu dan sebagainya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Mohd. Shafie mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk menaiktaraf jalan raya di Kampung Jeriah dan RM30,000 lagi bagi pembinaan dewan, manakala sejumlah RM5,000 sumbangan peribadi beliau kepada masjid di kampung terbabit.
Read Full...

Sudah-sudahlah menyambar tangan babi!


3/5/10 lalu, ada di antara kita yang terbaca berita bertajuk "Perkasa demands ‘blue ocean strategy’ for Malays" (komen-komen di sini - lihat juga posting Datuk Mohd Ariff Sabri Haji Abdul Aziz bertajuk "Perkasa wants PM Najib to be Moses" serta komen-komen di sini). Semalam, agaknya ramai juga yang membaca berita bertajuk "Najib: Tenyeh kontrak bukan cara bantu Melayu".


Dari semua itu, kita terasa semakin dekat dengan kesimpulannya. Saya langsung tak nampak nasib dan masa depan umat Islam dan bangsa Melayu menjadi isu sebenar. Saya hanya dapat melihat satu sahaja isunya - sifat bulur tidak terkawal kepada kepala Agong. Kepala Agong tu istilah lain la kepada duit.

Bongok terlampaulah kalau kita percaya gerombolan yang mengkhianati Islam dan Melayu selama lebih 50 tahun mahu memperjuangkan nasib Melayu. I'tiqad, kepercayaan dan sifat bulur mereka hanya kepada satu benda sahaja - duit. Tidak ada lain, duit, duit, duit.

Tetapi kelebihan mereka yang tidak ada kepada orang yang bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan Islam, Melayu dan semua rakyat Malaysia ialah kepandaian berkata-kata dan mencipta slogan yang sangat laris dalam sifat mudah kagum orang-orang Islam dan Melayu.

Kalau dengar cakap-cakap mereka, luruhlah segala akal dan jiwa. Masa depan Melayu yang terancam la, masa depan Islam yang terancam la... Hello, hampa ingat depa peduli semua tu? Ada depa kisah?

Tengoklah muka-muka depa satu persatu, tengok dengan akal dan suluhan iman, ada hampa nampak pancaran jiwa yang ikhlas dan bersungguh-sungguh nak perjuangkan Melayu, nak perjuangkan Islam? Boleh jadi orang lain nampak, tetapi saya tak nampak. Kalau tak nampak menyebabkan saya dimaki hamun, saya peduli apa!

Peduli apa kalau saya dianggap celaka sekalipun kerana hanya nampak kepala Agong di muka mereka.

Terlepas dari cerita itu semua, saya nak bawa kisah sebelum pilihan raya umum 8/3/08. Dalam satu perjalanan selepas balik ceramah bersama-sama, Datuk Ibrahim Ali berpidato dalam kereta kepada Haji Mohamad Sabu. Entah apa-apalah gamaknya.

Saya diberitahu, akhirnya Mat Sabu pun kata, "Bagi dapat dulu tiga (kawasan Dewan Undangan Negeri) DUN dalam Pasir Mas tu (kepada PAS). Lepas tu Umno balik pun tak pa" (waktu tu PAS mengalami penyakit kebuluran kerusi DUN di Kelantan. Dalam keadaan sakit tak tertanggung dan lemas dalam kebuluran itu, tangan babi pun depa sambar. Tak kira dah).

"Celaka mu, Mat! Mu tak percaya aku!" Ibrahim meningkah.

Anda percaya?!
Read Full...

PRK Sibu: Pakatan tonjol isu Aminulrasyid, kalimah Allah



SIBU, 9 Mei — Hari pertama kempen pilihan raya kecil Sibu semalam menjadi tumpuan dengan Pakatan Rakyat (PR) mengupas isu remaja Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis dua minggu lalu dan polemik kalimah “Allah” yang  bertukar menjadi isu kontroversi nasional awal tahun ini.
PR khususnya DAP yang menurunkan wakilnya untuk merampas kerusi Sibu mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar membentuk satu suruhanjaya diraja untuk menyiasat insiden Aminulrasyid, pelajar dari Seksyen 11 Shah Alam mati ditembak pada 26 April lalu - sehari selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam kempennya berkata, beliau akan meminta pengundi-pengundi Sibu agar menghantar mesej tegas kepada pentadbiran Najib jika panel khas itu tidak dibentuk selewat-lewatnya hari ini.
DAP menurunkan Pengerusi Sarawak Wong Ho Leng yang berhadapan dengan wakil Barisan Nasional Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas Narawi Haron.
“Saya memberi masa sehingga 11 pagi (ini) kepada Najib untuk menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan, yang diketuai oleh bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar untuk menyiasat kejadian Aminulrasyhid ditembak oleh polis dan juga kesemua kes tembakan polis atau jika tidak saya akan meminta pengundi Sibu agar menggunakan pilihan raya kecil ini supaya menghantar satu mesej yang jelas dan tegas (kepada kerajaan),” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur ini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.
Kini kes itu disiasat oleh pasukan siasatan dalaman polis dengan dipantau panel khas dibenuk Kementerian Dalam Negeri.
Penamaan calon berlangsung semalam.
Lim juga menekankan, Polis Diraja Malaysia juga berhadapan dengan krisis keyakinan serius ekoran insiden yang menimpa remaja berkenaan dan juga ekoran kecurian kereta rasmi Perdana V6 Ketua Polis Negeri Selangor baru-baru ini.
Kereta itu ditemui semula semalam.
Pemimpin ini juga mengkritik ekoran kegagalan kerajaan untuk mengambil serius syor-syor dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Polis yang dibentuk enam tahun lalu.
“Disebabkan kerajaan Barisan Nasional telah gagal untuk mengambil kira syor-syor Suruhanjaya Diraja Polis dengan serius khususnya cadangan utama berkaitan pembentukan Suruhanjaya Bebas Polis Mengenai Aduan dan Salah Laku (IPCMC), tahap keyakinan polis berada di paras paling rendah pada masa sekarang,” kata Lim di Sibu semalam.
Lim juga bertanya mengapa Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri masih enggan memohon maaf ekoran kenyataan-kenyataan mereka melabelkan Aminulrasyid sebagai penjenayah ekoran kejadian itu.
Dalam perkembangan lain, DAP bertekad untuk membawa isu kontroversi berhubung penggunaan kalimah “Allah” dalam kempennya di Sibu dengan menegaskan Robert Lau tidak layak untuk mewakili masyarakat Kristian, pengundi majoriti di Sibu, jika beliau enggan bercakap mengenai isu berkenaan.
“Jika Robert Lau mahu menjadi Ahli Parlimen yang bersedia untuk bercakap bagi pihak kerusi Sibu yang majoriti pengundinya beragama Kristian, maka beliau mempunyai tanggungjawab moral untuk mengisytiharkan pendiriannya dalam isu panas ini supaya pengundi Sibu boleh memutuskan sama ada mereka boleh bergantung pada beliau atau tidak dalam isu ini,” kata Setiausaha Pengelola DAP Teresa Kok.
“Lau tidak boleh mengetepikan isu ini dengan hanya berkata agama sebagai satu perkara peribadi,” katanya yang turut turun berkempen di Sibu.
Kelmarin, Robert Lau berkata isu “Allah” tidak harus dijadikan modal kempen pilihan raya untuk mengelakkan politik dicampur aduk dengan agama.
Isu polemik kalimah Allah menjadi isu sejak 2007 selepas Kementerian Dalam Negeri menggunakan keputusan Kabinet 1986 untuk melarang bukan Islam daripada menggunakan sesetengah perkataan dalam bahasa Arab, antaranya “Allah” termasuk oleh akhbar mingguan Katolik Herald.
Bagaimanapun penerbit akhbar itu menang dalam kes mereka yang diputuskan akhir tahun lalu, tetapi ia berakhir dengan kontroversi apabila beberapa rumah ibadat diserang, kebanyakannya gereja.
Bagaimanapun Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberi jaminan kepada masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak bahawa larangan “Allah” tidak akan memberi kesan kepada mereka.
“Kerajaan BN pimpinan Umno menyukarkan penganut Kristian dengan melarang bahan-bahan agama dan kitab dari Indonesia sejak beberapa dekad lalu atas alasan kitab dan terbitan Kristian dari Indonesia menggunakan perkataan “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan,” kata beliau dalam kenyataannya.
“Sebagai calon beragama Kristian, Robert Lau perlu menyatakan pendiriannya dalam isu Allah... beliau harus memberitahu kami sama ada beliau menyokong tindakan kerajaan BN dan sama ada beliau akan menjadi wakil BN robot di Parlimen jika dipilih dan akan menjadi satu jadi (wakil) cap getah dalam setiap keputusan dibuat oleh kerajaan BN,” kata beliau yang juga Exco kerajaan negeri Selangor.
Kira-kira 53 peratus daripada 55,000 pengundi di kawasan Sibu merupakan masyarakat Kristian.
Dalam pada itu, Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa Robert Lau tidak layak untuk menjadi anggota perundangan persekutuan jika beliau enggan membicarakan isu nasional termasuk polemik “Allah”.
“Skop tanggungjawab seseorang Ahli Parlimen bukan sahaja termasuk perkara yang berkaitan dengan bahagian diwakilinya, malah beliau juga harus mengambil berat soal pembangunan politik dan ekonomi negara dalam usaha mempertahankan hak penduduk kawasan diwakilinya,” kata Chong yang juga pengarah pilihan raya Sibu.
Pengundian akan berlangsung 16 Mei ini.
Read Full...

Pemuda PAS gesa Perkeso batal pelaburan Carlsberg



Oleh Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 9 Mei — Dewan Pemuda PAS mendesak Perkeso, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan 5.5 juta pencarum supaya menarik balik pelaburannya dalam syarikat minuman keras Carlsberg selaras dengan pematuhan prinsip syariah.
Sayap pemuda PAS itu mahu Perkeso membuat keputusan segera dengan membatalkan pelaburannya memandangkan 90 peratus kakitangannya dan sebahagian besar pencarum merupakan penganut agama Islam.
Oleh itu Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi mendakwa hasil keuntungan diperoleh Perkeso sebagai pemegang saham dalam syarikat pengeluar miniman keras tersebut amat diragui.
Kata beliau, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia supaya tidak mengekalkan Perkeso sebagai pemegang saham dalam syarikat berkenaan.
“Kalau hendak melabur cari syarikat lain, banyak lagi syarikat di Malaysia... mengapa mesti pilih syarikat arak?” katanya lagi.
“Ini kerana 90 peratus kakitangan Perkeso terdiri daripada orang Islam dan duit potongan daripada pekerja juga turut melibatkan orang Islam dan dilaburkan ke dalam syarikat arak tersebut.
“Kemudian hasil keuntungan saham tersebut diberikan kepada kakitangan Perkeso sebagai gaji dan kita tidak tahu sama ada wang tersebut halal ataupun tidak,” katanya ketika dihubungi.
Perkeso dianggarkan kini mempunyai 5.5 juta pencarum melibatkan 380,000 majikan.
Beliau berkata, Perkeso membuat keuntungan dengan syarikat arak tersebut hasil caruman pekerja setiap bulan.
“Perkeso potong dari wang pekerja (pendapatan) dan ia menjadi harta Perkeso dan kemudiannya dilaburkan ke syarikat arak (pemegang saham), hasil keuntungan tersebut diagihkan semula kepada kakitangan mereka yang majoritinya adalah orang Islam.
“Jadi di sini kita boleh lihat bahawa pelaburan yang dibuat Perkeso diragui kerana mereka buat untung dengan perniagaan yang haram,” katanya.
Nasrudin berkata perkara ini melibatkan maruah dan kebajikan orang Islam juga berkaitan dengan isu halal dan haram.
“Bagaimana sumber yang diragui halal dan haram diberikan kepada kakitangan mereka?
“Jika halal itu tidak mengapa tetapi jika haram bagaimana? Ia akan menjadi sebahagian daripada darah daging mereka nanti,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, perkara tersebut sukar untuk dijelaskan kerana tidak tahu sama ada pelaburan yang dibuat itu benar ataupun tidak.
“Saya tidak berapa jelas mengenai perkara ini dan ia sepatutnya dirujuk kepada pihak Perkeso.
“Tetapi saya juga berharap supaya satu penjelasan dibuat mengenai perkara ini oleh Perkeso,” kata beliau.
MTUC mempunyai wakil dalam Perkeso.
Read Full...

Kes tembak: Adakah kecuaian atau arahan?



"Tembak lagi?" itu keluhan hatiku apabila membaca berita seorang polis menembak seorang remaja yang didakwa melakukan kesalahan jalan raya.

Nampaknya anggota polis dilihat semakin mengganas. Kesalahan jalan raya pun sudah melayakkan polis menembak rakyat. Nasib baik dalam berita itu, tembakan itu kena di perut. Kalau kena di kepala, apa akan jadi pada remaja tersebut?

Alangkah murahnya darah rakyat polis di sisi polis Malaysia. walhal, Islam meletakkan darah adalah sesuatu yang mahal, bahkan wujud hukum Qisas; darah dibalas darah.

Persoalannya, kenapa terlalu kerap berlaku tembak menembak ini? apakah ini benar-benar kesilapana anggota polis terbabit, ataupun sebenarnya sememangnya sudah wujud arahan dari pihak atasan?

orang tua-tua dulu pernah kata, "kalau seorang lelaki itu kahwin dengan seorang isteri, lalu tidak dapat anak, mungkin isterinya mandul. Tiba-tiba dia kahwin seorang lain, dan tidak beranak juga. boleh jadi, Isteri keduanya itu mandul. Tapi kalau kahwin isteri yang ketiga masih tidak mengandung lagi. menunjukkan lelaki itu sendiri sebenarnya mandul"

Hebat Malaysia, hebat Israel. inilah jasa berkawan dengan Yahudi.
Read Full...

Isu Zaid: Perkasa, Magaran ambil sikap tunggu dan lihat



KUALA LUMPUR, 9 Mei — Perkasa dan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) yang membatalkan demonstrasi membantah pendirian Datuk Zaid Ibrahim kelmarin atas alasan beliau sudah memohon ampun kepada Sultan Selangor kini mengambil sikap tunggu dan lihat ekoran perkembangan terbaru semalam.
Bagaimanapun pertubuhan bukan kerajaan itu tetap mahu Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), meminta maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataan beliau dalam blog yang mereka dakwa telah mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu.
Semalam Zaid menegaskan beliau bersedia untuk menghadap Sultan Selangor untuk menjelaskan pendiriannya dan alasan kepada penulisan beliau tempoh hari, tetapi menegaskan tidak perlu memohon maaf. Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah menegaskan, sekiranya Zaid masih enggan meminta maaf pihaknya akan mengambil tindakan kerana beliau dilihat telah melanggar perintah Sultan Selangor.
Bentuk tindakan akan diputuskan kemudian, katanya. Wira Perkasa sepatutnya mengadakan demonstrasi di pekarangan ibu pejabat PKR kelmarin susulan tindakan yang sama Khamis lalu bersama Magaran, yang terdiri daripada Persatuan Kebajikan Islam Selangor, Gabungan Graduan Melayu Muda, Pertubuhan Anak-Anak Bugis dan Persatuan Pembela Perlembagaan Persekutuan, membatalkan tindakan mereka ekoran maklumat bahawa Zaid sudah memohon maaf.
“Kita mendapat tahu beliau (Zaid) mahu menghadap Sultan Selangor berhubung kenyataan dalam blognya yang seolah-olah memperkecilkan kuasa baginda Sultan. “Sekiranya beliau masih enggan meminta maaf daripada Sultan Selangor baru kita akan mengambil tindakan terhadap beliau,” kata Arma Azha lagi.
Dalam tulisannya minggu lalu Zaid berpendapat bahawa kuasa Sultan dalam membuat arahan dan perintah dalam hal-hal agama Islam mestilah tertakluk kepada persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Agama Islam sesebuah negeri dan keputusan itu diwartakan sebelum ia berkuat kuasa sebagai undang-undang negeri yang sah.
“Kami sepatutnya mengadakan demonstrasi di depan ibu pejabat PKR tetapi apabila saya dimaklumkan bahawa Datuk Zaid sudah mohon ampun, maka kami pun memutuskan untuk tidak meneruskan demonstrasi,
“Tetapi apabila kita rujuk kembali dengan pihak istana namun tiada sebarang mohon maaf daripada beliau. “Jadi sekarang kita terpaksa menunggu sehingga Zaid menghadap Sultan Selangor, selepas itu baru kita akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Read Full...

Pastikan Projek 'Little India' Untungkan Penduduk, Penjaja




Oleh Frederick Luccas
KUALA LUMPUR 9 Mei - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata projek pembangunan 'Little India' di Brickfields yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mesti memberi jaminan dan perlindungan kepada kebajikan dan kesejahteraan penduduk serta para penjaja setempat selepas projek itu selesai.
Sehubungan itu Nurul Izzah mencadangkan empat langkah yang harus diambil kerajaan berhubung projek tersebut bagi memastikan impak pembangunan tidak memberi kesan negatif kepada penduduk setempat dan serta penjaja di kawasan berkenaan.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya pihak kementerian memastikan projek ini dilaksanankan sepenuhnya sehingga selesai agar ia tidak menjadi satu lagi projek terbengkalai Barisan Nasional.
Rundingan berterusan juga perlu diadakan dengan warga dan penjaja Brickfields bagi menyelesaikan sebarang masalah berbangkit yang mungkin boleh melambat atau menjejaskan perjalanan projek.
"Penyertaan rakyat dalam membuatan keputusan adalah kunci kepada pembangunan dan pentadbiran yang adil serta telus.
"Memandangkan jumlah Orang Kurang Upaya adalah tinggi di Brickfields, kami juga meminta kerajaan
menunjukkan keprihatinan dengan membangunkan kawasan ini menjadi mesra OKU," kata Nurul Izzah pada sidang media selepas perbincangan mengenai projek 'Little India' bersama penduduk di Brickfields pagi tadi.
Nurul Izzah juga menggesa kedai yang menjual minuman keras tanpa lesen ditutup dan meminta kawalan yang lebih ketat ke atas kedai berlesen sedia ada.
Langkah ini bagi pembangunan yang di bawa projek ini tidak menjurus kepada masalah sosial kepada penduduk setempat, terutamanya dikalangan golongan muda Brickfields.
"Bantahan keras saya bersama penjaja dan penduduk Brickfields terhadap cara perlaksanaan projek ini bukanlah untuk memudaratkan atau menghasut orang ramai supaya menolak pembangunan yang ingin di bawa oleh kementerian.
"Sebaliknya saya percaya kepada pembangunan yang tidak mengenepikan suara kecil rakyat yang terjejas dan yang tidak melihat kepada keuntungan semata-mata. Ini adalah bentuk pembangunan yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat", tegas beliau lagi.
Beliau menambah atas desakan penjaja dan penduduk Brickfields, kementerian telah bersetuju untuk mempamerkan 'blueprint' projek tersebut supaya golongan yang berkepentingan di Brickfields mendapat maklumat yang mencukupi dan memahami situasi projek tersebut.
Projek 'Little India' adalah satu projek untuk menaiktaraf kawasan Brickfields termasuk lokasi baru kepada 67 penjaja, di mana 17 daripadanya tidak mempunyai lesen.
Projek ini mencadangkan supaya jalan utama dijadikan jalan sehala tetapi masyarakat setempat menyuarakan kebimbangan kerana langkah ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada penduduk setempat dalam jangka masa panjang.
Read Full...

Lesen Judi: UMNO Sudah Murtad, Mana Ulamak-ulamak UMNO?





Dr Asri: Lesen Atau Tidak, Judi Tetap Haram

SHAH ALAM 7 MEI: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin menyifatkan alasan kerajaan yang menghalalkan perjudian melalui pemberian lesen yang membenar pertaruhan bola sepak, tidak munasabah untuk mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.

Beliau menegaskan sebarang bentuk perjudian sama ada berlesan atau sebaliknya, hanya membawa masalah antaranya pergaduhan dan bebanan hutang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein sebelum ini berkata, kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan ketika Piala Dunia 2010 berlangsung Jun ini.

Beliau memberi alasan ia wajar dilesenkan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Mengulas isu ini, Dr Asri menyifatkan kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional sudah tidak dapat membezakan halal dan haram.

"Kerajaan mesti memikirkan kesan buruk perkara ini. Ia akan mengakibatkan pergaduhan, pinjam meminjam dan pelbagai lagi. Jika kerajaan bertindak memberi lesen apa ertinya?" katanya.

Dr Asri mengingatkan kerajaan, tindakan melesenkan judi belum tentu menyelesaikan masalah kerana masalah tetap berlaku, bahkan berlarutan dengan lebih buruk.

"Judi termasuk dalam dosa besar. Di negara ini, orang akan kata ini bukan untuk orang Islam. Adakah perkara ini dituntut oleh orang bukan Islam? Adakah kerajaan bertindak hanya untuk kepentingan cukai ataupun untuk kepentingan masyarakat bukan Islam.

Beliau menyifatkan kerajaan hanya mencari alasan termasuk menggunakan elemen pembangunan judi bagi menghalalkan perjudian.

"Saya lihat alasan yang dinyatakan bagi mengelakkan judi haram dengan mengadakah judi halal. Semua judi adalah haram dan memberi kesan negatif. Saya tidak fikir orang agama lain disuruh pergi berjudi.

"Jika kerajaan hendak menyalurkan dana kepada bidang sukan, saya lihat perkara lain juga mungkin kita boleh mengenakan cukai yang tinggi. Jadi, saya fikir alasan ini sangat tidak munasabah," katanya.

Dr Asri seterusnya mencadangkan kerajaan supaya bertindak mengikut landasan Islam bagi mengawal baik buruk sesuatu perkara.

"Tetapi dengan cara kerajaan menghalalkan dan membenarkan cara memberi lesen ini kepada judi bererti perkara yang dibimbangi masyarakat dilakukan secara terbuka dan mendapat persetujuan. Apa beza antara yang halal dengan yang tidak, kedua-duanya mengundang masalah kepada rakyat," katanya. -TVS

Ulasan GB

Di dalam kitab Mustika Hadith keluaran Jabatan Perdana Menteri dijelaskan bahawa:


contoh kata-kata yang boleh membatalkan iman seseorang atau yang boleh menjadi murtad iaitu:

Kata-kata (menghina atau merendahkan) mana-mana hukum Islam seperti :

• Hukum apa ini ?
• Hukum ini sudah lapuk.
• Zaman sekarang tidak sepatutnya diharamkan riba' kerana menghalang kemajuan.
• Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus (tutup aurat dengan memakai telekong).
• Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?
• Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya.
• Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.
• Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam, sampai kiamat kita tidak maju.
• Seseorang berkata,"Perbuatan yang demikian tidak beradab", apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa makanan dijarinya (sebelum dibasuh tangan).
• Seseorang berkata,"Aku tidak mahu memotong kuku sekalipun sunnah", apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunnah.
• Membaca ayat-ayat suci al-Quran, hadith nabi dan nama-nama Allah dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.
Ungkapan yang disebut di atas adalah beberapa contoh kata-kata yang boleh menjadi murtad.


Justeru itu langkah kerajaan UMNO BN untuk melesenkan judi adalah tidak lain "menghalalkannya" dan ternyata bukan sahaja ianya adalah satu tempelakan kepada hukum Allah dan RasulNya tetapi satu gejala yang memurtadkan seseorang Islam.

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) wanita yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) (QS Al Ahzab: 36).

Walaupun lesen judi belum dikeluarkan, tetapi perkataan "kerajaan menimbang untuk melesenkan pertaruhan (judi) sempena Piala Dunia" sudah cukup untuk menunjukkan pemimpin UMNO jahil dan merupakan satu penghinaan terhadap hukum Islam yang menjurus kepada MURTAD.

Mana dan mengapa ulamak-ulamak di dalam UMNO membisu?
Read Full...
 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks